Pogba Dianggap Punca Sebenar Kekalahan Perancis Di Tangan Switzerland

Paul Pogba telah dianggap punca kepada kekalahan Perancis di tangan Switzerland kemarin dan menyebabkan Juara Dunia 2018 itu tersingkir dari saingan Euro 2020.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu telah tersingkir dari saingan Euro 2020 selepas mencatatkan kekalahan 5-4 di pusingan 16 terbaik menerusi penentuan sepakan penalti.

Mereka awalnya terikat 3-3 dengan Switzerland namun tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan pada masa tambahan permainan, maka perlawanan dilanjutkan hingga ke penentuan sepakan penalti.

Pogba berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik dan menakjubkan untuk membantu Les Bleus mendahului Switzerland dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan tersebut.

Namun aksi persembahan mantap beliau di atas padang sedikit terganggu dengan masalah dan drama yang lebih kontroversi di luar padang.

Bekas pemain midfield Perancis dan Arsenal, Emmanuel Petit telah membincangkan apa yang berlaku di atas padang, dan beliau turut percaya bahawa Pogba telah melakukan kesilapan ketika pasukannya sudah mendahului 3-1.

“Saya tidak begitu faham apa yang sebenarnya berlaku dalam perlawanan Perancis bertemu Switzerland.”

Jelas Petit kepada Paddy power.

“Semasa perlawanan berlangsung mereka hanya bermain dengan baik dalam 20 minit sahaja selepas LIoris menyelamatkan sepakan penalti. Selepas itu, mereka nampak terlalu yakin seolah mereka pasukan yang hebat.”

“Selepas itu, ada satu insiden yang mana Pogba hilang bola dan ia memberikan gol kedua kepada pasukan Switzerland. Perancis terus huru hara.”

“Mereka kehilangan segalanya. Tumpuan, semangat sepasukan, keinginan dan hilang dari perlawanan. Apa yang lebih teruk lagi, mereka mula bergaduh sesama sendiri di atas padang.”

“Memang ada pergaduhan besar antara Adrien Rabiot dan Pogba yang hilang arah, selepas gol kedua Swiss dan saya nampak mereka hilang kawalan hilang keyakinan.”

“Mereka nampak terlalu teruk, sukar untuk saya jelaskan.”

“Kylian Mbappe telah diminta untuk lebih bertanggungjawab sebelum bermulanya kejohanan dan ada timbul isu dia tak nak hantar bola kepada Olivier Giroud.”

Selepas tamat perlawanan tersebut, telah tular berita yang menyatakan bahawa ibu kepada Adrien Rabiot telah bertengkar dengan keluarga Paul Pogba dan keluarga Kylian Mbappe.

Ibu kepada Adrien Rabiot, Veronique yang juga merupakan ejennya telah mencetuskan kekecohan selepas beliau dengan bersahaja mengkritik Paul Pogba sebagai punca kepada terhasilnya gol penyamaan pasukan Switzerland.

Selain mencari gaduh dengan keluarga Pogba, beliau turut mencari gaduh dengan keluarga Kylian Mbappe dengan menyuruh orang tua bintang PSG itu supaya mendidik anak mereka menjadi lebih bersopan santun.

Selepas selesai perang mulut dengan bapa Mbappe, Veronique dilaporkan bergaduh pula dengan ibu kepada bintang PSG itu, Fayza Lamara dan hal tersebut disaksikan oleh para wartawan yang ada di tempat kejadian.

Saksi kejadian melaporkan perang mulut antara mereka berlangsung sekitar 20 minit dan mereka bergaduh agak besar juga hingga mencetuskan kekecohan.

Menurut laporan terbaru, terdapat beberapa isu panas lagi yang sebenarnya telah berlaku semasa perlawanan tersebut berlangsung dan selepas tamat aksi kekalahan Perancis itu.

Laporan pertama mendakwa bahawa Rabiot dan Paul Pogba sudah bertengkar terlebih dahulu di atas padang dengan kedua-dua mereka saling berbalas makian.

Pogba pada hari perlawanan

Rabiot dikatakan tidak gembira melihat sumbangan Paul Pogba ketika membantu barisan pertahanan menyerap asakan bertali arus yang dilancarkan oleh Switzerland.

Selain itu, Raphael Varane juga dilaporkan memaki Benjamin Pavard kerana merasakan bintang Bayern Munich itu kerap melakukan kesilapan ketika bertahan.

Benjamin Pavard kemudiannya menyalahkan Paul Pogba kerana tidak bertahan dengan baik dan Varane terus berpihak kepada pertahanan Bayern Munich itu.

Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Deschamps turut bertengkar dengan Kingsley Coman ketika perlawanan sedang berlangsung.

Ia kerana Kingsley Coman menolak untuk keluar pada aksi babak pertama masa tambahan, namun Deschamps menyuruh beliau untuk tetap keluar.

Bintang 25 tahun yang dimasukkan pada aksi babak kedua permainan itu mahu tetap terus beraksi walau beliau dikatakan mengalami kecederaan.

Coman hanya mahu mengubah persepsi masyarakat yang memandang beliau sebagai mat kaca dan beliau mahu membuktikan dirinya mampu melakukan sesuatu.

Dek kerana kedegilan Coman untuk keluar, beliau dilihat bertengkar dengan Deschamps di tepi padang sehingga pengurusnya itu berteriak kepadanya dengan menyatakan:

“Tapi kamu tak akan mampu untuk terus bermain Kingsley!”

Didier Deschamps kemudiannya telah mengeluarkan pemain sayap Bayern Munich itu pada minit ke-111 permainan dan digantikan dengan Marcus Thuram.

Begitulah huru-haranya skuad Perancis dalam saingan Euro kali ini dan sememangnya tidak mengejutkan untuk melihat mereka tersingkir selepas berlakunya segala insiden seperti ini.

Sumber: Paddy Power

: SB

: GFFN

BACA:  Keputusan Pendakwaraya Itali Bakal Tamatkan Karier Paul Pogba