Barcelona Tawarkan Griezmann Kepada United Untuk Dapatkan Victor Lindelof

Barcelona dilaporkan telah menawarkan kepada Manchester United untuk mendapatkan pemain penyerang mereka, Antoine Griezmann dalam usaha kelab untuk mendapatkan Victor Lindelof.

Gergasi Catalan itu mengajak setan merah untuk membuat pertukaran pemain dengan mereka berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan Sweden itu.

Barcelona sedang dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan melibatkan pembayaran gaji para pemain, dan dengan melepaskan Griezmann, maka mereka akan berjaya mengurangkan perbelanjaan yang banyak.

Bintang Perancis itu telah dikaitkan dengan kepulangan semula ke kelab yang beliau tinggalkan pada tahun 2019, Atletico Madrid.

Barcelona dan Atletico Madrid dikatakan berunding untuk membuat pertukaran pemain yang melibatkan Antoine Griezmann dan Saul Niguez.

Walau bagaimanapun, menurut laporan Gol Digitol, hal tersebut sepertinya tidak akan menjadi kenyataan dengan Barcelona ketika ini mengalihkan perhatian mereka kepada pertahanan United, Victor Lindelof.

Manchester United telah mengikat Edinson Cavani untuk tempoh satu tahun lagi, namun sepertinya mereka masih dalam usaha untuk menandatangani seorang lagi pemain di posisi penyerang.

Lindelof sebelum ini sering diturunkan dalam kesebelasan utama United dan digandingkan dengan ketua pasukan, Harry Maguire.

Beliau beraksi dengan baik pada musim lalu, dengan membantu setan merah mara ke perlawanan akhir saingan Europa League dan turut mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua.

Pemain kebangsaan Sweden itu sememangnya menjadi pilihan utama untuk skuad setan merah sejak ditandatangani oleh United dari Benfica pada tahun 2017.

Namun begitu, baru-baru kelab telah mengumumkan penandatanganan baru dengan United berjaya mendapatkan pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane.

Hal itu memberi bayangan jelas yang Lindelof bakal jadi pilihan ketiga selepas Maguire dan Varane, maka beliau tidak akan dapat minit permainan dikehendaki di Old Trafford.

Pemergian Griezmann sepertinya akan membenarkan Barcelona untuk mendaftarkan legenda kelab, Lionel Messi yang ketika ini masih lagi pemain berstatus free ejen.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu telah berjaya menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan untuk Barcelona sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pihak kelab merasakan beliau masih belum menunjukkan aksi terbaiknya selepas Barca membayar £100 juta untuk mendapatkan khidmatnya.

Griezmann bukanlah satu-satunya pemain yang mahu dilepaskan oleh Ronald Koeman pada musim panas ini dengan pengurus Barca itu turut menyenaraikan beberapa pemain lain yang akan dijual.

Menurut laporan dari Marca, Barcelona telah menyenaraikan pemain seperti Samuel Umtiti, Miralem Pjanic, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele untuk dijual.

Presiden kelab, Joan Laporta dengan terbuka mendedahkan yang terdapat banyak kelab lain yang berminat untuk mendapatkan Griezmann.

Beliau pada awal minggu lalu telah mendedahkan bahawa:

“Griezmann merupakan pemain Barcelona, dia masih ada kontrak dengan kelab, dan melainkan ada hal tertentu yang berubah, maka itu hal berbeza.”

“Memang ada pergerakan dalam pasaran pemain, tapi itu hal yang memang biasa berlaku dalam pasaran pemain.”

“Kami tak boleh nafikan yang memang ada kelab berminat dengan pemain kami dan itu menunjukkan pemain kami ada kualiti.”

Barcelona mengakhiri saingan La Liga di kedudukan ketiga pada musim lalu, dan mereka mahu memastikan kelab akan kembali ke landasan kemenangan pada musim ini.

Barca sudah menandatangani Sergio Aguero, Memphis Depay dan Eric Garcia namun kesemua pemain ini masih belum didaftarkan kerana kelab sedang menstabilkan semula kedudukan ekonomi mereka.

Berbaloi untuk United dapatkan Griezmann dengan mereka hanya perlu korbankan Lindelof sahaja

Walau Barca mengakui yang banyak kelab berminat untuk mendapatkan pemain mereka, hakikatnya mereka sedang bermati-matian ketika ini untuk mencari pembeli pemain yang tak diperlukan.

Lihat saja bagaimana sukarnya Barca mencari kelab yang sanggup mengambil Griezmann, mereka telah membuat tawaran kepada banyak kelab, namun belum ada satu pun yang membuahkan hasil.

Begitu juga dengan Samuel Umtiti, yang mana Barca gigih berusaha untuk mencari kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain Perancis itu, namun usaha mereka masih gagal.

Barca ketika ini sedang kesuntukkan masa, dengan mereka harus melepaskan kesemua pemain itu sebelum penutupan pendaftaran pemain pada bulan hadapan.

Jika tidak, Barcelona tidak mungkin boleh mendaftarkan nama Messi, dan juga nama kesemua pemain yang baru mereka tandatangani.

United sepertinya tiada masalah untuk mendapatkan Griezmann dan mereka jelas mampu untuk membayar gaji pemain Perancis itu.

Adakah urusan ini akan dimuktamadkan? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Atletico Madrid Naik Menyampah Dengan Tindakan Barcelona Pancing Griezmann