Pogba Kongsi Rahsia Kenapa Dia Selalu Pakai Sarung Lengan

Paul Pogba sekali lagi menggegar arena bola sepak melalui aksi-aksi yang menarik dan bertenaga sepanjang beraksi bersama pasukan Perancis dalam kempen Euro pada kali ini. Bergandingan dengan pemain paling tawadduk di dunia, N’Golo Kante, Pogba bagaikan melepaskan geram di tengah padang dengan kawalan bola dan hantaran yang menakjubkan, tidak seperti apa yang berlaku ketika dia menyarung jersi kelab, Manchester United.

Selain menjadi tonggak tengah Les Bleus, Pogba juga dilihat mempunyai bakat kepimpinan dan pengaruh yang besar dalam pasukan Perancis, bagaikan seorang jeneral di atas padang dan juga di bilik persalinan.

Bagi mereka yang selalu menonton aksi Pogba, pasti akan perasan yang pemain ini selalu memakai sarung di lengan kirinya, atau dalam bahasa mat saleh benda ni dipanggil arm sleeve.

Selaku orang yang mempunyai semangat inkuisitif yang pasti, pasti kau tertanya-tanya kan, kenapa Pogba pakai benda tu?

Adakah dia takut kulitnya dimamah cahaya mentari? Kalau takut kan cahaya matahari, kenapa pakai sebelah sahaja? Ataupun adakah ini merupakan satu trend yang cuba dicipta oleh Pogba? Ataupun sebenarnya tangan kiri Pogba persis seperti tangan kiri The Winter Soldier? [Gelak sikit. Buat kelakar ni.]

Selepas melakukan kajian yang mendalam, jawapannya akhirnya telah ditemui.

Melalui satu temuramah bersama laman web kelabnya, Pogba memberitahu bahawa dia memakai benda yang dipanggil tubular support bandage yang berfungsi untuk memberikan sokongan ekstra kepada sendi siku itu kerana berasa tidak selesa di bahagian siku kirinya.

“Segalannya bermula dengan sebuah kesakitan, aku rasa sakit [di dalam siku kiri],” ujar Pogba kepada laman web United.

“Sebenarnya sakit tu bermula daripada siku kanan aku, jadi aku pakai lah benda tu di sebelah kanan, lepas tu rasa masalah yang sama dengan belah kiri, jadi aku mula bermain dengan memakai benda ni untuk memanaskan, bukan untuk ikat.

“Dia jadi ketat di bahagian sikut aku.

“Aku pun dah lama bermain dengan pakai benda ni, jadi dah rasa biasa, cuma pakai tu untuk keselamatan je lah.”

Pogba memakai sarung lengan tersebut semasa bermain untuk United dan juga pasukan kebangsaan Perancis.

Sebenarnya pemakaian sarung ataupun bandage ni bukanlah sesuatu yang baru ataupun bid’ah dalam sukan, lagi-lagi dalam bola sepak. Ramai atlet memakai bandage seumpama ini untuk memberi sokongan kepada lutut, buku lali dan juga bahagian-bahagian sendi yang lain.

Alah, macam kau pakai sarung lutut bila nak main bola tu lah.

Pogba juga ditanya adakah dia akan terus memakai sarung lengan tu sampai pencen main bola nanti, dia menjawab besar kemungkinannya, ya.

“Sekarang ni benda ni dah sebati dengan aku.

“Bila orang tengok benda tu, orang akan ingat aku. Dia dah jadi aku,” ujar Pogba seakan-akan bercerita tentang konsep wehdatul wujud antara dia dengan sarung lengan tu.

Pogba bersama Perancis akan turun beraksi lagi pada 28 Jun ini, menentang pasukan Switzerland dalam pusingan 16-pasukan dan di atas kertas, mereka diramalkan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk membenam pasukan lawan.

Jika berjaya melangkah ke suku akhir, Perancis akan bertemu sama ada pasuka Croatia atau Sepanyol – dua pasukan pilihan yang setakat ini melangkah longlai di peringkat kumpulan.

Croatia mengesahkan kelayakan ke pusingan 16-pasukan dalam perlawan terakhir mereka selepas berjaya membenam cabaran Scotland 3-1. Manakala Sepanyol pula dilihat kurang menyengat terutamanya di bahagian serangan di mana mereka gagal mengutip mata penuh dalam dua perlawanan pertama.

Mujurlah Slovakia sudi membuka gol mereka buat anak buah Luis Enrique ini dalam perlawanan terakhir kumpulan, di mana mereka melepaskan lima gol, termasuk satu gol sendiri bertaraf NBA daripada penjaga gol mereka sendiri.

Sumber : ManUtd.com, Goal.com

BACA:  Pogba Gesa Mouriho Guna Taktik Yang Lebih Menyerang