Premier League 2022/23: Nottingham Forest 1-0 Liverpool

Liverpool terus dirundung malang apabila tewas lagi ketika dilihat berada di momentum dan landasan terbaik untuk kembali mengejar sekurang-kurangnya slot ke Champions League.

Permainan parking bas Nottingham Forest nyata menjadi apabila berjaya mengekang Liverpool pada separuh masa pertama dan kelebihan satu gol di babak kedua berjaya dipertahankan sehingga tamat perlawanan.

Bekas penjaga gol Manchester United, Dean Henderson memastikan pasukan Liverpool mendapat satu lagi aib musim ini dan menjadi Tragedi Oktober 3.0 barangkali.

Pasukan yang berada di tangga tercorot, Nottingham Forest telah menciduk Liverpool dengan penangan bekas pemain muda Liverpool sendiri iaitu Taiwo Awoniyi yang tak pernah diberikan peluang di Anfield.

Nottingham Forest yang berselera tajam telah menyalin hampir keseluruhan pasukan dengan pemain baru berdepan Liverpool yang turun dengan rekod 2 kemenangan straight sebelum ini membuatkan mereka kelihatan berkepak kembali.

Namun Liverpool yang semakin kencang sembang penyokong mereka kembali menyembah bumi di Nottingham Forest.

Liverpool beraksi dengan prestasi yang hambar pada separuh masa pertama. Dan acah acah nak comeback pada separuh masa kedua.

Mohamed Salah mengetuai jentera serangan Liverpool dan Darwin Nunez langsung tiada dalam senarai pemain. Namun Salah agak tidak bermaya kali ini.

Kehilangan Diogo Jota dan Luis Diaz jelas dirasai oleh Liverpool. Dua pemain tersebut masih berehat kerana kecederaan dan dijangka terlepas aksi Piala Dunia 2022.

Taiwo Awoniyi menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-55, cukuplah kerana dia masih mengenang budi mak cik kantin di Anfield. Kalau tak mungkin dia akan melakukan sekurang kurangnya 4 gol lagi.

Secara keseluruhan Nottingham Forest melakukan percubaan tepat yang sama dengan Liverpool.

Bezanya, bekas penjaga gol Manchester United, Dean Henderson lebih bagus daripada Alisson kali ini.

Dia menafikan kesemua percubaan tepat Liverpool termasuk 2 tandukan bahaya daripada Trent Alexander Arnold dan Virgil Van Dijk.

Nottingham Forest hampir menambah kemaluan kepada Liverpool apabila Alisson tidak berdaya kembali semula ke gawangnya selepas berada di kawasan lawan. Namun percubaan akhir itu terkena tiang.

Pastinya kisah itu sudah cukup kelakar untuk dikenang walaupun tak masuk.

Ini adalah kekalahan ketiga Liverpool musim ini. Menyaksikan mereka terus menunjukkan bahawa mereka adalah calon sebenar untuk tidak bermain di UCL musim hadapan.

Forest berjaya mengutip mata kesembilan dan masih berada di kelompok bawahan. Namun mereka pastinya berhak bergembira kerana sudah lama menderita. Sesekali tu adalah benda kelakar yang menghiburkan hati semua.

Sebagai rekod, Nottingham Forest merupakan pasukan dengan 2 mahkota Eropah dalam sejarah kelab mereka. Kelab ini menjadi kelab paling aktif berbelanja  musim panas lalu.

Pengurus mereka yang muka stim dan setiasa mengantuk itu sedang dalam tekanan. Namun dengan mengantuk pun dia masih mampu menewaskan Jurgen Klopp.

Liverpool kini berada sangat jauh tersekat di pertengahan liga Perdana Inggeris.

Kemenangan penuh bergaya ke atas Manchester City diramal menjadi titik perubahan Liverpool untuk kembali ke landasan kemenangan seperti bakal menjadi kenyataan.

Liverpool bermain penuh yakin ketika menewaskan West Ham United walaupun berdepan kesukaran dengan sentuhan penyudah dan penyakit itu terus dibawa ke perlawanan menentang Forest.

Sebanyak 15 percubaan dilakukan oleh Liverpool ke atas Nottingham Forest tetapi semuanya nothing dan tiada satu pun diterjemahkan sebagai gol dalam 7 percubaan tepat terhasil.

Entah siapa yang salah?

Kesebelasan Utama Nottingham Forest : (4-3-3) Henderson; Aurier, McKenna, Cook, Williams; Yates, Freuler, Kouyate; Gibbs-White, Awoniyi, Lingard.

Pemain Gantian : Hennessey, Biancone, Worrall, Boly, Lodi, Mangala, Surridge, Johnson, Dennis.

Kesebelasan Utama Liverpool : (4-2-3-1) Alisson; Milner, Gomez, van Dijk, Robertson; Fabinho, Jones; Elliott, Firmino, Carvalho; Salah.

Pemain Gantian : Adrian, Kelleher, Tsimikas, Bajcetic, Phillips, Alexander-Arnold, Henderson. Oxlade-Chamberlain, Clark.

Pengadil Perlawanan : Paul Tierney.

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester City 1-1 Liverpool