Poncharal: Monster Yamaha Tech3 Ambil Risiko ‘Yang Perlu’ Dengan Dapatkan Hafizh Syahrin

Keputusan pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech3 menandantangani Hafizh Syahrin Abdullah untuk berlumba dengan pasukan tersebut bagi saingan musim ini merupakan satu risiko besar yang perlu ditanggung pasukan terbabit menurut pengurus pasukan, Herve Poncharal.

Poncharal juga merupakan presiden kepada International Road Racing Teams Association (IRTA). Beliau adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk Hafizh ke dalam saingan MotoGP dan menekan kuat untuk pelumba tersebut mendapat tempat dalam pasukan selepas ujian pra-musim di Buriram bulan lepas.

Selekoh yang maut

Dalam ujian tersebut, Hafizh berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun baru kali pertama menunggang jentera MotoGP. Persembahan baik Hafizh akhirnya membuahkan hasil apabila beliau mencipta sejarah menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara beraksi dalam kelas premier MotoGP.

Anak jati kelahiran Selangor ini berjaya mempamerkan aksi yang baik dalam perlumbaan rasmi pertamanya di Qatar minggu lepas, dimana beliau mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-14 sekaligus membawa pulang dua mata.

Bos Hafizh, Poncharal berkata beliau gembira dengan keputusannya mengambil Hafizh sebagai pelumba Monster Yamaha Tech3 dan melihat perkara tersebut sebagai satu risiko yang perlu diambil untuk menjadikan suasana MotoGP lebih meriah.

Herve Poncharal. Individu yang menggembirakan hati setiap rakyat Malaysia. Wajar diberi Datuk !

“Apabila anda memilih pelumba untuk beraksi bersama pasukan anda, sudah pasti ada beberapa elemen risiko yang perlu diambil kira.”

“Saya suka dengan pelumba yang mengambil risiko kerana saya juga gemar melakukan perkara yang sama.”

“Ketika pertandingan, saya gemar menyahut cabaran. Jika anda tidak sukakan cabaran, anda berada dalam sukan yang salah.”

“Pengurus dari pasukan kilang boleh memilih pelumba terbaik kerana mereka mempunyai duit yang banyak untuk membayar pelumba yang dikehendaki mereka. Mereka juga mempunyai jentera terbaik yang tanpa henti menjadi lebih baik. Tetapi perkara ini semua bukanlah masalah kepada kami.”

Dua mata berjaya dikutip di perlumbaan pertama

“Daripada saya menandatangani pelumba terkenal, saya lebih suka mengambil risiko mendapatkan pelumba yang berpotensi menjadi pelumba yang sangat bagus.”

Apabila ditanya lebih lanjut bagaimana perjanjian Hafizh dimuktamadkan, Poncharal mengakui beliau berdepan kesukaran untuk meyakinkan banyak pihak yang Hafizh adalah pelumba yang tepat buat Monster Yamaha Tech3.

“Tahun lepas ketika saya sedang mengikuti perkembangan Xavi Vierge, saya melihat Hafizh dan Xavi bersaing sengit dalam satu perlumbaan Moto2. Saya tahu terdapat potensi yang besar dalam diri Hafizh .”

“Dengan bantuan dari pasukan teknikal yang bagus dan motor yang baik, saya perlu cuba mendapatkan Hafizh. Saya tidak gemar melakukan keputusan yang senang untuk dijangka.”

“Saya berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Sepang, Datuk Razlan Razali untuk berbincang dengannya mengenai Hafizh. Saya memberitahu beliau idea ‘gila’ yang ada dalam kepala saya ketika itu.”

Once upon a time. Bermula dari bawah and now I am here !

“Saya tanya beliau, ‘Bagaimana jika Hafizh berlumba di MotoGP?’ Sudah tentu Razali ingat saya sedang bergurau dengannya.”

“Pihak penaja dan pembekal kelengkapan bertanya siapakah gerangan pelumba yang saya ingin bawa masuk itu kerana mereka tidak pernah mendengar nama Hafizh.”

“Daripada saat itu, saya perlu meyakinkan semua pihak yang Hafizh adalah pelumba yang bagus. Dan saya akan kekal dengan keputusan mengambil Hafizh sebagai pelumba walaupun ada tentangan dari pihak penaja. Mujurlah segalanya berlangsung dengan baik dan semua pihak kini gembira dengan keputusan ini.”

“Sekarang saya berasa cukup gembira. Saya tahu Hafizh tidak akan menjadi pelumba terpantas di MotoGP tetapi saya tahu beliau akan menunjukkan persembahan yang baik untuk pasukan ini.”

BACA:  Khairul Idham Pawi Pelumba Pertama Malaysia Juara Moto3 Di GP Argentina