Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick telah mengesahkan bahawa dia telah membawa masuk seorang pakar psikologi sukan, Sascha Lense, ke Manchester United, dengan tujuan utama adalah untuk melatih otak para pemainnya.
Sascha sebelum ini pernah bekerja bersama Rangnick di RB Leipzig dan menerusi pelantikannya, Rangnink berkata adalah penting untuk mempunyai pakar di bahagian otak di dalam pasukannya.
“Aku tak pasti keadaan kat sini macam mana dan juga di kelab lain, tapi di Jerman kebanyakan kelab mempunyai pakar psikologi sukan atau jurulatih mental – atau apa sahaja yang korang panggil,” ujar Rangnick seperti yang diterbitkan di laman ESPN.com.
“Bagi aku, ini adalah persoalan yang logik. Kalau kau ada jurulatih yang khusus untuk penjaga gol, pendidikan jasmani, malah untuk penyerang, kecergasan, apa sahaja, kau patut ada pakar yang mahir dalam bab otak.
“Dia sebenarnya bukanlah suruh pemain duduk atas sofa merah dan berpegangan tangan sesama pemain sebab sebahagian besarnya memang tak akan buat macam tu.
“Bagi aku, ini adalah tentang membantu menyedarkan pemain bahawa otak patut membantu badan, bukan buat yang sebaliknya. Para pemain dan kesemua pihak dalam pasukan kami perlu fikir dengan cara yang betul.
“Aku rasa sangat gembira dapat bawa Sascha Lense ke sini. Dia bukan jenis yang teori sangat, malah lebih kepada hands on.
“Memandangkan dah pernah kerja bersama di Leipzig, aku yakin yang kami akan dapat banyak manfaat.”
Rangnick setakat ini cerita ini ditulis belum mengumumkan berapa ramai pemain yang akan ditukar menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA menentang sekumpulan Budak Muda dari Switzerland.
Walaubagaimanapun, jurulatih berkaca mata ibarat seorang pensyarah kanan universiti awam gred 54 ini telah mengesahkan bahawa dia akan menurunkan penjaga gol, Dean Henderson dan pemain tengah yang banyak memanaskan bangku simpanan, Donny van de Beek, dengan pasukannya sudahpun mengesahkan kedudukan teratas kumpulan dan layak ke pusingan kalah mati dalam pertandingan terulung bola sepak peringkat kelab tersebut.
Selain itu, Edinson Cavani dan Raphael Varane dikhabarkan sudah sembuh daripada kecederaan dan sudah mampu untuk kembali berlatih pada hari Selasa, tetapi tidak akan diturunkan bagi memberikan tumpuan untuk kesembuhan segera dan membina kecergasan selepas kecederaan.
Siapa sahaja yang diturunkan, Rangnick pasti akan mahu melihat kesinambungan daripada hasil kerja yang telah terhasil daripada kemenangan ke atas Crystal Palace tempoh hari, dengan fokus utamanya adalah dalam bahagian pressing bola di bahagian tinggi di atas padang, serta gaya permainan yang lebih tersusun sama ada ketika memiliki bola atau tidak.
“Ceritanya adalah tentang menambahkan keyakinan dan mempunyai kepercayaan dalam cara kita nak main,” tambah Rangnick.
“Para pemain wajib kena faham. Aku boleh sembang segala benda dengan diorang, tapi aku kena yakinkan diorang. Aku kena masuk ke dasar hati diorang, ke dalam otak diorang, dan juga ke dalam jiwa diorang.”
Transcript of Ralf Rangnick and Nemanja Matic press conference for Man Utd v Young Boys https://t.co/LkYH8Jmj8h
— The News Media (@TheNewsMedia2) December 8, 2021
Pada masa yang sama, Rangnick turut mengumumkan kedatangan seorang pembantu jurulatih, Chris Armas – bekas ketua jurulatih New York Red Bulls, sebaik sahaja dia mendapat pelepasan visa.
Dalam perkembangan lain, pemain veteran Nemanja Matic, turut dijangka akan kembali ke kesebelasan utama selepas dia sekadar memanaskan bangku simpanan ketika menentang Palace. Dia juga dijangka bakal memakai lilitan di lengan sebagai kapten pasukan, memandangkan Harry Maguire dan Bruno Fernandes tidak akan diturunkan demi mendapatkan rehat yang secukupnya menjelang tempoh yang sibuk dalam kancah liga domestik.
Pemain berusia 33 tahun itu kini bermain untuk pengurus yang ketiga sejak tiba di kelab Old Trafford tersebut pada tahun 2017 dan berkata bahawa dia perlu mengambil sedikit masa untuk memahami Rangnick.
“Setiap pengurus mempunyai idea tersendiri dan kami cuba beradaptasi dan cuba memahami idea tu secepat mungkin,” ujarnya dalam satu sidang media pada hari Selasa.
“Aku rasa semua orang dah nampak sikit-sikit tentang idea dia dalam perlawanan tempoh hari menentang Crystal Palace, pressing di kawasan tinggi dan susunan yang kemas ketika bertahan dan juga ketika menyerang.
“Selepas beberapa hari memang agak susah, tapi aku yakin secara perlahan-lahan kesemua orang akan nampak dan hadam ideanya di atas padang sebab kami semua memang perlu faham apa yang dia mahukan daripada kami.”
Tengok ke jawapan Matic tu, mungkin tu sebab utama Rangnick perlukan pakar otak di Manchester United.
Gurau je. Jangan la marah.