Pertahanan Utama Manchester United Dipasangkan Alat Pemantau Jantung

Pemain pertahanan utama pasukan Manchester United, Victor Lindelof telah diberikan satu alat pemantau jantung selepas mengalami kesukaran untuk bernafas ketika perlawanan yang menyaksikan pasukan Syaithon Merah tersebut muncul pemenang hasil jaringan tunggal Cristiano Ronaldo.

Dalam perlawanan pada hari sabtu tersebut, Lindelof mengalami sesak nafas dan sakit di bahagian dada, sebelum dikeluarkan dan digantikan oleh Eric Bailly pada minit ke-73.

Pada minggu ini telah berlakunya penularan wabak Covid 19 di dalam kem Manchester United, sekaligus membawa kepada penundaan perlawanan pasukan tersebut menentang Brentford yang sepatutnya dimainkan pada hari Selasa malam Rabu.

Walaubagaimanapun, pihak kelab telah mengesahkan kesukaran pernafasan oleh Lindelof tidak mempunyai kaitan dengan wabak tersebut.

“Victor sekarang ni tengah menjalankan beberapa siri penyiasatan sebagai langkah berjaga-jaga, walaubagaimanapun, dia telah pun sembuh daripada detik cemas yang dia alami ketika dalam perlawanan menentang Norwich,” kenyataan rasmi kelab berbunyi.

“Kesemua petunjuk telah membuktikan bahawa ini tiada kaitan dengan jangkitan Covid di dalam kelab.”

Contoh alat pemantau jantung. Gambar : Medical News Today

Isteri Lindelof, Maja Nilsson Lindelof, telah mendedahkan lebih banyak perincian daripada siasatan yang disebut olehb United, dan mengatakan dia terpaksa memakai alat pemantau jantung selama dua hari.

“Satu perlawanan yang menakutkan dan Victor sangat-sangat tertekan selepas kejadian tersebut,” tulisnya di dalam blog peribadinya, Elle.

“Semalam dia dah lalui banyak ujian dan ada guna alat pemantau jantung selama dua hari untuk memastikan dia okay.

“Semuanya tampak baik sahaja dan agak bernasib baik dan kami kini sedang menunggu ujian terakhir yang akan berakhir esok.”

Selepas perlawanan menentang Norwich, penjaga gol United, David De Gea, telah bercakap tentang ketakukannya berikutan masalah yang berlaku kepada Lindelof dalam temu ramah selepas perlawanan.

“Ya (dengan wajah yang cakna), terutamanya apabila kita dah tengok beberapa pemain yang rasa tak selesa bila bernafas,” ujar De Gea kepada SkySports.

“Kita dah tengok apa yang terjadi kepada Christian Eriksen, Sergio Aguero.. jadi kadang-kadang tu rasa risau tengok pemain yang tiba-tiba jadi macam tu. Jadi elok keluarkan dulu. Harapnya dia baik-baik saja lah.

“Bila adanya cerita macam ni, kesukaran untuk bernafas dan rasa kurang enak, perlawanan tu dah tak bermaksud apa-apa dah.

“Nyawa lebih daripada segala-galanya. Bola sepak ni nanti-nanti pun tak apa.

“Kita nampak pemain yang rasa lesu, aku tak tahu apa yang terjadi, tapi Victor tengah cuba bernafas.”

Pengurus United, Ralf Rangnick, turut memberikan komen tentang apa yang terjadi kepada LIndelof pasca perlawanan.

“Victor tak ingat langsung macam mana benda tu jadi,” ujar Rangnick.

“Aku rasa dia ada berlanggar dengan seorang pemain dan terus jadi susah nak bernafas. Lebih 10 minit juga lah degupan jantung dia jadi lebih tinggi daripada biasa dan dia pun agak terkejut dengan apa yang terjadi, itu yang kita keluarkan dia tu.

“Doktor telah lakukan pemeriksaan selepas perlawanan dan dia nampak baik saja sekarang ni, tapi kita masih perlu jalankan ujian dan tengok macam mana keadaan dia esok.”

Terdapat beberapa insiden yang melibatkan kesukaran pernafasan dan masalah jantung di kalangan pemain bola sepak, dan Lindelof adalah cerita cemas yang terkini.

Sergio Aguero sebelum ini telah mengadu sesak nafas dan jantungnya didapati telah berdegup secara tidak sekata sekaligus membawa kepada siasatan penuh di kalangan pegawai perubatan. Terkini, Aguero telah disahkan bersara daripada bola sepak kerana risiko kehilangan nyawa jika dia terus bermain.

Penyerang Wigan, Charlie Wyke, baru-baru ini telah mengalami serangan jantung ketika latihan dan terpaksa menafikan bahawa insiden yang berlaku kepadanya adalah berpunca daripada vaksin Covid 19.

Dalam kempen Euro 2020 pada musim panas lalu, pemain Denmark, Christian Eriksen terpaksa melupakan bola sepak buat selama-lamanya selepas dia telah tumbang secara tiba-tiba ketika perlawanan berlangsung dan terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan. Kejadian ini telah menghentikan perlawanan selama hampir satu jam sebelum kembali berlangsung.

Tidak seperti Lindelof yang hanya memakai peranti pemantau jantung untuk beberapa hari, Eriksen terpaksa memakai alat tersebut untuk tempoh yang lama, dan pihak Serie A telah mengeluarkan kenyataan bahawa pemain yang bergantung kepada alat tersebut tidak dibenarkan beraksi di dalam liga berkenaan.

Sumber : Sportbible

BACA:  Adakah Vaksin Punca Pemain Tumbang Ketika Beraksi?