Adakah Vaksin Punca Pemain Tumbang Ketika Beraksi?

Selepas pemain bola sepak Denmark, Christian Eriksen menderita cardiac arrest dan tumbang di atas padang di Copenhagen Park Stadium Jun lalu, semakin ramai pemain yang menderita masalah sama.

Sukar bernafas, sakit dada dan tumbang ketika sedang beraksi merupakan situasi yang sudah tidak aneh lagi dalam dunia bola sepak hari ini.

Boleh dikatakan setiap bulan kes sama berlaku dan sudah ada beberapa pemain yang berdepan dengan situasi sama pada ketika ini.

Selepas Christian Eriksen, bintang Sheffield United, John Fleck pula yang menerima nasib sama dengan beliau tumbang ketika sedang beraksi bertemu Reading.

Sergio Aguero kemudiannya mengalami gejala sakit dada dan terpaksa dikejarkan ke hospital ketika beraksi bertemu Alaves pada awal bulan lalu.

Tidak lama selepas itu, bintang Sheriff Tiraspol, Adama Traore turut berdepan masalah sama ketika beliau sedang beraksi bertemu Real Madrid dalam saingan Champions League.

Terbaru, Victor Lindelof pula mengalami sakit dada dan kesukaran untuk bernafas hingga menyebabkan beliau tidak boleh meneruskan aksi ketika bertemu Norwich City kemarin.

Ramai lagi sebenarnya pemain lain yang menderita masalah yang sama, dan menyebabkan ramai peminat percaya ia ada kaitan dengan vaksin.

Namun adakah benar semua insiden ini ada kaitan dengan vaksin?

Menurut Dr Jonathan Drezner yang juga merupakan salah seorang dari sekumpulan Doktor yang memantau keadaan jantung di kalangan atlet sepanjang pandemik ini telah memberitahu ABC yang dakwaan mengaitkan vaksin dengan kematian/bencana dalam bidang sukan adalah informasi yang salah.

Beliau menganggap ia hanyalah dakwaan tak berasas dan tidak ada bukti kukuh yang mengatakan ramai atlet muda meninggal dunia atau terkena cardiac arrest kerana vaksin.

The Australian Technical Advisory Group on Immunisations (ATAGI) telah memantau segala laporan mengenai kebarangkalian vaksin boleh menyebabkan masalah jantung seperti myocarditis atau pericarditis.

ATAGI mengesahkan yang segala penyakit tersebut memang boleh dijangkiti walau tidak mengambil vaksin, dan ia juga sebenarnya salah satu komplikasi selepas disahkan positif C0V-19.

Bahkan seandainya seseorang itu sudah mendapatkan perlindungan vaksin, risiko untuk mereka melalui kesan-kesan sampingan selepas positif adalah lebih tipis.

TGA mengeluarkan laporan penuh setiap minggu untuk memperincikan kadar myocarditis selepas pengambilan dos pertama dan dos kedua mengikut umur dan jantina.

“Pemerhatian kadar di Australia adalah konsisten dengan data antarabangsa. Data ini menunjukkan yang kadar untuk golongan muda adalah lebih tinggi (terutama lelaki muda) dan ia berlaku selepas dos kedua.”

“Kebanyakan kes yang dilaporkan hanyalah kes ringan sahaja, kawalan kendiri dan mereka akan segera pulih sepenuhnya. ATAGI turut mengenal pasti yang ada beberapa kes teruk yang terpaksa menerima rawatan di hospital.”

ATAGI sejak dari awal sudah menjelaskan yang pengambilan vaksin boleh membantu mengurangkan masalah selepas positif C0V-19.

Kesimpulan kajian dari ATAGI

Kajian mereka mendapati yang memang tiada masalah atau vaksin langsung tak ada kaitan dengan masalah serangan jantung yang dihadapi oleh segelintir pemain pada ketika ini.

Mereka tak menolak yang memang ada peningkatan kes myocarditis lemah namun ia sama sekali tidak bahaya dan bakal sembuh dengan sendirinya.

Namun begitu, seandainya individu itu tidak mengambil vaksin, risiko untuk keadaan semakin buruk adalah sangat tinggi berbanding mereka yang menerima vaksin.

Jadi macam mana boleh pemain-pemain ternama dalam dunia bola sepak tumbang ketika beraksi? Pasal vaksin? Berikut merupakan penjelasan tentang insiden-insiden tersebut.

Christian Eriksen

Ramai yang anggap Eriksen tumbang ketika aksi bertemu Finland dalam saingan Euro berpunca dari vaksin.

Namun begitu, satu hal yang peminat perlu tahu, ketika insiden itu berlaku, Eriksen masih lagi belum menerima suntikan vaksin.

Jadi bagaimana vaksin boleh dipersalahkan, sedangkan Eriksen sama sekali tidak divaksin pada ketika itu?

Sergio Aguero

Pemain kebangsaan Argentina ini sebenarnya dilaporkan sudah ada masalah melibatkan jantung beliau sejak dari berusia 15 tahun lagi.

Sebelum muncul vaksin, pada tahun 2019 yang lalu, beliau sebenarnya sudah turut menderita masalah sama ketika aksi bertemu Nigeria.

Jadi vaksin bukanlah penyebab mengapa tahap kesihatan Aguero semakin merosot hingga menyebabkan beliau terpaksa bersara dari dunia bola sepak.

Adama Traore

Untuk bintang Sheriff Tiraspol ini, beliau berkemungkinan hanya berdepan situasi myocarditis lemah selepas pengambilan dos kedua dan kerana itulah beliau tumbang dalam padang.

Beliau kemudiannya sudah boleh kembali beraksi dan ketika aksi perlawanan terakhir Sheriff Tiraspol dalam saingan Champions League bertemu Shakhtar Donetsk, Adama Traore turut bermain selama 90 minit.

Jelas sekali gejala yang menimpa beliau hanyalah sementara dan buktinya beliau sudah kembali sembuh dan boleh bermain seperti biasa.

John Fleck

Bukan hanya doktor bahkan keluarga John Fleck sendiri menegaskan yang insiden menimpa pemain Sheffield United itu sama sekali tidak ada kaitan dengan vaksin.

Hal ini kerana John Fleck sememangnya ada masalah kesihatan dan ketika beliau tumbang, doktor mengesahkan ada beberapa masalah lain yang beliau hadapi ketika itu.

Jadi jauh sekali untuk kaitkan beliau tumbang selepas mengambil vaksin dengan John, keluarga serta doktor sendiri sudah mengesahkan hal itu tidak benar.

Victor Lindelof

Lindelof mengalami rasa kurang selesa dan sukar untuk bernafas ketika aksi bertemu Norwich City sebelum ini dan menyebabkan beliau gagal untuk meneruskan permainan.

Hal ini juga dikatakan tak ada kaitan dengan vaksin dan berkemungkinan ada kaitan dengan kes positif C0V-19.

Kem United pada ketika ini diserang dengan deretan pemain dan staff yang disahkan positif, bahkan perlawanan mereka bertemu Burnley pada minggu ini turut ditangguhkan atas masalah sama.

Jadi masih belum jelas sama ada Lindelof berdepan dengan situasi beliau positif, memang sakit atau kerana vaksin.

Penutup

Nasihat dari Mo Salah tentang vaksin

Ketika ditanya adakah beliau menerima suntikan vaksin dan percaya fungsi vaksin, Salah menjawab:

“Ya saya, mereka semua doktor dan orang-orang yang sudah bekerja dalam dunia perubatan sejak lama dahulu, mereka sudah bertahun-tahun bekerja untuk itu, dan jika saya kata benda tu salah, saya sebenarnya sama saja seperti orang lain di jalanan yang cuba beritahu saya yang saya pass bola tak betul.”

“WHO (World Health Organisation) kata begitu, jadi kita perlu ikut mereka, ini pandangan peribadi saya.”

Sumber: NZherald

BACA:  Christian Eriksen Dipanggil Semula Sertai Pasukan Kebangsaan Denmark