Pemegang Guinness World Record Dalam Dunia Bola Sepak Umum Persaraannya

Hari ini merupakan hari yang menyedihkan dalam dunia bola sepak selepas pemain paling banyak mengembara mengumumkan untuk bersara dari sukan ini.

Bintang berusia 44 tahun, Sebastian Abreu secara rasminya telah mengakhiri karier 26 tahun yang sungguh gemilang dalam dunia bola sepak.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah beraksi bersama 31 kelab sebelum mengumumkan untuk bersara terus dari dunia bola sepak.

Selepas mengumumkan persaraannya pada Khamis lalu, Abreu turun beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Sud America bertemu Liverpool Montevideo.

Perlawanan dalam saingan Uruguayan League itu merupakan aksi terakhirnya sebagai pemain bola sepak selepas melengkapkan 851 penampilan rasmi.

‘El Loco’ menandatangani perjanjian bersama Sud pada Mac lalu, sebulan sahaja selepas beliau beraksi bersama skuad dari Brazil, Athletic Club.

Beliau hanya sempat membuat empat penampilan sahaja bersama Athletic sebelum kontraknya ditamatkan ekoran dari penularan wabak C0V-19.

Pada tahun 2017, penyerang veteran itu telah memecahkan Guinness World Record sebagai pemain profesional paling banyak kelab ketika menandatangani perjanjian bersama Audax Italiano dalam saingan Chilean Primera Division.

Beliau selepas itu telah menyertai lima lagi kelab berbeza, seterusnya meninggalkan pemegang rekod sebelumnya, Lutz Pfannenstiel, bekas penjaga gol Jerman yang menyertai 27 kelab sepanjang kariernya.

Abreu memulakan kariernya bersama Defensor dan telah berkelana ke serata dunia seperti Sepanyol, Argentina, Mexico, Greece, Ecuador, Israel, Brazil, Paraguay, Chile dan negaranya sendiri Uruguay.

Beliau juga melalui musim yang sukar ketika kariernya bersama Santa Tecla dan Boston River, yang mana beliau ketika itu merupakan pemain dan jurulatih.

Nampak? Bukan Kepa je pernah jadi pengurus, Abreu lagi hebat, dua kelab beliau beraksi sebagai pemain dan masa sama jadi pengurus.

“Ia merupakan waktu yang tepat, sudah masa untuk undurkan diri sebagai pemain dan memulakan karier sebagai pengurus.”

Jelas Abreu

“Saya akan bersara sekaran, di usia 44 tahun, dengan meninggalkan kelab yang sedang berada dalam keadaan yang baik. Saya sangat yakin inilah masanya.”

Abreu sepanjang 26 tahun gemilangnya, beliau telah berjaya menjaringkan 404 gol termasuk 22 gol dari 37 penampilan bersama skuad kebangsaan Uruguay.

Ketika penentuan sepakan penalti bertemu Ghana, beliau berjaya menjaringkan gol dan membawa skuad kendalian Oscar Tabarez mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2010.

Setahun selepas itu, beliau sekali lagi menjadi wira kebanggaan negara selepas membantu Uruguay menjuarai saingan Copa America.

Selamat bersara Sebastian Abreu.

BACA:  Piala Dunia 2022: Dua Gol Bruno Fernandes Bawa Portugal Ke Pusingan Kalah Mati