Peraturan Sekatan Dipinda Bagi Mengelakkan Chelsea Daripada Bankrap

Kerajaan United Kingdom telah mengambil langkah perubahan mendadak terhadap lesen istimewa yang diberikan kepada Chelsea agar kelab juara dunia tersebut tidak akan perlu memasuki administration dan bankrap.

Hampir dua minggu lalu, kelab nombor satu London ini berdepan masalah apabila aset pemiliknya, Roman Abramovich telah dibekukan oleh kerajaan UK kerana mendakwa dia mempunyai kaitan dan hubungan yang rapat dengan presiden Russia, Vladimir Putin – satu perkara yang sering dinafikan oleh tuan badan sendiri.

Malang buat Chelsea, kelab ini tidak dapat diuruskan seperti biasa kerana tidak dibenarkan untuk berurus niaga dengan mana-mana pihak, hatta para penyokong mereka dan kehilangan banyak sumber pendapatan kelab.

Abramovich kini telah membuat keputusan untuk menjual kelab ini namun segalanya tidaklah semudah dan mengikut saluran biasa. Jika kelab ini dijual, segala hasil jualan akan diraih oleh kerajaan UK dan duit tidak akan sampai kepada Abramovich sendiri.

Tambahan pula, proses penjualan juga tidak akan sama seperti mana jualan kelab-kelab yang lain dan ini telah menimbulkan tanda tanya apakah yang akan terjadi kepada Chelsea dalam jangka masa pendek dan panjang.

Dengan baki tunai yang sedikit, kelab ini berdepan kemungkinan dimasukkan ke dalam pentadbiran, atau sering disebut administration di mana kelab ini akan diuruskan oleh badan bebas dan diisytiharkan bankrap.

Ketika di bawah administration, tiada mana-mana pihak yang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pasukan ini dan pada masa yang sama, kelab akan dilelong kepada pembeli yang baharu. Lebih parah lagi, kelab yang dimasukkan ke bawah administration ini akan dipotong mata – sepertimana yang berlaku kepada Derby County sekarang ini.

Antara kelab tersohor yang pernah melalui fasa administration ini adalah Bolton Wanderers, WIgan Athletic, Portsmouth dan juga Rangers di Scotland.

Jadi, untuk mengelakkan Chelsea daripada terjerumus ke lembah kebankrapan, para pegawai Chelsea telah mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan selama dua hari dan berhasil untuk mendapatkan semakan terhadap beberapa peraturan sekaligus berjaya membolehkan kelab untuk menggunakan wang tambahan bernilai £110 juta, berbanding baki tunai £17 juta sebelum ini.

Wang tersebut adalah jasil daripada royalti hak penyiaran di televisyen serta wang kemenangan – yang sebelum ini telah dibekukan, dan kini sudah pun diberikan kunci kepada Chelsea untuk membuka tabung berkenaan lantas memberikan kemampuan kepada kelab untuk membayar gaji para pemain yang bernilai sekitar £28 juta sebulan, serta perbelanjaan yang lain.

Nilai hasil royalti hak penyiaran adalah £35 juta daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris serta perlawanan di Eropah. Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima wang kemenangan sekitar £39 juta sekiranya mereka berjaya mengekalkan kedudukan ketiga di dalam liga, serta £36 juta andai sekali lagi menjulang piala Liga Juara-Juara UEFA.

Had maksimum £500,000 daripada kutipan tiket pada hari perlawanan juga telah dinaikkan kepada £900,000, manakala had belanja untuk perjalanan juga dibenarkan melebihi £20,000 selepas berjaya mara ke suku akhir UCL menewaskan kelab Perancis, Lille.

Jurucakap kepada wakil Jabatan Digital, Media, Budaya dan Sukan UK berkata;

“Kami telah mengatakan bahawa kami akan hubungi Chelsea untuk memahami apa yang diperlukan untuk membenarkan perlawanan dilangsungkan untuk meminimumkan impak terhadap liga dan juga penyokong.

“Berikutan daripada perbincangan mendalam dengan kelab, kami telah melakukan pengubahsuaian terhadap lesen yang diberikan.”

Selepas sekatan diringankan, Chelsea telah berjaya menewaskan Newcastle United satu gol tanpa balas di laman sendiri, sebelum membenam cabaran Lille dalam pusingan 16 pasukan di Liga Juara-Juara UEFA.

Chelsea bakal melayan pasukan yang telah menyingkirkan Manchester United, Middlesborough, dalam kempen Piala FA pada minggu ini sebelum memberi laluan untuk fasa cuti antarabangsa selama dua minggu.

Selepas tamat cuti antarabangsa, The Blues akan bertemu Brentford pada 2 April, dan akan menerima kunjungan Real Madrid dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA pada 7 April.

Dengan baki perlawanan menentang pasukan biasa-biasa, Chelsea dijangka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kedudukan di dalam liga sekurang-kurangnya di tempat ketiga sekaligus layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan.

Sumber : Metro

BACA:  Jim Beglin Terlepas Gelar Stadium City, 'The Emptyhad' Ketika Sedang Bersiaran Langsung