Atletico Madrid Naik Menyampah Dengan Tindakan Barcelona Pancing Griezmann

Atletico Madrid dilaporkan ‘naik menyampah’ dengan tindakan Barcelona cuba memancing untuk mendapatkan khidmat Antoine Griezmann pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Barcelona telah mengenal pasti Griezmann sebagai sasaran utama untuk memperkuatkan skuad mereka bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Kelab dari Catalan tersebut telah menyediakan dana yang besar untuk mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontrak Griezmaan, yang dilaporkan berjumlah hampir €100juta.

Adakah Griezmann bakal mengikut jejak langkah Arda Turan ? Beli dan peram sehingga berkarat

Walaupun saingan La Liga sudah berakhir dengan Barcelona muncul juara keseluruhan, Atletico Madrid masih lagi mempunyai final Europa League untuk diharungi minggu hadapan. Dengan fokus mereka terarah kepada perlawanan tersebut, segala perbincangan mengenai Griezmann perlu diberhentikan sementara waktu bagi membolehkan pemain tersebut fokus dengan tugasan kelabnya.

Walaubagaimanapun, permintaan Atletico Madrid untuk tidak mengganggu Griezmann tidak diendahkan pegawai atasan Barcelona yang berterusan bercakap mengenai perpindahan tersebut secara umum.

Oktober lalu, presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu mengakui beliau telah mengadakan perbincangan dengan ejen Griezmann dan penyerang Barcelona, Luis Suarez turut memberi petanda pemain antarabangsa Perancis tersebut akan menjadi rakan sepasukannya tidak lama lagi.

“Griezmann merupakan pemain yang memiliki kualiti yang tinggi, dan bermain di tahap tertinggi untuk tempoh yang cukup lama.”

Griezmann amat dialu-alukan di Nou Camp

“Beliau tidak datang ke Barcelona untuk mengambil tempat mana-mana pemain, kerana apa yang paling penting adalah beliau memiliki mentaliti juara. Kehadiran Griezmann amat dialu-alukan.” Ujar Suarez lagi.

Kesabaran Atletico Madrid tidak dapat dibendung lagi dan CEO mereka, Angel Gil Martin mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui laman web rasmi mereka mengecam tindak tanduk Barcelona dalam usaha mereka mendapatkan khidmat Antoine Griezmann.

“Kami [Atletico Madrid] sudah naik menyampah dengan perangai Barcelona. Presiden, pemain, dan ahli lembaga Barcelona bercakap mengenai pemain yang bukan milik mereka dan masih memiliki kontrak dengan kelab lain yang mana pemain tersebut bakal menghadapi perlawanan akhir Eropah tidak lama lagi. Mereka tidak menghormati Atletico Madrid dan peminat kami.”

“Pendirian Atletico Madrid masih lagi kekal dan ia telah diperjelaskan kepada umum beberapa kali sebelum ini. Kami tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan untuk menjual Griezmann dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melakukannya pada masa hadapan.”

Merencik hawauuu

“Beberapa bulan yang lalu, saya secara peribadi memberitahu Presiden Barcelona pemain kami bukan untuk dijual dan kami tidak akan menjual Antoine Griezmann kepada mereka.”

“Pada masa yang sama, saya juga beritahu beiau tindakan Barcelona adalah tidak betul dan tidak menghormati integriti La Liga, memandangkan Atletico Madrid dan Barcelona bersaing sengit sepanjang musim untuk merebut kejuaraan liga. Mereka berterusan menekan salah seorang pemain terbaik dalam skuad kami.”

“Cukup, cukup. Saya berharap kenyataan ini akan menghentikan segala spekulasi dan penyokong Atletico Madrid dapat menikmati kejayaan mara ke perlawanan akhir Europa League.”

BACA:  Everton Beli Lucas Digne Dari Barcelona Pada Harga £22 Juta