Napoli Salahkan TikTok Punca Kelab Ejek Osimhen

Napoli melalui satu kenyataan pada Khamis berkata pihak kelab tidak pernah berniat menyingung perasaan Victor Osimhem selepas satu hantaran video di media sosial didakwa mempersendakan pemain itu oleh juara Seri A musim lalu itu.

Kelab Itali itu pada awal minggu ini melalui sebuah video di TikTok dengan audio yang melucukan menunjukkan bagaimana Osimhen gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang Bologna yang berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.

Video tersebut bagaimanapun dipadam selepas itu. Ejen pemain itu, Roberto Calenda kemudiannya mengugut kelab itu apabila berkata Osimhen mempertimbangkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Napoli kerana dihina oleh kelabnya sendiri.

Penyerang berusia 24 tahun itu kemudiannya turut bertindak memadam semua foto yang mengaitkan dirinya dengan Napoli daripada akaun Instagram peribadinya.

Walaupun tampil melakukan penjelasan mengenai isu tersebut, Napoli masih gagal memohon maaf dan menyalahkan sifat semulajadi TikTok yang menjadi punca video tersebut seolah-olah mempersendakan Osimhen.

“Untuk mengelakkan sebarang salah faham mengenai isu ini, Napoli ingin menyatakan pendirian kelab tidak pernah berniat menyingung atau mempersendakan Victor Osimhen, yang merupakan aset kepada kelab,” ujar kenyataan yang dipetik dari laman sesawang kelab itu.

“Sepanjang tempoh jendela perpindahan musim panas lalu Napoli telah menolak semua tawaran untuk mendapatkan pemain penyerang itu – bukti jelas betapa pihak kelab sangat menghargai keberadaan beliau.

“Lumrah di media sosial terutama di TikTok, ada bahasa/audio yang digunakan berbentuk gurauan untuk ia kelihatan menarik.

“Dalam kes membabitkan Victor tiada ada niat untuk mempersendakan atau merendahkan pemain itu. Jika Victor merasakan dirinya tersingung, itu bukan niat sebenar daripada kelab.”

Pada musim lalu Osimhen membantu Napoli menamatkan penantian 33 tahun kejuaraan Serie A, dan turut tampil sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 26 gol.

Walaupun wujud konflik di antara Osinhem dengan Napoli disebabkan video tersebut, pemain itu tetap melakukan penampilan dan menjaringkan satu gol ketika menewaskan Udinese 4-1 pada Rabu lalu.

Pada musim ini Osinhem sudah pun menjaringkan 4 gol daripada 7 perlawanan untuk juara bertahan Serie A itu.

Napoli kini menduduki kedudukan kelima liga dan akan berhadapan Leece pada Sabtu sebelum menjadi tuan rumah kepada Real Madrid di saingan Champions League.

BACA:  Tuchel Jadi Punca Bayern Munich Tarik Diri Beli Kane?