Pembantu Jurgen Klopp Dilaporkan Bakal Menjadi Pengurus Arsenal Yang Seterusnya

Ketua Bahagian Pengambilan Pemain Arsenal, Sven Mislintat percaya pembantu pengurus Liverpool Zeljko Buvac merupakan individu yang tepat untuk menggantikan tempat Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal.

Menurut laporan Sky Sport News, Arsenal bercadang untuk melantik pengganti Wenger sebaik sahaja kempen musim ini berakhir, dan Mislintat mahu bekas rakan sekerjanya di Borussia Dortmund, Buvac mengisi kerusi panas tersebut.

Jurgen Klopp bersama orang nombor 2 beliau selama 17 tahun, Zlejko Buvac.

Mislintat yang baru sahaja menyertai Arsenal pada hujung tahun 2017 percaya kerjasama di antara beliau, Buvac dan Ketua Perhubungan Arsenal Raul Sanllehi merupakan gandingan terbaik untuk mengemudi Arsenal pada masa hadapan.

Laporan dari akhbar berpengkalan dari Bosnia Pravda BL pada Selasa lalu mendakwa Buvac akan mengambil alih tempat Wenger selaku pengurus Arsenal tidak lama lagi.

Menariknya, Buvac kini sedang ‘bercuti’ dari tugasnya selaku pembantu Jurgen Klopp di Anfield. Liverpool juga telah mengeluarkan kenyataan mendakwa Buvac masih lagi pekerja mereka dan memohon untuk berehat atas sebab-sebab peribadi. Mereka percaya Buvac akan kembali bersama Liverpool sebelum bermulanya musim hadapan.

Buvac digelar Klopp sebagai ‘The Brain’ atau otak disebalik kejayaan beliau sepanjang karier pengurusannya. Kerjasama di antara Buvac dan Klopp bermula di Mainz 17 tahun yang lalu, dan sejak dari itu mereka kekal bersama menguruskan Dortmund dan Liverpool.

Buvac menerima pencalon daripada orang kuat Arsenal, Sven Mislintat

Klopp pernah menggelarkan  Buvac sebagai pembelian terbaik yang pernah dilakukannya. Setakat ini, Arsenal masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pengurus mereka yang seterusnya.

Akan tetapi, spekulasi yang mengaitkan Buvac dengan kerusi panas di Emirates tidak disambut baik oleh bekas pemain Liverpool, Danny Murphy. Murphy berkata melantik Buvac sebagai pengurus Arsenal merupakan pelantikan yang tidak masuk akal.

“Saya tidak percaya kelab seperti Arsenal akan melantik seseorang yang tidak pernah menguruskan kelab sepanjang kariernya. Ia merupakan pelantikan yang tidak masuk akal buat Arsenal.”

22 tahun yang lalu, tiada siapa kenal Arsene Wenger ketika mula-mula mengambil alih Arsenal. Adakah sejarah akan berulang dengan Buvac ?

“Saya tidak kisah beliau [Buvac] pintar macam mana sekalipun atau apa yang pernah dilakukannya kerana beliau melakukan perkara tersebut sebagai orang No 2.. Ia jauh berbeza dengan apa yang dilakukan sebagai orang No 1.”

“Kita tidak bercakap mengenai kerja kosong di kelab Championship atau League One. Kita sedang bercakap mengenai kelab bolasepak Arsenal yang mahu kembali bersaing dengan kelab besar di luar sana.”

“Banyak kerja yang perlu dilakukan pengurus Arsenal yang baru untuk kembali berada di atas.”

BACA:  Champions League 2021/22: Benfica 1-3 Liverpool