Piala AFF Suzuki 2021 : 11 Pemain Yang Bertapak di Eropah Bakal Turun Beraksi

Bola sepak rantau Asia Tenggara seringkali melahirkan bakat-bakat yang mendapat perhatian ramai, dan biasanya kita akan dapat lihat kemunculan para pemain ini dalam kempen Piala AFF.

Mungkin bakat-bakat ini tidak mendapat perhatian dunia setaraf seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan juga Fred, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah membawa harapan dan nafas baharu kepada negara masing-masing.

Sebaik cemerlang beraksi di pentas domestik, ada sebilangan daripada pemain-pemain ini diberikan peluang untuk bermain di liga yang lebih gah di benua Asia iaitu Jepun dan Korea, manakala sebahagian daripada mereka beraksi di pusat tamadun bola sepak dunia – benua Eropah.

Bila kita bercakap tentang pemain yang bermain di Eropah, sudah ramai pemain dari rantau ini mencuba nasib di sana namun tidak ramai yang mampu untuk kekal lama, kecuali mereka yang mempunyai percampuran darah dengan negara luar.

Dalam edisi Piala AFF pada tahun ini, terdapat sebilangan pemain yang beraksi di pentas Eropah dipanggil oleh jurulatih negara masing-masing bagi memperkuatkan cabaran pasukan.

Malaysia

Luqman Hakim (KV Kortrijk – Belgium)

Meskipun ada segolongan manusia yang menuduh Luqman Hakim bermain di Belgium dek pemiliknya berasal dari Malaysia semata-mata, pemain ini dilihat semakin lama semakin meningkat cara permainan dan kelincahannya.

Biarpun hanya sekali sahaja mampu menembusi skuad utama Kortrijk, Luqman dilihat telah berjaya meningkatkan gaya permainan dan juga fizikalnya yang kini mirip Kapten Amerika.

Dengan usia yang masih muda, perjalanan karier Luqman masih lagi jauh dan terbuka luas.

Dion Cools (FC Midtjylland – Denmark)

Pemain ini boleh dikatakan sebagai pemain yang berprofil paling tinggi yang beraksi di pentas Eropah. Berbanding pemain lain yang sekadar memanaskan bangku simpanan, Cools dilihat lebih kerap turun beraksi di padang bersama kelabnya.

Pada musim ini, Cools telah beraksi sebanyak 21 kali buat Midtjylland, termasuk dua perlawanan Liga Europa dan tiga perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara UEFA.

Cools ketika mula-mula mendapat perhatian penyokong Malaysia

Nama Cools mula disebut-sebut oleh para peminat bola sepak Malaysia sejak 2014, di mana ketika itu dia muncul antara pemain muda yang mempunyai harapan tinggi untuk mewakili Sweden, namun disebabkan kecederaan yang sering menguasai diri, perkembangan pemain ini sedikit terbantut.

Setakat ini, Cools telah menyarung jersi Malaysia sebanyak tiga kali, kesemuanya di dalam kempen kelayakan Piala Asia tempoh hari. Dalam kempen Piala AFF, pemain ini dijangka akan menjadi bintang utama kejohanan sekaligus membantu Malaysia untuk mara sejauh mungkin.

Thailand

Thanawat Suengchitthawon (Leicester City – England)

Dilahirkan di Suphanburi, Thailand, dan kemudiannya berpindah ke Perancis bersama ibunya, Thanawat telah mendapat kerakyatan negara tersebut sejak usia muda.

Memulakan karier bersama Nancy II, Thanawat tampil cemerlang sebagai pemain tengah menyerang dan dipanggil untuk menyarung jersi pasukan Perancis bawah-16 dan bawah-17 tahun sekitar 2016 sehingga 2017.

Thanawat, bintang harapan Thailand. Gambar : Goal

Kelincahannya di atas padang telah membuka ruang kepada perpindahan ke bekas juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City, selain faktor pemilik kelab yang berdarah Thailand.

Setakat ini Thanawat masih belum dapat beraksi bersama skuad utama The Foxes, tetapi pada musim ini dia telah beraksi sebanyak tujuh perlawanan bagi skuad pelapis Leicester.

Kawin Thamsatchanan (OH Leuven – Belgium)

Penjaga gol Thailand ini pernah mendapat peluang untuk menyertai ujian bersama Manchester United ketika negara tersebut dikendalikan oleh bekas kapten Syaithon Merah, Bryan Robson.

Tetapi kecederaan berlaku di mana pergelangannya patah, terus menutup pintu peluang sekali seumur hidup buatnya.

Meskipun sering dilanda kecederaan jangka masa panjang, Kawin tetap dapat berkelana ke Eropah dengan menyertai kelab divisyen dua Belgium, OH Leuven dan diberikan jersi bernombor 1.

Disebabkan gagal mendapat tempat sebagai penjaga gol utama kelab, Kawin dipinjamkan ke kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo dan sekali lagi, dia sekadar digunakan sebagai rakan pelatih penjaga gol yang lain.

Dek kurang minit permainan, Kawin dibawa ke Piala AFF sebagai penjaga gol simpanan di belakang Chatchai Budprom, ketika pasukan Thailand menewaskan Timor Leste dalam perlawanan pembukaan.

Jonathan Khemdee (Odense Boldklub – Denmark)

Pemain pertahanan berusia 19 tahun ini mempunyai taraf kerakyatan dua negara, Thailand dan Denmark.

Setakat ini, Khemdee hanya sekali dapat beraksi bersama pasukan utama kelab, ketika mereka tewas kepada FC Midtjylland dalam kempen piala domestik.

Bersama pasukan bawah-19 kelab, Khemdee juga hanya diturunkan sekali (sumber : transfermarkt), ketika pasukannya tewas kepada Silkeborg. Tiada info yang lebih banyak dapat dikorek tentang pemain ini.

Cukup misteri.

Indonesia

Egy Maulana (FK Senica – Slovakia)

Selain Cools, pemain Indonesia ini juga berjaya muncul pemain utama pasukan kelabnya di Eropah. Bersama FK Senica yag bermain di Fortuna Liga – divisyen tertinggi bola sepak Slovakia, Egy telah muncul dalam 11 perlawanan liga dan mencatatkan dua jaringan dan satu assist.

Manakala dalam kempen piala domestik, Egy hanya bermain sebanyak dua kali tetapi telah mencatatkan tiga kali assist.

Disebabkan Piala AFF dilangsungkan di luar kalendar FIFA, sukar buat kelab untuk melepaskan pemain ini dan dia hanya akan dapat dilihat beraksi sekiranya pasukan Garuda berjaya layak ke separuh akhir.

Elkan Baggott (Ipswich Town – England)

Dilahirkan di Bangkok, Baggott telah dibesarkan di England dan layak untuk bermain bersama Sang Garuda menerusi ibunya. Baru berusia 19 tahun, dia telah mewakili Indonesia bersama pasukan peringkat umur bawah-19 pada tahun lalu ketika menentang Macedonia Utara.

Pada tahun ini, telah terjadi satu pertelingkahan kecil antara pemain ini dengan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia di mana dia dituduh enggan mewakili pasukan kebangsaan selepas berkali-kali dipanggil.

Andai karier bola sepaknya tidak dapat pergi jauh, Baggott mungkin masih boleh buat duit dengan modelling. Gambar : Goal

Baggott kemudiannya meminta maaf dan menyatakan bahawa ketidakhadirannya adalah disebabkan peraturan perjalanan yang dikawal ketat dek penularan wabak Covid-19.

Bersama Ipswich, Baggott telah hanya sempat bermain sekali sahaja bersama skuad utama dalam perlawanan EFL Trophy, sebelum dipinjamkan ke kelab divisyen lima, King’s Lynn.

Witan Sulaeman (Lechia Gdansk – Poland)

Witan menyertai kelab Lechia yang bermain di divisyen satu Poland pada bulan September 2021. Memandangkan usianya masih muda dan memerlukan banyak pendedahan, Witan telah diletakkan bersama skuad pembangunan, Lechia Gdansk II.

Berusia 20 tahun, masih banyak yang boleh dipelajari pemain ini di pentas Eropah.

Filipina

Jesper Nyholm (Djurgardens IF – Sweden)

Filipina sememangnya diketahui mempunyai ramai pemain yang mempunyai darah campur dalam jumlah yang ramai, termasuklah Jesper Nyholm.

Jesper dilahirkan di Uppsala, Sweden, dan layak mewakili Filipina menerusi ibunya. Pada tahun 2017, dia pernah dihubungi oleh pembesar bola sepak Filipina untuk mewakili pasukan negara kepulauan tersebut, namun ketika itu dia menolak dengan sopan lantaran memikirkan bahawa dia masih berpeluang untuk beraksi untuk pasukan Sweden.

Namun pada bulan Mei 2021, Jesper secara rasminya menyertai kem skuad kebangsaan Filipina.

Jesper kini beraksi untuk kelan Djurgardens IF di divisyen utama Sweden, dan berain di posisi pertahanan tengah dan pertahanan kanan.

Sepanjang musim ini, Jesper telah beraksi sebanyak 10 kali buat kelab tersebut dan merekodkan keputusan yang bercampur baur.

Angel Guirado (St Joseph – Gibraltar)

Pemain ini mungkin pernah dikenali oleh sebahagian peminat bola sepak di Malaysia kerana dia pernah beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan pada tahun 2018.

Berusia 36 tahun, mungkin tidak banyak yang boleh ditawarkan oleh pemain ini, lagi pula dia kini bermain di liga yang tarafnya mungkin lebih kurang sama dengan Liga Malaysia.

Singapura

Ikhsan Fandi (FK Jerv – Norway)

Bermain di posisi serangan seperti ayahnya, Fandi Ahmad, Ikhsan berkelana ke Eropah sejak tahun 2018 di mana dia bermain untuk pasukan Raufoss. Pada tahun 2020, Ikhsan telah berpindah ke FK Jerv dan setakat ini, dia telah beraksi sebanyak 24 kali buat kelab dan menjaringkan empat gol serta mencipta satu assist.

Ikhsan boleh dianggap sebagai permata baru skuad Singapura di mana dia diletakkan harapan menggunung untuk membawa bola sepak negara tersebut ke tahap yang lebih tinggi, bersama dua adik-beradiknya yang lain – Ilhan dan Irfan, bermula dengan Piala AFF pada tahun ini.

Rujukan : isportsasia, transfermarkt, wikipedia

BACA:  Vietnam Kempunan Tidak Dapat Makan Babi Disepanjang Kejohanan Piala AFF