Osimhen Semakin Hampir Lanjut Kontrak Bersama Napoli

Penyerang Nigeria Victor Osimhen dijangka akan melanjutkan kontrak untuk kekal di Napoli dalam masa terdekat.

Perkhabaran tersebut semakin pasti dengan Napoli dijangka akan melakukan pengumuman mengenai status pemain itu bersama kelab itu sedikit masa lagi.

Menurut wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, kontrak baharu tersebut akan mengekalkan Osimhen di Naples sehingga musim panas 2026.

Kontrak tersebut turut akan disertakan dengan klausa pelepasan bernilai €130 juta (bersamaan RM661 juta).

Melalui hantaran di X, Romano berkata: “Napoli telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Victor Osimhen untuk kontrak baharu, klausa perpindahan turut disertakan!

“Kontrak tersebut berkuatkuasa sehingga Jun 2026, iaitu tambahan satu tahun.

“Nilai sebenar klausa akan diumumkan kemudian – berkemungkinan sekitar €130 juta menurut laporan Sky.

“Pengumuman rasmi dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.”

Osimhen berada di kedudukan kelapan di dalam senarai Ballon d’Or 2023 dan pada minggu ini dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

Masa depan penyerang berusia 24 tahun itu di Napoli sebelum ini menjadi samar selepas pemain itu dikatakan tidak berpuas hati dengan layanan diterimanya di kelab tersebut berikutan hantaran video di media sosial yang menghinanya.

Osimhem sebelum ini menjadi bahan gurauan melampau dua klip video oleh Napoli di media sosial. Video pertama memaparkan dirinya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Klip kedua pula melabel Osimhen sebagai sebiji buah kelapa dan ramai yang bertanggapan video tersebut berunsurkan warna kulit.

Selepas video tersebut menjadi tular, ejen pemain itu kemudiannya mengugut untuk menyaman Napoli dan pihak kelab kemudiannya melalui satu kenyataan berkata mereka tidak berniat untuk merendah-rendahkan penyerang utama mereka itu.

Dan beberapa hari selepas video tersebut dipadam, Pegawai Eksekutif Media Napoli melepaskan jawatannya bersama kelab itu.

Isu itu kini tampak sudah dilupakan oleh Osimhen apabila bersedia untuk menyatakan komitmen bersama Napoli.

Chelsea dan Liverpool adalah antara kelab yang dikaitkan dengan Osimhen sekiranya dia memilih untuk meninggalkan kelab tersebut.

BACA:  Maurizio Sarri Mungkin Terlepas Peluang Menjadi Pengurus Chelsea Kerana Masalah Tingkah Laku