Patung Zidane Tanduk Materazzi Kembali Didirikan Di Qatar Selepas ‘Di-remove’ Pada 2013

Menjelang Piala Dunia 2022, patung tandukan Zinedine Zidane kepada Marco Materazzi akan dipasang semula di Qatar.

Patung tersebut pernah kontroversi satu ketika dahulu di Qatar.

Detik ikonik tandukan Zinedine Zidane kepada Marco Materazzi semasa pertarungan antara pasukan kebangsaan Itali dan pasukan kebangsaan Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia 2006 diabadikan dalam bentuk patung di Qatar.

Patung ini dicipta oleh seniman dari Perancis kelahiran Algeria, Adel Abdessemed pada tahun 2013.

Bagaimanapun, patung Zinedine Zidane itu hanya dipasang beberapa minggu berikutan kritikan banyak pihak yang tidak senang dengannya. Mengaggap ia bertentangan dengan norma hidup orang Qatar.

Mereka menuduh patung itu dibina sebagai acara promosi penyembahan berhala kepada keganasan. Ianya tidak bagus untuk dijadikan pameran di sebuah negara Islam seperti Qatar.

Selepas mendengar banyak kritikan termasuk daripada beberapa tokoh ternama di negara mereka, pihak berkuasa Qatar kemudian mengeluarkan karya seni itu.

Sembilan tahun kemudian, Qatar kini merancang untuk memasang semula patung Zidane menanduk Materazzi itu.

Patung yang dikenali sebagai Coup de Tete atau header, kini dalam proses akhir untuk dipasang semula di Qatar sempena meraikan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung pada akhir tahun ini.

Ianya bakal dipersembahkan kepada umum di muzium sukan baharu di Doha, Qatar, yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Ia dianggap akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong yang tiba di Qatar serta pelancong sukan yang akan tiba pada hujung tahun ini.

Ketua muzium sukan Qatar, Sheikha al-Mayassa al-Thani menjelaskan alasan pemasangan semula patung itu. Menurutnya, setiap masyarakat itu harus berovolusi dan harus memahami dan membiasakan diri dengan hal hal seperti itu.

Walaupun dia mengakui ianya memerlukan masa untuk masyarakat menerima pemasangan patung yang dituduh sebagai berhala itu.

“Evolusi berlaku dalam masyarakat,” kata Sheikha al-Mayassa al-Thani.

“Ia mengambil masa dan orang mungkin mengkritik sesuatu untuk bermula, tetapi kemudian memahaminya dan membiasakannya.”

Selain itu Sheikha al-Mayassa al-Thani turut mendedikasikan patung itu sebagai tanda persahabatan dengan Zinedine Zidane. Dia merupakan antara legenda bola sepak yang sangat dekat dengan Qatar. Malah turut ditawarkan menjadi pengurus kebangsaan Qatar.

Zidane seringkali dianggap sebagai hero dunia Arab terutama sekali di Qatar. Jadi untuk mengabadikan Zidane dengan membina tugu ataupun patung tersebut, adalah tindakan yang dianggap rasional dan seharusnya tidak menjadi kontroversi.

“Zidane ialah kawan baik Qatar,” tambah Sheikha al-Mayassa al-Thani.

“Beliau adalah contoh teladan yang hebat untuk dunia Arab.”

“Seni, seperti mana mana perkara lain, ia adalah soal cita rasa yang subjektif. Matlamat kami adalah untuk memperkasakan dan meraikan orang ramai dari seluruh dunia,” tambahnya yang mahu orang luar negara melihat Qatar sebagai bukan sebuah negara tertutup.

Selain itu beliau mengingatkan bahawa detik tandukan Zinedine Zidane ke dada Marco Materazzi adalah salah satu detik ikonik di Piala Dunia. Jadi dia berpendapat, adalah tidak salah untuk membina patung yang merujuk kepada salah satu peristiwa besar dalam Piala Dunia.

Tindakan kontroversi yang dilakukan oleh Zidane akhirnya mengakibatkan kad merah langsung diberikan oleh pengadil Horacio Elizondo.

Perancis kemudiannya gagal menjulang trofi Piala Dunia 2006 selepas tewas 3-5 menerusi penentuan penalti kepada Itali selepas seri 1-1 pada 120 minit aksi.

Zidane menuduh Materazzi telah menghina adik perempuan dan ibunya. Itu yang membuatkan dia benar benar marah dan menanduk pemain itu.

BACA:  Pemilik PSG Mahu Beli Espanyol Untuk Tamatkan Legasi Barcelona