Penyokong Chelsea Masih Ragu-ragu Walau Lukaku Sudah Membuat Permohonan Maaf Secara Terbuka

Romelu Lukaku telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada para penyokong Chelsea, selepas kesilapan beliau mengeluarkan kenyataan dungu sebelum ini.

Walau bagaimanapun, para peminat merasakan permohonan maaf beliau itu tidak ikhlas dan menganggap Lukaku hanya menurut perintah sahaja ketika menyampaikan permohonan maaf tersebut.

Lukaku menggemparkan Stamford Bridge pada minggu lalu, selepas tularnya rakaman temu bual beliau bersama Sky Italia yang dilakukan tiga minggu sebelum itu.

Selepas teruk dihentam oleh pelbagai pihak, Lukaku kini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penyokong Chelsea.

“Kepada penyokong, saya minta maaf atas kekecewaan yang telah saya sendiri cetuskan.”

Jelas Lukaku kepada laman rasmi kelab.

“Kamu semua tahu perhubungan antara saya dengan kelab ini sejak dari usia remaja saya, saya faham kamu semua kecewa.”

“Jelas sekali, ia sekarang terserah kepada saya untuk dapatkan semula kepercayaan kamu semua, dan saya akan lakukan yang terbaik untuk menunjukkan komitmen saya setiap hari di padang latihan dan dalam perlawanan, dan memastikan kita menang perlawanan.”

“Juga, kepada pengurus, saya minta maaf dan saya kata kepada rakan sepasukan dan pimpinan kelab kerana saya rasa ini bukan masa yang sesuai.”

“Saya mahu mahu ke terus kehadapan dan memastikan kita mula memenangi perlawanan bola sepak dan saya akan beraksi untuk skuad dalam cara yang terbaik.”

Walaupun Lukaku menegaskan yang beliau tidak bermaksud tidak baik dan tidak terfikir untuk meninggalkan kelab selepas baru 5 bulan di Stamford Bridge, namun para peminat masih meragui beliau dan tidak terlalu mudah menerima permohonan maaf darinya.

“Nampak tak jujur pun permohonan maaf, saya rasa dia minta maaf sebab dia disuruh, bukan dari hati dia.”

“Saya saja ke yang nampak tindakan dia sekadar mengikut skrip? Tak nampak langsung dia ikhlas.”

“Saya rasa bukan hanya kemenangan, tapi banyak lagi yang kamu perlu lakukan untuk menangi semula hati para penyokong.”

“Saya nampak dia macam tahan ketawa, memang tak nampak keikhlasan dia.”

Lukaku dikenakan hukuman denda berat

Chelsea dilaporkan bakal mengenakan hukuman denda bernilai €500,000 ke atas Romelu Lukaku atas komen kontroversi yang beliau keluarkan ketika temu bual bersama Sky Italia.

Lukaku teruk dihentam oleh para peminat selepas beliau meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada pengurus dan kelab secara terbuka dalam temu bual tersebut.

Beliau bukan hanya mengkritik taktikal Tuchel, dengan Lukaku juga sebenarnya turut mendedahkan yang beliau mahu kembali ke San Siro.

Kerana tidak gembira dengan komen tersebut, Thomas Tuchel telah mengetepikan pemain termahal kelab itu dari diturunkan untuk beraksi ketika bertemu Liverpool kemarin.

Pengurus Chelsea itu dilaporkan bakal mengenakan satu lagi hukuman ke atas Romelu Lukaku dengan kali ini denda berat akan diberikan sebagai penalti.

Menurut sumber laporan dari La Republica, Chelsea mahu mengenakan denda bernilai €500,000 ke atas Lukaku atas komen dungu yang beliau keluarkan ketika temu bual bersama Sky Italia sebelum ini.

Ini bukanlah kali pertama Lukaku dikenakan hukuman denda berat dengan beliau turut menerima hukuman yang sama ketika kariernya bersama Manchester United.

Beliau pada ketika itu dikenakan hukuman denda bernilai £400,000 selepas terbang ke Belgium dan gagal melaporkan diri untuk sertai sesi latihan bersama skuad setan merah.

Walaupun beliau teruk dihentam atas komen dungu tersebut, sepertinya pemain berusia 28 tahun itu masih ada masa hadapan di Stamford Bridge walaupun beliau sudah meluahkan rasa cintanya yang mendalam terhadap Inter Milan.

Bercakap tentang keputusan beliau yang mahu mengetepikan Lukaku dari skuad bertemu Liverpool, Tuchel mendedahkan bahawa:

“Ia menjadi semakin kecoh, dan ia sudah terlalu hampir dengan perlawanan.”

“Jadi, saya putuskan untuk lindungi persiapan perlawanan itu dan kerana itulah mengapa dia diketepikan.”

“Sudah tentu, kami sudah bercakap, kami sudah bercakap dua kali dan dia juga sudah bercakap dengan pemain lain.”

“Dan selepas itu, kami semua perlu akur yang ia sudah terlalu hampir dengan hari perlawanan dan ia terlalu besar.”

Pengurus Jerman itu kemudiannya menambah lagi bahawa:

“Kami perlu lindungi persiapan untuk perlawanan itu.”

“Kita ada perlawanan yang besar untuk dimainkan, dan kita perlu beri sepenuh perhatian, yang mana ia sukar untuk kami lakukan walau saya sudah memutuskan keputusan ini, tapi pada padangan saya ia lebih mudah.”

“Sudah tentu ia keputusan yang sukar untuk diambil, tapi pada pandangan saya, ia memang sesuatu keputusan yang perlu diambil.”

Lukaku sudah berjaya menjaringkan tujuh gol dari semua pertandingan untuk skuad Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel, sejak dari awal beliau ditandatangani pada musim panas lalu.

Beliau juga turut berjaya menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan sebaik beliau diturunkan selepas berehat panjang atas masalah kecederaan.

Lukaku berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan selepas ini bertemu Manchester City atau setidak-tidaknya ketika bertemu Spurs pada 24 Januari nanti.

Beliau mungkin perlu membuktikan sesuatu terlebih dahulu, dalam usahanya untuk memenangi semula hati para penyokong Chelsea yang sedang benar-benar terluka dengan kenyataan yang beliau keluarkan.

Tidak pasti apa reaksi para penyokong Chelsea ketika melihat Lukaku kembali beraksi selepas ini, namun satu hal yang pasti, bekas bintang Inter Milan itu perlu bersedia menerima reaksi buruk dari para penyokong.

Beliau berkemungkinan akan dihina, dicaci, dimaki dan pelbagai lagi pada hari beliau diturunkan nanti, dan Lukaku perlu profesional untuk abaikan hal tersebut, dan membuktikan sesuatu kepada para penyokong.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lukaku Mengidam Untuk Bermain Di Itali, Anggap Juventus Pasukan Yang Hebat