Raheem Sterling Pertahan Tindakan Cacah Tatu M16 Di Kaki

Pemain sayap England dan Manchester City, Raheem Sterling mempertahankan tindakan beliau mencacah tatu berbentuk ‘senapang’ pada bahagian kaki kanannya.

Tatu terbaru Sterling itu telah dirakam ketika beliau menjalani latihan bersama skuad kebangsaan England. Tatu yang menyerupai senapang rifle M16 dapat dilihat dengan jelas di bahagian belakang betis kaki kanannya.

Sterling menerima kecaman hebat kerana mencacah tatu yang tidak sesuai untuk dipertontonkan kepada khalayak umum

Tatu tersebut menerima pelbagai reaksi dari kalayak umum, dengan sebahagian daripadanya mengkritik tindakan Sterling mencacah tatu sedemikian rupa memandangkan beliau adalah seorang ‘public figure’.

Antara mereka yang lantang mengkritik tindakan Sterling adalah Lucy Cope, peneraju pertubuhan NGO ‘Mothers Against Guns’.

Lucy menubuhkan pertubuhan tersebut selepas anak lelakinya ditembak mati di luar sebuah kelab malam di tengah kota London pada Julai 2002.

Lucy menempelak tindakan Sterling memilih gambar senapang untuk ditatu dan menggelar tindakan tersebut sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’.

Tapi tatu Sterling ni duduk dekat belakang betis. Tu pon jadi isu ?

Walau bagaimanapun, bekas pemain Liverpool ini membalas balik kenyataan Lucy dengan berkata tindakan beliau mencacah tatu senapang mempunyai makna yang lebih dalam.

Sterling memuat naik satu status menerusi Instagram beliau untuk menjawab kritikan Lucy dan mendedahkan kisah sedihnya yang sangat mendalam kesannya.

“Ketika saya berumur 2 tahun, ayah saya meninggal dunia kerana ditembak mati. Sejak daripada insiden tersebut, saya berjanji pada diri sendiri untuk tidak menyentuh segala jenis bentuk senapang atau pistol sepanjang hidup saya.”

“Saya hanya ‘menembak’ menggunakan kaki kanan, jadi tatu ini membawa maksud yang lebih dalam.”

Sterling menempelak kembali mereka yang mengkritik beliau menerusi status di Instastory

Musim ini menyaksikan Sterling mengharungi musim yang memberangsangkan dimana beliau berjaya membantu Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao.

Beliau berjaya menjaringkan 23 gol dari 46 penampilan dalam semua pertandingan, iaitu musim terbaik beliau dari segi jaringan gol.

Sterling turut menerima panggilan dari Gareth Southgate untuk menganggotai skuad kebangsaan England yang bakal beraksi dalam Piala Dunia bulan hadapan.

Beliau dijangka bakal bergandingan dengan Harry Kane dan Dele Alli di bahagian serangan pasukan dengan misi utama England adalah untuk mara sejauh yang mungkin selepas mengharungi kempen Euro 2016 yang sangat mengecewakan.

BACA:  UEFA Nations League: England 0-1 Denmark