Premier League 2021/22: Burnley 0-1 Liverpool

Burnley melayan kunjungan anak-anak buah Jurgen Klopp ke bumi Turf Moor untuk beraksi bertemu Liverpool dalam saingan Premier League.

Liverpool sebelum ini berjaya menewaskan Leicester City 2-0 seterusnya merapatkan lagi jurang mata antara mereka dengan pendahulu liga, Manchester City.

Sementara Burnley pula mereka pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka dengan skuad kendalian Sean Dyche itu pada minggu lalu berjaya mengikat Manchester United 1-1.

Liverpool dalam perlawanan ini telah menurunkan kesebelasan terbaik mereka termasuk Sadio Mane yang telah kembali menyertai skuad.

Lima minit pertama perlawanan berlangsung dengan agak seimbang dan boleh dikatakan kedua-dua pasukan memiliki penguasaan bola.

Liverpool walau bagaimanapun dilihat mempunyai kelebihan dengan mereka lebih kerap melancarkan serangan merbahaya ke kubu Burnley.

10 minit pertama perlawanan menjadi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan sudah mula mempamerkan aksi serang menyerang yang lebih aggressive.

Pada minit ke-13, Josh Brownhill sempat mengesan yang Alisson Becker sudah berada sedikit ke depan dan beliau terus memanfaatkan kesempatan tersebut dengan melepaskan rembatan padu dari luar kotak.

Mujur saja penjaga gol Liverpool itu sempat melakukan aksi penyelamatan, seterusnya menyelamatkan gawang golnya dari dibolosi.

Entah mengapa barisan pemain Liverpool tiba-tiba beraksi hambar dengan bola hantaran mereka langsung tidak menemui rakan sendiri.

Burnley nampak lebih dominan dan lebih kerap melancarkan menguji gawang gol The Reds, sementara Liverpool sendiri masih huru-hara tak jumpa rentak persembahan terbaik mereka.

Pada minit ke-21 Mohamed Salah meminta pengadil memberikan sepakan penalti kerana beliau telah dikasari di dalam kotak penalti oleh pemain Burnley.

Pengadil tidak memperdulikan insiden tersebut dan tetap meneruskan permainan seperti biasa dan hasilnya pasukan tuan rumah hampir sahaja memperoleh gol dari kesempatan itu, namun ia digagalkan oleh Trent Alexander Arnold.

Pada minit ke-27 permainan, hasil dari sudut sepakan percuma, Rodriguez berpeluang untuk menjaringkan gol selepas berdepan situasi satu lawan satu, namun malang untuk beliau selepas Alisson berjaya menyelamatkan percubaannya itu.

Dua minit selepas itu giliran Sadio Mane pula yang dihidangkan dengan peluang yang hampir sama hasil sepakan percuma Trent Alexander Arnold, namun rembatan beliau diselamatkan oleh Nick Pope.

Pada minit ke-30, Weghorst menerima bola cantik untuk menjaringkan gol, namun dek kerana terlalu gopoh, beliau sekadar melepaskan rembatan meliar ke sisi gawang.

Pada minit ke-33 barisan pertahanan Liverpool benar-benar telah mempamerkan aksi dungu yang menyebabkan Alisson Becker terpaksa bermain di posisi full-back.

Fabinho kemudiannya menjadi wira Liverpool selepas beliau berjaya menjaringkan gol hasil dari bola hantaran Trent Alexander Arnold.

Arnold mengambil sepakan penjuru dan bola beliau tepat menemui Fabinho yang tidak di kawal di dalam kotak penalti Burnley.

Bintang Brazil itu melepaskan percubaan namun ia diselamatkan, dan bola tersebut kembali ke padanya sekali lagi sebelum Fabinho memastikan bola berakhir di dalam jaring gawang gol.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama dalam perlawanan ini, dengan Burnley nampak sangat bernafsu dalam mencari gol penyamaan.

Liverpool memulakan aksi babak kedua dengan baik selepas mereka berjaya mendominasi permainan dan melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Burnley.

Walau bagaimanapun para pemain Liverpool jelas sekali mempamerkan aksi tidak konsisten dengan mereka kerap didominasi oleh pasukan lawan.

Babak kedua memperlihatkan jentera serangan Liverpool kerap memiliki kesempatan untuk menjaringkan gol namun sayangnya tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan.

Burnley harus diberikan pujian kerana beraksi dengan sangat cemerlang, namun memang agak malang kekurangan kualiti penyudah menyebabkan mereka gagal mendapatkan gol penyamaan.

Tidak dinafikan Burnley memiliki begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun selain kualiti penyudah mereka tumpul, harus diakui yang Alisson Becker beraksi dengan sangat cemerlang dalam perlawanan ini.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan, dengan Liverpool akhirnya mampu menarik nafas lega kerana berjaya membawa pulang tiga mata berharga selepas teruk diuji oleh Burnley.

Mereka kini kekal di kedudukan kedua dalam carta saingan liga, sembilan mata di belakang Manchester City, namun Liverpool masih memiliki kelebihan satu perlawanan belum dimainkan.

Burnley sementara itu kekal di kedudukan tercorot liga, dengan mengumpul 14 mata, empat mata dipisahkan dari zon selamat.

Memandangkan Burnley baru bermain 21 perlawanan dan memiliki kelebihan banyak lagi baki perlawanan yang masih belum dimainkan, maka tidak akan mengejutkan andai mereka bakal keluar dari zon penyingkiran selepas ini.

Burnley (4-4-2): Pope 7: Roberts 6, Mee 6, Tarkowski 6, Pieters 6: Lennon 5, Brownhill 6, Westwood 6, Cornet 5: Weghorst 6 (Barnes 75, 5), Rodriguez 5 (McNeil 62, 6).

Pemain simpanan: Lowton, Cork, Hennessey, Stephens, Collins, Bardsley, Long.

Pengurus: Sean Dyche 6

Liverpool (4-3-3): Alisson 8: Alexander-Arnold 7, Van Dijk 8.5, Matip 8, Robertson 7: Henderson 6 (Thiago 59), Fabinho 8, Keita 7 (Milner 90+1), Salah 6, Firmino 5, Mane 6 (Jota 67, 6).

Kad kuning: Henderson,

Penjaring: Fabinho 40.

Pemain simpanan: Konate, Oxlade-Chamberlain, Tsimikas, Diaz, Kelleher, Elliott.

Pengurus: Jurgen Klopp 7

Pengadil: Martin Atkinson 6

BACA:  Klopp: Pertembungan Menentang United Bukan Penentu Kejuaraan Liga Perdana Inggeris