Rangnick Pernah Hentam Bintang Liverpool Ini Kerana Memiliki Sikap Yang Teruk

Pengurus Interim Manchester United, Ralf Rangnick sebelum ini pernah memuji begitu ramai bintang-bintang dan pengurus lain dalam saingan Premier League.

Namun begitu, beliau sebenarnya tidak berkenan dengan salah seorang bintang Liverpool kerana pernah menunjukkan sikap yang teruk ketika di bawah pengurusannya.

Ia mungkin berbeza dengan pandangan dari Jurgen Klopp, kerana pemain yang paling tidak digemari oleh Ralf Rangnick, sebenarnya merupakan anak emas pengurus Liverpool itu pada ketika ini.

Ketika Rangnick bertugas sebagai director of football bersama Red Bull Salzburg pada tahun 2014, beliau sudah mula kehilangan pemain utama kelab yang berhijrah menyertai gergasi Eropah yang lain.

Namun begitu, ada juga antara pemain yang pemergian mereka tidak disenangi oleh kelab kerana mereka terlalu mendesak kelab agar segera melepaskan mereka.

Sadio Mane antara nama yang pernah disebut oleh Ralf Rangnick sebagai pemain yang tidak ada sikap yang baik dan beliau juga merupakan individu yang memaksa kelab untuk melepaskannya.

Pemain kebangsaan Senegal itu sempat bersinar dan mencipta nama bersama Southampton, sebelum beliau ditandatangani oleh Liverpool dan menjadi bintang besar dalam dunia bola sepak.

Mane ketika kariernya bersama Salzburg, beliau benar-benar mahu meninggalkan Austria dan mahu melengkapkan perpindahan menyertai Borussia Dortmund.

Dortmund pada ketika itu dikendalikan oleh pengurus yang sedang menguruskan Mane pada ketika ini, Jurgen Klopp.

Dek kerana perlu terlalu lama menunggu tawaran dari Borussia Dortmund, Sadio Mane memutuskan untuk memaksa kelab melepaskan beliau.

Beliau pada ketika itu mendapat tawaran dari Southampton, dan tanpa berfikir panjang, Mane segera mendesak kelab agar memastikan urusan perpindahan itu berlaku.

Tidak lama selepas Mane menggesa pihak kelab untuk melepaskannya, Rangnick bercakap tentang situasi tersebut di IFA Conference pada tahun 2014 yang lalu.

“Kami tak dapat untuk terus mengembangkan Sadio Mane. Dia tidak bermain, dia tidak datang pada sehari sebelum kami beraksi bertemu Malmo. Dia tidak datang sesi latihan, kerana dia terlalu terdesak untuk meninggalkan kelab.”

“Mane mungkin takut kalau-kalau tidak ada sesiapa yang menawarkan tawaran yang betul. Kerana itu kami terpaksa bermain tanpa dia, dengan dua ke tiga pemain lain dibelenggu masalah kecederaan, dan kami kalah aksi leg kedua 3-0.”

Melihat kepada di mana beliau berada sekarang, Mane sepertinya berbangga dengan keputusan beliau untuk sertai Southampton berbanding menunggu tawaran dari gergasi Bundesliga itu.

Seandainya beliau pergi ke Borussia Dortmund, belum tentu Liverpool akan memandang beliau atau berminat untuk menandatangani beliau.

Dan kerana kecemerlangan beliau bersama Southampton lah Liverpool berminat untuk mendapatkan khidmatnya, dan segera berusaha untuk menandatangani beliau.

Bersama Liverpool, beliau berjaya membina gandingan cukup mantap bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino, dengan gandingan mereka dianggap antara yang terhebat dalam dunia bola sepak.

Beliau juga berjaya memenangi pelbagai kejuaraan bersama Liverpool seperti Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup dan Premier League.

Atas segala pencapaian itu, Mane pernah memenangi anugerah pemain terbaik benua Afrika, dan turut menjadikan beliau sebagai salah seorang pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak.

Rangnick sememangnya terkenal sebagai pengurus yang hebat dalam mengembangkan bakat-bakat muda untuk lebih bersinar.

Beliau mempunyai reputasi yang baik dalam mencari pemain biasa-biasa, mengembangkan pemain itu dan kemudian menjualnya dengan harga yang tinggi.

Walau bagaimanapun, beliau kini akan bersama dengan Manchester United, cabaran yang akan beliau hadapi juga berbeza dan ia sangat menarik untuk melihat apa yang mampu beliau lakukan di Old Trafford selepas ini.

Mengenang sejarah antara beliau dan Sadio Mane, tentu sangat menarik untuk melihat bagaimana kedua-dua mereka ketika bertemu nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bukan Pengurus Atau Pemain Liverpool, Tapi Gerrard Paling Teruk Kena Nganjing Selepas City Sah Bergelar Juara