49ers Mahu Ambil Alih Rangers: Apa Impaknya kepada Leeds?
Sekumpulan pelabur dari Amerika Syarikat telah mencapai persetujuan awal untuk mengambil alih kelab bola sepak Scotland, Rangers. Namun, proses ini masih dalam fasa penelitian sebelum ia dimuktamadkan sepenuhnya.
Perbincangan mengenai pengambilalihan tersebut telah berlangsung lebih 3 bulan. Usaha ini diketuai oleh mogul dalam bidang kesihatan, Andrew Cavenagh serta Presiden 49ers Enterprises, Paraag Marathe. Mereka telah mencapai kesepakatan dengan pemegang saham utama Rangers bagi memperoleh pegangan majoriti sebanyak 51%.
Sekiranya pengambilalihan ini berjaya, Rangers akan menjadi kelab ke-2 di Britain yang melibatkan pelaburan dari 49ers Enterprises. Sebelum ini, mereka telah membeli 10% saham Leeds United pada tahun 2018 dan akhirnya mengambil alih sepenuhnya kelab tersebut pada Julai 2023 dengan harga £170 juta.
Pelaburan ini juga menambah bilangan pemilik dari Amerika dalam bola sepak Scotland. Dalam tempoh 10 tahun terakhir, beberapa kelab seperti Dundee, Dundee United, Hibernian dan St Johnstone turut dibeli oleh pelabur dari Amerika Syarikat.
Mengapa Rangers Menjadi Pilihan Pelabur?
49ers Enterprises sentiasa mencari peluang pelaburan dalam dunia sukan. Walaupun Liga Perdana Scotland tidak setanding dengan Liga Perdana Inggeris, Rangers masih dianggap sebagai nama besar di peringkat Eropah.
Dari segi kos, pembelian Rangers jauh lebih murah berbanding kelab lain yang mempunyai skala sama di negara lain. Selain itu, pelabur juga memperoleh sebuah kelab yang menjadi sebahagian daripada persaingan “Old Firm” bersama Celtic serta memiliki stadium Ibrox yang mampu menampung 50,000 penonton.
Dari sudut komersial, Rangers mempunyai kelebihan dengan sokongan besar daripada komuniti ekspatriat di Amerika Syarikat dan Kanada. Terdapat lebih daripada 30 kelab penyokong rasmi di kedua-dua negara tersebut, sebahagian daripada sekurang-kurangnya 600 kelab penyokong di seluruh dunia.
Selain itu, Rangers dan Celtic turut mempunyai kelebihan dari segi kelayakan ke pertandingan Eropah kerana pemenang liga hampir pasti akan layak ke Liga Juara-Juara UEFA.
Namun begitu, Rangers masih ketinggalan berbanding Celtic sejak mengalami masalah kewangan pada tahun 2012, yang menyebabkan mereka terpaksa memulakan semula dari divisyen bawahan. Celtic kini berada di landasan untuk memenangi kejuaraan liga ke-13 dalam tempoh 14 tahun sekali gus menyamai rekod 55 gelaran liga Rangers.
Struktur Pengambilalihan Rangers
Menurut sumber, kumpulan pelabur ini merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya 51% saham Rangers. Mereka telah mengenal pasti pemegang saham yang bersedia untuk menjual pegangan mereka bagi membolehkan pelabur memperolehi kepentingan majoriti serta mengawal keputusan utama kelab.
Pelaburan ini akan dibuat melalui sebuah entiti khas yang diketuai oleh Andrew Cavenagh dan 49ers Enterprises, namun Cavenagh akan memegang bahagian yang lebih besar dalam pemilikan.
Walau bagaimanapun, terdapat peraturan dalam Persatuan Bola Sepak Scotland (SFA) yang menghalang seseorang pelabur memiliki saham lebih daripada satu kelab, kecuali mereka mendapat kebenaran bertulis. Oleh itu, pelaburan ini perlu melalui proses kelulusan rasmi, seperti yang pernah berlaku dalam kes Bill Foley, pemilik Bournemouth yang dibenarkan membeli saham Hibernian.
Selain itu, sekiranya pelabur memiliki lebih daripada 30% saham Rangers, mereka mungkin perlu membuat tawaran kepada semua pemegang saham lain dengan harga yang sama, mengikut peraturan Panel Pengambilalihan UK. Perubahan terbaru dalam peraturan ini bermaksud syarat tersebut tidak lagi terpakai kepada Rangers.
Siapa yang Menjual Saham?
Rangers mempunyai struktur pemegang saham yang luas dengan 7 individu memiliki antara 6 hingga 13% saham.
Antara pemegang saham yang bersedia menjual ialah bekas pengerusi Dave King (12.6%), John Bennett (7%) dan Barry Scott (1.5%). Pemegang saham utama lain seperti Douglas Park (11.54%), George Taylor (10.22%), Stuart Gibson (9.53%), Julian Wolhardt (6.69%) dan John Halsted (6%) juga bersetuju menjual sebahagian saham mereka kerana melihat pelabur baru ini sebagai rakan strategik untuk masa depan kelab.
Proses perundingan yang rumit ini telah diketuai oleh Taylor. Dia merupakan pegawai kanan di Morgan Stanley di Asia dan Halsted, seorang pengasas syarikat ekuiti swasta Pamplona Capital Partners.
Siapa Pelabur di Sebalik Pengambilalihan Ini?
Andrew Cavenagh, seorang ahli perniagaan dari Philadelphia merupakan Pengerusi Eksekutif ParetoHealth, sebuah syarikat insurans kesihatan yang menguruskan lebih $8 bilion aset dan memberikan perlindungan kepada lebih 1 juta orang.
Sementara itu, 49ers Enterprises ialah sebuah syarikat pelaburan dengan anggaran nilai $5.97 bilion pada tahun 2023. Syarikat ini turut mendapat sokongan daripada beberapa tokoh terkenal termasuk pelakon Will Ferrell pemain golf, Jordan Spieth dan Justin Thomas, serta atlet legenda Olimpik, Michael Phelps.
Apa yang Akan Mereka Warisi?
Rangers kini berada dalam keadaan yang memerlukan pelaburan besar serta hala tuju baharu. Dalam saingan liga domestik, mereka ketinggalan 16 mata di belakang Celtic, menjadikan Liga Europa sebagai satu-satunya harapan utama untuk musim ini.
Dari sudut kewangan, struktur kelab semakin baik termasuk pembangunan infrastruktur stadium serta pusat latihan. Namun, dari segi pengurusan pasukan, Rangers masih mengalami ketidakstabilan dalam tempoh 3 tahun terakhir.
Tambahan pula, kelab itu baru sahaja membuat keputusan drastik dengan memecat pengurus, Philippe Clement. Sebagai langkah sementara, bekas kapten pasukan, Barry Ferguson telah dilantik untuk mengendalikan pasukan sehingga pengganti tetap ditemui.
Adakah Ini Akan Menjejaskan Leeds United?
Kemungkinan besar, ya. Jika Leeds dan Rangers layak ke pertandingan Eropah yang sama, peraturan UEFA menyatakan bahawa pemilik yang memiliki lebih daripada 30% saham dalam 2 kelab perlu membuat pilihan—sama ada melepaskan salah satu pegangan mereka atau hanya satu pasukan dibenarkan bertanding.
Walau bagaimanapun, UEFA pernah memberikan pengecualian sebelum ini. Contohnya, situasi yang melibatkan Manchester City dan Girona, serta Manchester United dan Nice. Mereka dibenarkan bertanding dalam kejohanan Eropah kerana pemilikan saham mereka dipindahkan ke dalam amanah khas bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Dari sudut pandang peminat, terdapat kebimbangan bahawa Rangers mungkin menjadi kelab bawahan kepada Leeds dalam sistem pemilikan ini. Hal ini menimbulkan persoalan tentang keutamaan pelaburan serta hala tuju strategik bagi kedua-dua kelab.
Kedudukan Leeds di Bawah 49ers
Sejak pengambilalihan Leeds oleh 49ers Enterprises, mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kelab. Pengerusi, Paraag Marathe sering hadir ke perlawanan Leeds walaupun dia menetap di California. Ia sebagai tanda keseriusannya dalam mengurus kelab. Selain itu, mereka telah melabur besar dalam skuad dan mengekalkan gaji tinggi bagi memastikan pasukan kekal kompetitif dalam usaha kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Marathe dikenali sebagai pemimpin yang tenang tetapi tegas. Sejak mengambil alih kelab, beberapa pegawai kanan telah digantikan manakala pelaburan dalam skuad terus ditingkatkan bagi mengukuhkan cabaran ke Liga Perdana.
Sekiranya Leeds berjaya mencapai promosi, peminat berharap 49ers akan melakukan pelaburan lebih besar dalam pembangunan stadium Elland Road serta meningkatkan pembelian pemain bagi mengukuhkan kedudukan kelab di peringkat tertinggi.
Kesimpulan
Pengambilalihan Rangers oleh 49ers Enterprises berpotensi membawa suntikan kewangan serta hala tuju baharu kepada kelab itu. Namun, cabaran utama yang perlu diatasi ialah kepatuhan terhadap peraturan pemilikan berganda, terutama jika Rangers dan Leeds layak ke kejohanan Eropah yang sama.
Bagi peminat Rangers, ini merupakan peluang terbaik untuk kelab itu bangkit mencabar dominasi Celtic dalam bola sepak Scotland. Sementara itu, peminat Leeds perlu menunggu dan melihat sama ada pengambilalihan ini akan memberi kesan terhadap pelaburan dan masa depan kelab mereka.