Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Nike, pengeluar pakaian sukan terbesar dunia itu amat risau dengan tuduhan rogol yang dilemparkan terhadap Ronaldo minggu ini.
Wanita yang mendakwa dirinya dirogol Ronaldo pada tahun 2009, Kathryn Mayorga membuat tuduhan tersebut menerusi majalah Der Spiegel yang terkenal dengan berita-berita sensasi berkenaan dunia hiburan.
Dalam satu email yang dihantar kepada The Associated Press, Nike risau dengan masalah yang melanda Ronaldo dan akan terus menilai situasi tersebut dari masa ke semasa.
“Kami sangat risau dengan tuduhan yang sangat mengganggu itu terhadap Ronaldo. Kami akan terus memantau situasi ini dari masa ke semasa.”
Nike mengikat kontrak dengan Ronaldo sejak tahun 2003 lagi. Ronaldo merupakan antara ahli sukan terkaya di dunia dan menjadi muka hadapan Nike sejak sekian lama dalam mempromosikan jenama sukan tersebut.
Selain itu, satu lagi penaja utama Ronaldo, EA Sports turut melabel tuduhan tersebut sebagai satu perkara yang amat merisaukan.
“Kami telah melihat laporan yang menerangkan maklumat lebih terperinci mengenai tuduhan terhadap Cristiano Ronaldo. Kami akan mengikuti perkara ini dengan rapat. Seperti biasa, kami sentiasa mahu atlet yang mewakili jenama kami berkongsi nilai yang sama seperti yang diamalkan EA Sports.”
Penaja utama Ronaldo lain seperti Toyota, Emirates, dan Panzerglass masih lagi belum memberikan sebarang reaksi berkenaan isu yang melanda pemain berusia 33 tahun ini.
Walau bagaimanapun, Ronaldo menerima sokongan daripada kelabnya, Juventus menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter kelab tersebut.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Ronaldo telah menunjukkan tahap profesional dan dedikasi yang tinggi dan ia merupakan perkara yang sangat dihargai semua pihak di Juventus.”
“Insiden yang berlaku hampir 10 tahun lalu tidak akan mengubah pendapat kami terhadap Ronaldo. Pandangan kami juga dikongsi sama dengan pihak yang pernah bekerjasama dengan pemain tersebut.”
.@Cristiano Ronaldo has shown in recent months his great professionalism and dedication, which is appreciated by everyone at Juventus. 1/1
— JuventusFC (@juventusfcen) October 4, 2018
The events allegedly dating back to almost 10 years ago do not change this opinion, which is shared by anyone who has come into contact with this great champion. 2/2
— JuventusFC (@juventusfcen) October 4, 2018
Peguam yang mewakili Ms Mayorga telah mengadakan sidang media di Las Vegas pada Rabu lalu untuk memberi maklumat lebih lanjut mengenai tuduhan rogol tersebut.
Ronaldo menerusi akaun Twitter telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rogol tersebut dan menganggap ia sebagai cubaan untuk menumpang populariti beliau.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan terhadap saya. Rogol merupakan jenayah yang sangat berat dan ia bertentangan dengan segala pegangan saya dalam hidup dan apa yang saya percaya.”
“Walaupun saya mahu membersihkan nama dari isu ini, saya enggan untuk terus memberi maklumat kepada pihak media yang mana terdapat sesetengah pihak yang mahu menumpang populariti yang saya miliki.”
Mayorga yang kini berusia 34 tahun menuduh Ronaldo merogol beliau dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas pada Jun 2009. Majalah itu juga menulis Ronaldo dan Mayorga mencapai persetujuan lisan di luar mahkamah supaya perkara itu tidak disebarkan kepada umum yang mana Ronaldo terpaksa membayar $375,000 (£275,000) kepada Mayorga.
Namun begitu, Ronaldo menafikan laporan tersebut dan menyifatkan perkara tersebut sebagai satu lagi usaha pihak bertanggungjawab untuk menumpang popularitinya. Dalam sesi ‘Live’ di Instagram beliau semalam, Ronaldo telah ditanya mengenai tuduhan tersebut oleh seorang peminat.
“Tidak, tidak, tidak, tidak – apa yang pihak media laporkan hari ini adalah berita palsu.”
“Mereka ini hanya mampu mempromosi diri mereka dengan menggunakan nama saya. Ia perkara biasa.”