Penjaga Gol Ini Menjaringkan Gol Sendiri Seolah Dirinya Dipukau

Penjaga gol Ligue 2, Brice Maubleu dari Grenoble, mempunyai malam yang paling sukar untuk dilupakan selepas beliau membaling bola masuk ke gawang golnya sendiri. Dan kerana jaringan sendiri yang cantik itu pasukannya telah tewas kepada Caen dalam saingan di Ligue 2.

Menjadi penjaga gawang disifatkan sebagai salah satu pekerjaan paling sukar dalam sukan bola sepak profesional. Penjaga gol adalah pemain terakhir yang akan menjadi tembok untuk menahan asakan dari pihak lawan supaya tidak membolosi gawang pasukan.

Lumrah untuk seseorang penjaga gol akan dipuji apabila menunjukkan aksi persembahan yang mantap dan dikecam kerana aksi hambar. Daripada 11 Orang pemain utama dalam padang, posisi penjaga gol adalah posisi yang paling memberi tekanan.

Brice Maubleu, penjaga gol Ligue 2 untuk pasukan Grenoble mempunyai malam yang sukar untuk dilupakan, namun kegagalannya akan terperangkap dalam minda peminat bola sepak di seluruh dunia.

Selepas hanya 1 minit dari dibolosi dan ketinggalan dengan jaringan 1-0, Maubleu menerima bola dan dengan pantas beliau mahu menghantar bola itu ke arah lain dengan melontar bola ke sudut sebelah kanan beliau. Namun bola itu tidak sampai ke mana-mana pemain pasukannya, sebaliknya bola itu masuk menerjah gawang golnya sendiri.

Penjaga gol Grenoble itu ditanya mengenai kesalahan dungu yang dilakukan di dalam padang dan beliau menjawab:

“Keadaan cuaca pada waktu petang ini sangat gelap dan itu adalah salah satu punca. Jaringan sendiri itu pula, saya mahu dengan cepat memberikan bola kepada Jérôme (Mombris), tetapi saya melihat bahawa dia tidak memandang saya, jadi saya menyemak semula keputusan saya dan kemudian bola meninggalkan tangan saya,  agak seperti apa yang berlaku kepada (Steve) Mandanda satu atau dua tahun lalu. “

Maubleu terus mengatakan bahawa dia perlu melupakan insiden buruk ini dan buang jauh-jauh dari fikiran beliau lalu terus bergerak ke depan dan tidak mahu menoleh kebelakang lagi.

“Kejadian seperti ini sering berlaku namun ada orang berfikir bahawa ia tidak mungkin berlaku kepada orang lain. Akhirnya, saya cuma bermain bola memikirkan bahawa semuanya masih baik tetapi nampaknya bola telah masuk. Saya kecewa kerana memberikan lawan kami dua gol mendahului. Saya perlu cepat kembali bekerja dan move on, kerana kemungkinan kejadian ini akan terus berlegar di media sosial.”

Tugas penjaga gawang itu boleh dikatakan paling sukar seperti yang dinyatakan sebelum ini dan penjaga gawang Grenoble bersetuju dengan tekanan kerja itu, mengikut pengalaman sendiri, beliau menerangkan bagaimana peminat hanya akan mengingati kesilapan yang dilakukan dan jarang untuk mereka ingat aksi hebat yang pernah dipersembahkan.

“Kedudukan penjaga gol terdedah kepada risiko. Selepas ini, saya akan kembali untuk beraksi dan menyelamatkan gawang saya dari dibolosi walaupun peminat tidak akan menghargai usaha itu.”

Sebenarnya ada benar apa dikatakan oleh beliau. Bebanan Penjaga gawang ini berat untuk dipikul dan tekanannya juga sangat luar biasa. Acap kali seseorang penjaga gol yang telah melakukan kesilapan akan sukar untuk mendapatkan aksi cemerlang mereka semula.

Lihat saja apa yang berlaku kepada Karius, beliau menunjukkan aksi mantap sepanjang bersama Liverpool. Namun hanya kerana kesilapan beliau di perlawanan akhir Liga Juara-Juara, beliau tidak lagi mendapatkan rentak cemerlangnya.

Bukan saja hanya kerana tekanan dari peminat tetapi ia lebih kepada trauma dan mereka sukar untuk kembali focus pada tugas menjaga gawang.

BACA:  AC Milan Dengan Bangga Senaraikan Giroud Sebagai Penjaga Gol Baharu Musim Ini