Paul Pogba Mempamerkan Rentak Persembahan Yang Sungguh Menakjubkan Ketika Bertemu Bulgaria

Perancis berjaya menewaskan Bulgaria 3-0 dalam aksi perlawanan persahabatan terakhir mereka awal pagi tadi.

Gol akrobatik jaringan Antoine Griezmann dan dua gol jaringan Olivier Giroud mengesahkan kemenangan mudah skuad Didier Deschamps menewaskan Bulgaria.

Terdapat berita yang tidak begitu menyenangkan dari perlawanan tersebut yang mana Karim Benzema telah mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan aksi dalam perlawanan ini.

Penyerang utama Real Madrid itu terpaksa dikeluarkan pada aksi babak pertama permainan kerana dibelenggu masalah kecederaan dan tempatnya telah digantikan oleh Olivier Giroud.

Mujur saja kecederaan yang beliau alami tidak begitu teruk, dengan Deschamps telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan:

“Dia mengalami kesakitan di bahagian otot di atas lututnya. Dia merasa bahagian tersebut mula mengeras, jadi kami tak mahu ambil risiko.”

Secara keseluruhannya Perancis telah menunjukkan rentak persembahan yang cukup baik dan nampak bersedia untuk menghadapi saingan Euro 2020.

Namun dari kesemua pemain Perancis yang beraksi cemerlang dalam perlawanan ini, tidak dinafikan Paul Pogba merupakan yang terbaik dari yang terbaik.

Pemain midfield Manchester United itu mendominasi sepenuhnya bahagian tengah padang sepanjang perlawanan tersebut.

Beliau mempermainkan para pemain pasukan lawan, melakukan hantaran jarak jauh yang tepat sambil bersuka ria, menunjukkan skill yang menakjubkan, melepasi barisan pertahanan seolah pasukan lawan tidak mempunyai pemain pertahanan dan paling jelas, beliau banyak mencipta ruang untuk rakan sepasukannya.

Ia merupakan aksi permainan midfield yang sungguh luar biasa menakjubkan dari bekas bintang Juventus itu dalam perlawanan ini.

Rangkuman aksi Paul Pogba dalam perlawanan ini sememangnya sungguh mengagumkan dan berbaloi untuk ditonton.

Seperti semua sedia maklum, sekiranya Paul Pogba berada di tahap persembahan terbaiknya, beliau tentu akan mempamerkan rentak persembahan yang menakjubkan.

Pemain berusia 28 tahun itu menunjukkan kemampuan yang sungguh mengagumkan dan aksi dominan yang ditunjukkan seakan satu amaran kepada pasukan lain tentang kehebatan Perancis.

Dengan Pogba yang sedang dalam rentak persembahan terbaiknya, dibantu pula oleh N’Golo Kante, sambil ditemani Griezmann, Benzema dan Kylian Mbappe, bukankah ia satu unit yang cukup mengerikan?

Ia merupakan skuad emas Perancis dan mereka tentunya akan beri ancaman yang berbahaya kepada semua pasukan yang bertanding di acara Euro 2020.

Tidak hairanlah mengapa bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger pernah menyatakan yang Perancis merupakan pasukan ‘super favourite’ untuk memenangi Euro 2020.

“Mereka bukan hanya favourite, mereka adalah super favourite.”

Jelasnya kepada Sky Sports menjelang aksi Perancis bertemu Bulgaria.

“Favourite saja tidak memadai, kerana ketika kamu memenangi Piala Dunia dan kemudian kamu ada pemain seperti N’Golo Kante, Paul Pogba, Karim Benzema, Antoine Griezmann, Kingsley Coman, Olivier Giroud, saya lupa separuh dari mereka. Ousmane Dembele.”

“Kamu boleh lihat 11 pemain dibangku simpanan yang boleh bermain lebih baik berbanding negara lain. Jadi kamu tak boleh menolak fakta yang menyatakan bahawa mereka Juara Dunia dan mereka merupakan satu pasukan yang belum sampai kemuncak lagi.”

“Mereka merupakan skuad yang semakin memuncak, kerana mereka semua pemain muda. Kecuali dua atau tiga pemain, nadi utama skuad masih muda lagi.”

BACA:  [VIDEO] Riak Wajah Pogba Selepas Melihat Jaringan Hebat Daripada Messi