Neymar Pamer Aksi Luar Biasa Menakjubkan Ketika Bertemu Peru

Neymar mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika beraksi bertemu Peru dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Walaupun beliau dianggap antara pemain paling terkenal dalam dunia bola sepak masa kini, namun tidak dinafikan yang penyerang kebangsaan Brazil itu sering diragukan tentang sikapnya.

Bahkan ramai yang turut mempersoalkan tentang bagaimana seriousnya komitmen penyerang Paris Saint Germain itu terhadap karier bola sepaknya.

Dengan ramai yang menganggap beliau sering berlakon atau menunjukkan aksi yang berlebih-lebihan, ramai yang meragukan adakah beliau benar-benar menumpukan pada kariernya.

Walau bagaimanapun, sepertinya tuduhan itu agak keras dan tidak sepatutnya dilemparkan ke atas bekas bintang Barcelona itu.

Beliau merupakan pemain yang berjaya menjulang kejuaraan Champions League, Copa Libertadores dan lapan kejuaraan liga dari tiga negara berbeza.

Ia jelas merupakan kejayaan yang sangat luar biasa untuk seorang pemain yang dianggap tidak serious dalam kariernya.

Neymar juga sering mempamerkan aksi yang mengagumkan dan pada masa sama membuktikan segala keraguan serta kritikan yang dilemparkan kepadanya adalah tidak benar.

Bahkan, pemain berusia 29 tahun itu turut membuktikannya ketika membantu Brazil menewaskan Peru 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi semalam.

Neymar berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan satu assists, seterusnya membantu beliau untuk menghampiri rekod Pele sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Brazil.

Dari 113 penampilan untuk The Selecao, Neymar berjaya menjaringkan 69 gol, dengan beliau baru berusia 29 tahun dan masih mempunyai perjalanan karier yang panjang lagi.

Walau bagaimanapun, Neymar masih gagal untuk memenangi kejuaraan utama di pentas saingan bola sepak antarabangsa (sesuatu yang Ronaldo dan Messi juga tidak pernah menang sebelum usia mereka 30 tahun).

Neymar menganggap Pele sebagai pemain terhebat sepanjang zaman di matanya dan tentunya beliau mahu mengikuti jejak langkah legenda terhebat sepanjang zaman Brazil itu.

Pemenang tiga kali gelaran Piala Dunia itu mengakhiri karier bola sepak antarabangsanya bersama skuad kebangsaan Brazil dengan menjaringkan 77 gol dari 92 penampilan.

Bertemu Peru, bukan hanya kerana beliau berjaya menjaringkan gol dan mencatatkan assists sahaja yang mencuri perhatian ramai, namun aksi yang beliau pamerkan sepanjang perlawanan tersebut juga sungguh menakjubkan.

Bintang PSG itu sangat dominan dalam perlawanan tersebut, dengan beliau senantiasa berjaya menguasai penguasaan bola.

Beliau sering membuka permainan dan membantu rakan sepasukannya untuk mara naik ke atas dengan mengorbankan dirinya untuk dikasari oleh pemain pasukan lawan.

Rangkuman aksi beliau ketika bertemu Peru telah tular di media sosial pada ketika ini, dengan ramai yang teruja dan kagum melihatnya.

β€œTuhan mengizinkan, ia merupakan satu kebanggaan untuk melepasi Pele.”

Jelas Neymar selepas tamat perlawanan tersebut.

β€œSaya tak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan bersama jersi ini untuk pastikan orang hormati Neymar.”

Mungkin jika beliau berjaya membantu Brazil untuk memenangi gelaran Piala Dunia, para peminat akan mula memberikan penghormatan yang selayaknya untuk beliau.

Sementara itu, rakan sepasukan beliau di Paris, Messi telah berjaya mencatatkan hat-trick ketika beraksi bertemu Bolivia seterusnya membantu Argentina menang 3-0 dalam perlawanan tersebut.

Ia merupakan hat-trick ke-55 Messi sepanjang kariernya dan tiga gol tersebut membantu beliau melepasi rekod Pele sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dari benua Amerika Selatan dengan menjaringkan 77 gol.

Dalam satu lagi rekod lain, Messi turut menjadi pemain pertama yang berjaya mencatatkan hat-trick dalam 14 tahun yang berbeza.

Kedua-dua Neymar dan Messi telah kembali ke Paris dengan mereka selepas ini bakal beraksi bersama PSG untuk aksi pertemuan bertemu Clermont Foot di Parc Des Princes.

Sumber: GMS

BACA:Β  Sumpahan Kucing Kini Dikaitkan Dengan Kegagalan Brazil