Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique berpendapat Sergio Ramos sepatutnya dilayangkan kad merah ketika aksi El-Clasico awal pagi tadi.
Dalam saingan separuh akhir Copa Del Rey di Nou Camp itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1.
Real Madrid terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain sayap, Lucas Vazquez seawal minit ke-6.
Barcelona yang tidak menurunkan Lionel Messi dalam kesebelasan utama, melancarkan serangan bertali-arus ke arah kubu Los Blancos dan akhirnya gol penyamaan yang ditunggu-tunggu tiba pada separuh masa kedua menerusi jaringan pemain sayap, Malcom.
Namun begitu, El-Clasico tidak akan cukup jika tidak ada kontroversi. Kapten Barcelona, Gerard Pique berkata Ramos patut menerima kad merah kerana kerap melakukan kesalahan di atas padang.
?? @SergioRamos is now:
✅ Most carded @RealMadrid player ever.
✅ Most carded player in the history of @LaLiga.
✅ Most carded player in the @ChampionsLeague.
✅ Most carded player for @SeFutbol.
✅ Most carded player in El Clásico history.?♂️ @SergioRamos, ladies and gents. pic.twitter.com/cM1ISPakKP
— SPORF (@Sporf) February 6, 2019
Ramos menerima kad kuning pertama beliau seawal minit ke-10 dan bernasib baik untuk tidak menerima sebarang hukuman daripada pengadil apabila menjatuhkan Arthur. Selepas itu, Ramos sekali lagi terlibat dalam kontroversi dimana beliau bernasib baik tidak menerima kad kuning kerana mengasari Luis Suarez.
Walaupun secara keseluruhannya berpuas hati dengan persembahan pengadil, Pique berpendapat Ramos patut dilayangkan kad merah.
“Secara keseluruhannya, pengadil mengendalikan perlawanan dengan baik.”
“Sepatutnya Ramos menerima kad merah, tapi apa yang kami mampu lakukan ?”
Barcelona terpaksa berjuang untuk mencari gol penyamaan dan Messi terpaksa bermula dari bangku simpanan kerana bergelut dengan masalah kecederaan.
Pique gembira dengan apa yang beliau lihat dari Messi walaupun tidak berapa cergas, dan berharap rakannya itu cergas untuk turun berhadapan dengan Athletic Bilbao hujung minggu ini.
“Saya sudah lihat keadaan Messi, dia laju. Beliau tidak lagi merasai kesakitan yang dialaminya sebelum ini, dan itu adalah berita baik.”
“Kami berharap beliau akan bersedia untuk bermain di San Mames dan membantu pasukan ini.”
Kejayaan mengikat Barcelona di Nou Camp merupakan perkara yang positif buat Real Madrid yang bergelut dalam saingan domestik musim ini. Mereka masih lagi ketinggalan 8 mata di belakang Barcelona dalam La Liga dan kejohanan Copa Del Rey dianggap cara paling baik untuk menyelamatkan musim mereka.
Juara Eropah itu sudah 6 kali tewas dalam La Liga musim ini, dua kali ganda dari jumlah kekalahan Real Madrid ketika mereka menjuarai La Liga pada tahun 2017 di bawah Zinedine Zidane.
Real Madrid dan Barcelona bakal berentap sekali lagi di Santiago Bernabeu pada 27 February nanti dalam perlawanan ke-2 separuh akhir Copa Del Rey untuk merebut satu slot ke final.