Perseteruan Terbesar Abad Ini: Lionel Messi vs Telur

Sejurus memenangi piala terbesar dalam kancah bola sepak, ramai yang meramalkan bahawa pemain antarabangsa Argentina tersebut telah layak digelar sebagai pemain paling hebat sepanjang zaman. Kehebatan pemain tersebut dilihat telah mengatasi seteru utama beliau iaitu Cristiano Ronaldo. Dan kini Lionel Messi berada dalam pertarungan yang lain untuk dinobatkan sebagai posting Instagram dengan like terbanyak. Dan pencabar beliau pada kali ini adalah sebutir telur. Ya mata anda tak salah, pemegang rekod terbanyak adalah gambar instagram sebutir telur.

Gambar telur adalah satu-satunya gambar di dalam akaun yang tidak dikenali pengendalinya dengan akaun bernama world_record_egg. Foto tersebut pertama kali di muat naik pada empat tahun lepas dengan ciapan “Mari pecahkan rekod dunia bersama-sama, dan dapatkan like paling banyak di Instagram. Kalahkan pemegang rekod like terbanyak di Instagram oleh Kylie Jenner (18 Juta). Kita boleh lakukan!!”

Sejurus memenangi piala dunia bersama pasukan Argentina, yang menundukkan pasukan Perancis, pemain tersebut telah memuat naik kiriman gambar di akaun Instagram dengan kapsyen “CAMPEONES DEL MUNDO!!!!” yang jika dituturkan dalam bahasa Kelantan yang berbunyi “Juaro Dunio!!!”. Ringkas je kapsyen pemain Argentina tersebut, sekaligus menafikan hukum algorithm, teknik & taktik yang diajar oleh sifu pemasaran Instagram bahawa tulisan kapsyen kena panjang, kena guna komma untuk perenggan serta bermacam-macam teknik lagi yang hanya boleh diketahui jika anda mendaftar kelas berbayor seterusnya. Kelas percuma dia ajar takat tu je.

Muat naik pemain tersebut pada pagi Selasa dilihat telah menarik perhatian peminat bola sepak apabila telah mencapai sebanyai 56 juta likes di laman media sosial tersebut  dan pada kiraan sekarang, jumlah tersebut telah mencapai 66 juta likes di Instagram. Namun terdapat spekulasi bahawa peminat pemain tersebut telah menggunakan teknik kotor dengan meng-unlike pada kiriman telur supaya pemain tersebut mendapat majoriti 2/3 likes sekaligus mendapat mandat sebagai kiriman paling banyak like di Instagram.

Pada awalnya kiriman pada akaun Lionel Messi hanya mencecah 51 juta likes pada pagi Selasa, selepas kiriman empat tahun dahulu telur secara tiba-tiba mendapat peningkatan secara mendadak kepada aras baharu 55 juta likes. Yang dispekulasikan sebagai terdapat pertolongan tangan-tangan ghaib dari peminat Cristiano Ronaldo yang tak rela satu lagi rekod dipecahkan oleh Lionel Messi. Sudahlah rekod pencapaian di dalam padang tidak memihak kepada Cristiano Ronaldo, tapi sekurang kurangnya biarlah rekod di luar padang juga tak dibolot oleh pemain dari Argentina. Apa yang nak dibanggakan kalau semua benda dah kalah kan.

Mengikut fakta carian di Wikipedia (tak berapa boleh percaya), Lionel Messi mendominasi dengan senarai 20 most-liked di laman Instagram dengan lapan daripada hantaran pemain tersebut berada di dalam carta 20 teratas. Strong, formidable, & convincing number dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo yang hanya mempunyai tiga sahaja hantaran dalam carta 20 most-liked Instagram posts. Satu lagi kemenangan buat pemain kebangsaaan Argentina.

Menariknya, gandingan antara dua pemain bintang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi telah mengejutkan ramai pihak apabila melakukan koleberasi bersama jenama terkenal dari Itali iaitu Louis Vuitton. Gabungan likes untuk gandingan kedua pemain tersebut di laman Instagram dilaporkan mencecah 74.5 juta likes (42 juta likes di Instagram Cristiano Ronaldo, 32.5 juta likes di Instragram Lionel Messi).

Boleh dilihat kedua pemain tersebut memuat naik hantaran yang sama; iaitu bermain catur diatas kotak beg Loius Vuitton. Foto tersebut dilihat menaikkan imej jenama terkenal dari Itali tersebut yang mana mampu membuatkan dua pemain terhebat pada masa kini untuk berkerja sama di dalam sekeping gambar.

Walau bagaimana pun, Cristiano Ronaldo masih boleh menarik nafas lega kerana beliau masih lagi mempunyai pengikut paling di Instagram iaitu sebanyak 519 juta pengikut yang meninggalkan Lionel Messi yang hanya mempunyai 420 pengikut di laman media sosial tersebut. Malahan, secara faktanya Instagram Cristiano Ronaldo adalah akaun yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram di dunia pada masa ketika ini.

Kejayaan Lionel Messi menjulang piala dunia telah mencetuskan fenomena di dunia, kalau tidak masakan boleh menjadi hantaran yang mempunyai paling banyak likes mengalahkan seteru utama di media sosial Instagram iaitu sebiji telur. Namun, diramalkan jika pemain dari Portugal mampu memenangi kejohanan seumpama tersebut, fenomena tersebut dijangka lebih meriah. Tapi agak mustahil buat Cristiano Ronaldo jika dilihat pada prestasi semasa pemain tersebut.

BACA:  Lima Pemain Terbaik Dunia Kini Pilihan Messi