Ole Berada Di Kelompok 10 Teratas Dalam Senarai Pengurus Terhebat Premier League

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berjaya mengatasi Jurgen Klopp sebagai pengurus terhebat dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Pengurus berusia 50 tahun itu sudah enam musim mengendalikan Manchester City dengan beliau turut berjaya membantu kelab untuk memenangi pelbagai kejuaraan.

Sepanjang kariernya di Etihad, beliau berjaya membantu kelab memenangi tiga gelaran Premier League, empat League Cup dan satu FA Cup.

Guardiola yang telah dilantik sebagai pengurus Manchester City pada tahun 2016 yang lalu, turut cemerlang membawa The Citizens untuk mara ke perlawanan akhir saingan Champions League pada musim lalu.

Pengurus dari Sepanyol itu telah menikmati begitu banyak kejuaraan sepanjang kariernya sebagai pengurus ketika mengendalikan Barcelona, Bayern Munich dan kini Man City.

Melihat kepada segala pencapaian beliau sebelum ini, maka tidak hairanlah mengapa Pep Guardiola dianggap sebagai antara pengurus terhebat sepanjang zaman.

Four-Four-Two baru-baru ini telah menyenaraikan kedudukan 20 pengurus terbaik dalam saingan Premier League, dengan Guardiola berada di kedudukan pertama mengatasi Jurgen Klopp dan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

Menurut Four Four Two, kritiria untuk mereka menilai para pengurus adalah berdasarkan persembahan, taktikal, pengurusan dan bagaimana bagusnya mereka membuktikan diri sendiri mampu untuk menjalankan tugas masing-masing dengan sempurna.

Guardiola telah dipuji tentang bagaimana beliau mengevolusikan dunia bola sepak sejak dari musim pertama beliau masuk ke dunia pengurusan, dan tentang bagaimana beliau mencipta formula dan taktikal yang sukar untuk ditandingi.

Jurgen Klopp pula yang berjaya membawa Liverpool dari pasukan belasahan menjadi sang penakluk dunia, telah diletakkan di kedudukan kedua dalam senarai ini.

Pengurus dari Jerman itu dipuji tentang taktikal dan corak permainan yang sering beliau persembahkan, serta tentang bagaimana beliau menaikkan pemain biasa menjadi bintang besar.

Thomas Tuchel dan pengurus baharu Tottenham Hotspur, Antonio Conte pula berada di kedudukan ketiga dan keempat dalam senarai ini.

Pengurus Manchester United berada di kedudukan ke-10 dalam senarai ini, walau beliau dianggap antara pengurus paling teruk oleh para penyokong setan merah.

Solskjaer sebenarnya setiap musim menunjukkan peningkatan, dengan beliau pada musim lalu berjaya membawa United ke aksi perlawanan akhir Europa League dan turut menamatkan saingan Premier League di kedudukan kedua.

Jadi tidak hairanlah mengapa beliau dianggap sebagai antara 10 pengurus terhebat dalam saingan Premier League kerana beliau selayaknya untuk berada dalam senarai ini.

Antara yang paling menarik dalam senarai ini adalah melihat kedudukan Mikel Arteta yang diletakkan di kedudukan ke-8, satu anak tangga di atas David Moyes.

Mikel Arteta sememangnya telah membuktikan beliau layak untuk mengendalikan Arsenal selepas beliau cemerlang membawa Gunners dari kedudukan ke-20 pada awal musim, dan kini mereka sedang berada di kedudukan ketujuh.

Seandainya Arsenal berjaya menewaskan Watford pada minggu ini, mereka bakal memintas kedudukan Manchester United dan kembali bersaing untuk merebut slot empat teratas dalam saingan liga.

Berikut merupakan senarai 20 pengurus terhebat dalam saingan Premier League yang dikeluarkan oleh Four Four Two.

20. Graeme Jones (Newcastle United)

19. Daniel Farke (Norwich City)

18. Claudio Ranieri (Watford)

17. Bruno Lage (Wolverhampton Wanderers)

16. Dean Smith (Aston Villa)

15. Patrick Vieira (Crystal Palace)

14. Thomas Frank (Brentford)

13. Ralph Hasenhuttl (Southampton)

12. Sean Dyche (Burnley)

11. Rafa Benitez (Everton)

10. Ole Gunnar Solskjaer (Manchester United)

9. David Moyes (West Ham United)

8. Mikel Arteta (Arsenal)

7. Marcelo Bielsa (Leeds United)

6. Graham Potter (Brighton and Hove Albion)

5. Brendan Rodgers (Leicester City)

4. Antonio Conte (Tottenham Hotspur)

3. Thomas Tuchel (Chelsea)

2. Jurgen Klopp (Liverpool)

1. Pep Guardiola (Manchester City)

Sumber: SPORTbible

BACA:  20 Perseteruan Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak