Pernah Hampir Putus Asa Daripada Bola Sepak, Jorginho Muncul Pemenang Pemain Terbaik Eropah

Bila menyebut nama Jorge Luiz Frello Filho, pasti tidak ramai yang mengenalinya, tetapi sekiranya nama Jorginho disebut, pasti semua orang akan terbayang aksi pemain tengah Itali merencana rentak permainan pasukannya di atas padang.

Namun tahun 2021 menyaksikan pemain ini telah mencipta sejarah peribadi di mana dia telah dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah selepas berjaya membantu Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara UEFA pada musim lalu, serta menjulang Euro 2020 bersama pasukan kebangsaan Itali.

Di sebalik kisah gemilangnya ini, ramai yang tidak tahu bahawa pemain ini pernah, pada suatu masa, mahu melupakan dunia bola sepak dan kembali ke Brazil kepada keluarganya.

Dilahirkan di Imbituba, sebuah bandar pesisir pantai di negeri Santa Carina, Brazil pada tahun 1991, Jorginho berpindah ke Itali ketika usianya  baru menjengah 15 tahun. Memandangkan moyangnya berasal dari Veneto – wilayah dalam Itali, Jorginho mudah mendapat kerakyatan negara Julius Caesar tersebut.

Ketika ejen pemain ini, Joao Santos, ditemuramah portal sukan Football Italia sebelum bermulanya Euro, dia menyatakan bahawa pasukan kebangsaan Brazil ada menghubungi pemain ini ketika dia bergelar pemain Hellas Verona beberapa tahun dahulu, menawarkannya bermain untuk pasukan Selecao tersebut walaupun tidak dapat memberi jaminan tempat di kesebelasan utama. Kalaulah perbincangan itu diadakan pada hari ini, Santos akui situasi kesebelasan utama tersebut pasti berbeza.

Pada tahun 2006, selepas mendarat di bumi Itali, pemain ini menyertai akademi pasukan Hellas Verona dan sejak dari awal dia telah mempamerkan kualiti yang bakal menjadikannya sebagai salah seorang pemain tengah, atau lebih tepatnya, regista terbaik dunia.

Ketika bermain untuk pasukan belia Verona, Jorginho pernah hampir berundur daripada bola sepak dan pulang ke Brazil, selepas kecewa dengan ejennya yang makan duit yang sepatutnya dimiliki oleh pemain ini. Namun niatnya tersebut dibatalkan selepas dia berborak panjang melalui panggilan telefon dengan ibunya, yang juga merupakan insan yang paling banyak memberi galakan kepada Jorginho dalam menzahirkan rasa cintanya kepada bola sepak.

Pada tahun 2010 ketika dia berusia 19 tahun, Jorginho dihantar ke kelab Serie C, Sambonifacese, untuk menimba pengalaman bermain bola sepak berdepan orang dewasa yang sebenar. Hasilnya, dia telah menjaringkan satu gol dalam 31 perlawanan, tetapi rekod 10 assist daripadanya membuatkan dia terus mendapat tempat dalam skuad senior Verona pada musim berikutnya.

Selepas kagum dengan aksi tenang dan bersahaja Jorginho, Napoli menyambar pemain ini pada tahun 2014 dengan kontrak selama empat tahun setengah. Pada mulanya dia sukar untuk mendapat tempat ketika pasukan dilatih oleh Rafel Benitez, namun selepas kemasukan Maurizio Sarri dari Empoli, Jorginho muncul sebagai pemain dan nadi utama pasukan.

Di sebalik aksi cemerlangnya bersama Chelsea dan Itali, Jorginho tetap mendapat kritikan daripada pemerhati bola sepak, tetapi pengikut sebenar bola sepak tahu betapa bernilainya pemain ini.

Pada suatu masa, ketika Chelsea dikendalikan oleh Frank Lampard, Jorginho dilihat agak sukar untuk bersinar seperti mana yang dia lakukan ketika pasukan London tersebut dibimbing oleh Sarri. Malah pada suatu ketika, Jorginho bagaikan tidak mendapat tempat dalam sistem permainan yang mengikut acuan Lampard sendiri.

Dalam satu temuramah oleh ESPN, Jorginho telah mengatakan bahawa lagenda Chelsea itu sebenarnya tidak bersedia untuk mengendalikan pasukan sebesar Chelsea.

“Jap, aku dah habis jujur dah ni pasal Lampard.

“Aku rasa, disebabkan dia ni lejen kat kelab, dia dah lompat beberapa langkah yang perlu sebagai pembelajaran sebelum berpindah ke kelab besar.

“Dia mai ke kelab yang mana dia tu lejen, tanpa ada pengalaman di kelab lain.

“Aku rasa dia mai awai sangt, tak ikut beberapa langkah dan tak sedia untuk pikul tugas pada tahap ni,” ujar Jorginho panjang lebar.

Namun segalanya berubah selepas Thomas Tuchel tiba ke Stamford Bridge. Jorginho kembali menjadi Jorginho seperti biasa, dan bersama N’Golo Kante, mereka menjadi satu gandingan tengah yang cukup mantap dan digeruni pemain lawan. Kedua-dua pemain ini sering menjadi pak guard kepada barisan pertahanan, dan juga menjadi supplier kepada barisan serangan.

Di atas padang, Jorginho selalunya berada di depan barisan pertahanan Azzuri dan The Blues, melindungi mereka menerusi kepintaran taktikalnya serta naluri berjaga-jaganya yang tinggi dalam menghidu bahaya.

Pemain berusia 30 tahun ini sentiasa memastikan perancangan jurulatih, Roberto Mancini dan Thomas Tuchel, berjalan lancar. Dia juga sentiasa memberikan sokongan kepada rakan sepasukan, sama ada ketika membantu meredakan tekanan daripada terkaman lawan ataupun ketika memulakan serangan.

Dalam kempen Euro 2020, terutamanya dalam perlawanan separuh akhir, rekod hantaran tepat yang tinggi – 81 peratus ketika berdepan Sepanyol, Jorginho adalah nadi penting di bahagian enjin pasukan Itali.

Secara purata, kadar ketepatan hantarannya di Euro adalah 95 peratus, dengan sebahagian daripadanya adalah hantaran yang membelah benteng lawan dan mencipta peluang jaringan buat rakan sepasukannya, perkara yang sama dilakukannya di Napoli di bawah Sarri dan juga di Chelsea di bawahTuchel, di mana dia telah berjaya menjulang Liga Europa dan Liga Juara-Juara.

Selepas mengesahkan bahawa dia adalah pemain terbaik Eropah, adalah satu dosa besar sekiranya dia tidak dipilih sebagai pemain terbaik dunia pada tahun ini.

Sumber : Football ItaliaWiki

BACA:  Kegagalan Menyempurnakan Sepakan Penalti Bertemu Switzerland Akan Jadi Hal Paling Menghantui Jorginho