Peminat Terharu Melihat Cara Pemain Liverpool Menghargai Takumi Minamino

Para pemain Liverpool terutama Jordan Henderson, Virgil Van Dijk dan Fabinho telah menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dengan meminta para penyokong memberi tepukan yang gemuruh kepada Takumi Minamino.

Ia jelas sekali satu sikap yang sangat terpuji dengan para pemain The Reds memberi dorongan kepada bintang Jepun yang dianggap pemalu itu untuk menjulang Piala di hadapan para penyokong.

Liverpool dan Chelsea telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang aksi 120 minit ketika pertemuan mereka dalam perlawanan akhir saingan Carabao Cup.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan Liverpool mencatatkan kemenangan menerusi aksi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 11-10.

Kepa Arrizabalaga dibawa masuk di hujung-hujung aksi tambahan masa kerana beliau diharapkan bakal memberi impak positif untuk aksi penentuan sepakan penalti yang dilangsungkan di Wembley itu.

Walau bagaimanapun, dari 22 pemain yang mengambil sepakan penalti dalam perlawanan ini, hanya beliau seorang sahaja yang gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Bola rembatan Kepa Arrizabalaga jauh melambung dan pergi ke tempat duduk ‘Row Z’ dan bola tersebut berjaya ditangkap oleh salah seorang penyokong Liverpool yang duduk di Row tersebut.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Jurgen Klopp telah memberikan pujian yang menggunung kepada penjaga gol muda Liverpool, Caoimhin Kelleher yang diturunkan sebagai pemain utama dalam perlawanan tersebut.

Kelleher jelas sekali merupakan antara nadi penting yang membawa Liverpool sehingga ke pentas aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup musim ini.

Ketika aksi perlawanan akhir, beliau konsisten mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan, dan turut cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya dari jentera serangan Chelsea.

Takumi Minamino sendiri misalnya, beliau juga merupakan antara pemain terpenting yang membantu Liverpool mara sehingga ke aksi perlawanan akhir saingan Carabao Cup.

Beliau turut cemerlang menjaringkan empat gol dari lima perlawanan dalam pertandingan ini, termasuk gol penyamaan ketika aksi tambahan masa bertemu Leicester City sebelum ini.

Sayang sekali, Minamino tidak dapat diturunkan dalam aksi perlawanan akhir atas kehendak taktikal pengurus kelab, namun selepas tamat perlawanan, pemain kebangsaan Jepun itu turut diraikan dengan penuh kemeriahan.

Seperti rakaman yang tular di media sosial pada ketika ini, Minamino diraikan oleh rakan sepasukannya dengan meminta beliau menjulang Piala tersebut di hadapan para peminat.

Beliau dalam rakaman tersebut dilihat mengambil Piala dari rakan sepasukannya, Kostas Tsimikas sebelum membawa Piala tersebut ke arah para penyokong.

Ketika beliau berjalan ke arah penonton, Jordan Henderson, Virgil Van Dijk dan Fabinho dilihat meminta para penyokong supaya memberi tepukan kepada bintang Jepun itu.

Para penyokong juga turut memberikan tepukan gemuruh kepada pemain berusia 27 tahun itu dan ia jelas menunjukkan betapa kuatnya ikatan perhubungan mereka sesama pemain.

Jurgen Klopp sendiri turut memuji Minamino sebagai nadi penting sebalik kejayaan mereka menjuarai saingan Carabao Cup, dengan menegaskan yang:

“Tanpa Minamino atau Divock Origi, kita tidak akan berada di sini.”

Jelas pengurus dari Jerman itu ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Minamino turut dipuji kerana menghormati Sadio Mane dengan beliau menolak untuk menyembur Champagne di hadapan bintang Senegal itu.

Ketika pemain Liverpool mahu bergambar selepas selesai majlis penyampaian hadiah, Takumi Minamino dilihat sudah memegang botol Champaign dan sudah tentu beliau mahu menyemburkan air alkohol tersebut.

Ketika beliau sedar Sadio Mane berada di belakangnya, Minamino bertanya semula kepada bintang Senegal itu adakah beliau boleh menyemburkan Champagne tersebut.

Mane kemudiannya menunjukkan isyarat ‘jangan’ dan kemudian berbisik kepada Minamino bahawa beliau tidak boleh menyentuh minuman tersebut atas tuntutan agama.

Minamino dengan segera terus menyimpan semula botol Champagne tersebut kerana beliau mahu menghormati perintah agama Sadio Mane.

Mane kemudiannya dilaporkan memberitahu Minamino bahawa bintang Jepun itu boleh meraikan bersama Champagne tersebut selepas tamat sesi bergambar.

Ketika pemain Liverpool lain menyemburkan Champagne itu, Mane jelas sekali sudah terselamat kerana Minamino sudah menyimpan botol Champagne tersebut.

Peminat kemudiannya teruja dan kagum melihat reaksi Naby Keita, Mohamed Salah dan Ibrahima Konate yang segera bersembunyi di belakang pemain lain, ketika botol champagne tersebut dibuka.

Kesemua mereka kemudiannya meninggalkan kawasan tersebut dan membenarkan rakan sepasukan mereka untuk meraikan kemenangan tersebut dengan Champagne.

Kesemua mereka juga tidak terlibat dengan keraian di bilik persalinan kerana tidak mahu rakan sepasukan yang lain rasa bersalah bermain air alkohol tersebut.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Liverpool Mulakan 2023 Dengan Kekalahan Bergaya