Jadon Sancho Kembali Untuk Selamatkan Man Utd Dari Kekalahan

Manchester United melayan kunjungan Leeds United di Old Trafford dalam perlawanan Roses Rivalry yang tertangguh yang sepatutnya telah dilangsungkan pada tahun lepas.

Perlawanan ini telah dijadualkan semula berikutan kematian Ratu Elizabeth II pada bulan September. Tarikh baharu akhirnya disahkan selepas kedua-dua pasukan mara ke pusingan kelima Piala FA tanpa memerlukan perlawanan ulangan pusingan keempat.

Pertemuan antara Manchester United dan Leeds United ini unik kerana mereka akan bertemu sekali lagi pada sabtu juga dalam saingan Premier League dan tidak dapat ditonton di UK kerana Sky Sports atau BT Sport tidak memilih perlawanan ini untuk disiarkan.

Dalam perlawanan ini Leeds United dikendalikan oleh Michael Skubala selepas Jesse Marsch telah dipecat selepas kurang setahun dilantik menggantikan Marcelon Bielsa kerana gagal mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir.

Manchester United sekali lagi diuji beraksi tanpa Casemiro kerana kad merah dan Cristian Eriksen yang berehat panjang, Fred dan Marcel Sabitzer bergandingan dari kesebelasan utama dan Diogo Dalot kembali beraksi.

Manchester United memulakan perlawanan dengan bermain hantaran ke belakang di mana Raphael Varane, Diogo Dalot dan David De Gea saling bertukar hantaran.

Akhirnya Varane menghantar kepada Diogo Dalot yang terus mencari Bruno Fernandes dengan permainan dari bawah tapi pantas ditekan Tyler Adams dan Pascal Struijk membantu menjolok bola kepada Degnand Wilfried Gnonto.

Degnand Wilfried Gnonto bermain satu dua bersama Patrick Bamford dengan satu larian yang mengelirukan lagi pantas Degnand Wilfried Gnonto melepaskan rembatan menewaskan David De Gea.

Selepas 55 saat sepak mula, Leeds United sudah berada di hadapan memberi tamparan awal kepada tuan rumah yang terus menggandakan usaha mereka mencari gol penyamaan.

Pascal Struijk hampir menggandakan kedudukan dengan satu dadaan bola di depan garisan gol namun berjaya ditepis De Gea.

Voli Marcel Sabitzer merupakan percubaan mengancam dari Manchester United dalam tempoh 15 minit pertama namun sedikit tinggi melewati palang.

Selepas 23 minit dua pertukaran sudah dilakukan oleh Leeds United bukan kerana percaturan taktikal tetapi disebabkan kecederaan.

Dua peluang keemasan Manchester United hadir melalui Alejandro Garnacho, yang pertama bola hanya meleleh pergi ke sebelah luar tiang sahaja.

Peluang kedua dari hantaran genius Bruno Fernandes, penjaga gol Leeds, Illan Meslier meluru keluar namun Garnacho berjaya memenangi bola, Luke Ayling berjaya diayamkan namun rembatannya ditanduk keluar atas garisan oleh Maximilian Wober.

Pada minit ke-30 Marcel Sabitzer sekali lagi menunjukkan kemampuannya melakukan percubaan dari jarak dengan satu rembatan kaki kiri berjaya diselamatkan Illan Meslier.

Disebabkan kecederaan pengadil menambah masa permainan separuh masa pertama sehingga 8 minit dan Setan Merah gagal mencari gol penyamaan walaupun menguasai permainan.

Malang terus menimpa apabila tiga minit permainan bersambung, Rapahel Varane menjaringkan gol sendiri selepas tertampan hantaran Crysencio Summerville.

Semuanya berpunca dari Garnacho yang terlepas bola dengan mudah ketika mahu melakukan serangan balas. Garnacho dan Weghorst dikeluarkan, Sancho Facundo Pellistri masuk.

Pada minit ke-62 Marcus Rashford mengurangkan defisit apabila menanduk masuk hantaran sedap dari Diogo Dalot dan Brenden Aaronson hampir menjaringkan gol ketiga melalui sepakan percuma jahat yang terkena tiang.

Lapan minit selepas itu Jadon Sancho menyamakan kedudukan selepas memulakan gerakan dengan bertukaran hantaran dengan Luke Shaw untuk mengekalkan rekod tanpa kalah United di Old Trafford.

Aksi positif dipamerkan Erik Ten Hag dan anak buah mampu bangkit selepas ketinggalan. Leeds United juga seperti membuat keputusan tepat memecat Jesse Marsch

Man Utd XI: De Gea, Dalot, Varane, Martinez, Shaw, Fred, Sabitzer, Garnacho, Fernandes, Rashford, Weghorst

Leeds XI: Meslier, Ayling, Koch, Wober, Struijk, Adams, McKennie, Sinisterra, Harrison, Gnonto, Bamford

BACA:  Rooney: Manchester United Perlukan Dua Pemain Baru Untuk Mencabar Manchester City