Penyokong Liverpool Bengang Gambar Adrian Dimuralkan Bersama Legenda Kelab

Liverpool telah melancarkan mural terbaru kelab yang direka khas bagi meraikan kesemua penjaga gol legenda kelab.

Walau bagaimanapun, kelibat gambar Adrian San Miguel dalam mural tersebut telah mencuri perhatian peminat, yang merasakan beliau masih belum layak memegang gelaran legenda kelab.

Mural tersebut merupakan idea asal dari jurulatih penjaga gol skuad utama Liverpool, John Achterberg dan telah dilukis oleh pelukis tempatan, John Culshaw.

Mural tersebut terpampang di dinding kawasan di mana para penjaga gol menjalani latihan kelab di AXA Training Centre.

Secara keseluruhannya, ada 13 penjaga gol yang berada dalam mural tersebut antaranya seperti Ray Clemence, Bruce Grobbelaar, Jerzy Dudek, Pepe Reina dan Alisson Becker.

Walau bagaimanapun, para peminat tertarik melihat wajah penjaga gol ketiga Liverpool ketika ini, Adrian San Miguel turut ada pada mural tersebut.

Bekas penjaga gol West Ham itu merupakan wira yang membantu Liverpool memenangi gelaran UEFA Super Cup ketika bertemu Chelsea beberapa tahun lalu, dengan beliau cemerlang ketika beraksi dalam penentuan sepakan penalti.

“Ini gurauan kan? Gambar Adrian tu edit je kan? Mustahil ia gambar betul, adakah semudah itu dia jadi legenda kelab?”

“Kalau letak Adrian sebab dia ada menang Piala dengan kelab, kenapa tidak letak sekali semua penjaga gol yang ada sekarang? Karius dan Mignolet juga layak.”

“Hanya kerana Super Cup dia jadi legenda? Jangan salah faham, saya menghormati dia, tapi untuk terima dia sebagai legenda saya rasa ia agak mustahil.”

“Penjaga gol yang paling banyak melakukan kesilapan dan dia baru bersama kita beberapa musim tapi kita sudah angkat dia sebagai legenda?”

“Saya rasa wall itu harus ditukar namanya, kalau ia untuk menghargai legenda kelab, kenapa Adrian ada di sana? Mengarut.”

Ketika penjaga gol menjalani sesi latihan, mereka akan melihat mural tersebut menjadi backdrop, dan Achterberg yakin hal itu akan memberi motivasi tambahan kepada pemain.

“Saya rasa semua orang yang datang berlatih di sini, dia akan dapat sedikit motivasi dari melihat semua penjaga gol terhebat yang pernah beraksi di sini. Dan jika mereka mahu meletakkan diri mereka di sana, mereka perlu buktikan sesuatu.”

Jelas beliau kepada laman rasmi kelab.

“Ia seolah memberitahu kamu sesuatu tentang sejarah kelab dan apa yang sudah dicapai oleh penjaga gol di sini. Dan matlamat kelab adalah untuk mencapai lebih banyak kejayaan.”

“Namun motivasi itu bukan hanya untuk penjaga gol muda sahaja, di sana ada Ray Clemence dan Bruce Grobbelaar yang sudah memenangi banyak Piala bersama kelab, jadi jika kamu jadi lebih dari mereka, kamu perlu menang lebih banyak Piala dan bantu diri kamu untuk jadi lebih baik.”

“Itu motivasi untuk mereka dan untuk penjaga gol muda, ia menunjukkan bagaimana kerasnya kamu perlu berlatih untuk duduk di posisi itu si sini.”

Adrian bermain sebanyak 25 perlawanan bersama Liverpool, termasuk 11 perlawanan ketika mereka memenangi gelaran Premier League pertama kelab selepas 30 tahun pada musim 2019/20.

Melihat kepada penampilan beliau yang sangat sedikit, adalah sangat tidak wajar untuk beliau terus diangkat sebagai legenda kelab.

Untuk menjadi seorang legenda, selain dari mencapai sesuatu pencapaian yang luar biasa menakjubkan, para pemain itu setidak-tidaknya perlulah berada di kelab untuk tempoh yang lama.

Adrian selain baru ditandatangani beliau juga merupakan penjaga gol yang dibeli hanya untuk menjadi back up sahaja dan agak masuk akal untuk melihat para penyokong Liverpool bengang dengan hal seperti ini.

Bukan kerana beliau dibenci oleh para penyokong, namun ia sekadar kerana peminat merasakan yang beliau belum layak untuk dianggap sebagai legenda.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Liverpool Lantik Lulusan Havard Kendali Kaedah Saintifik Cari Pengganti Klopp