Rangkuman Aksi Lukaku Bertemu Arsenal Membuktikan Beliau Bakal Bawa Chelsea Ke Puncak Kejayaan

Aksi debut kedua Lukaku bersama Chelsea sungguh luar biasa menakjubkan dengan beliau berjaya memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan dan turut menjaringkan gol.

Beliau telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat hebat dan memukau para peminat, sekaligus membuktikan yang Lukaku berpotensi membawa Chelsea ke tahap lebih tinggi.

Penyerang kebangsaan Belgium itu hanya memerlukan 15 minit sahaja untuk membuka akaun golnya bersama skuad Chelsea.

Ia juga jelas menunjukkan yang beliau merupakan penandatanganan paling sempurna Chelsea selepas ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £97.5 juta.

Beliau mudah menjinakkan Pablo Mari dan menghubungkan permainan dengan sungguh menakjubkan, sebelum sempat membuli pemain pertahanan Arsenal dan menyudahkan bola umpanan cantik dari Reece James.

Ia merupakan gol pertamanya bersama Chelsea, dengan beliau gagal untuk mencipta sebarang gol dalam 15 penampilan ketika kariernya di Stamford Bridge sebelum ini.

Ia adalah 10 tahun dahulu, dan Lukaku pada hari ini, selepas mempamerkan aksi yang menakjubkan di Itali, beliau kembali ke Chelsea sebagai seorang penyerang berkelas dunia.

Dengan kelebihan fizikal yang beliau miliki, Lukaku jelas sekali membawa dimensi baru ke dalam jentera serangan Chelsea dan beliau dilihat benar-benar mendominasi Arsenal seperti mana Didier Drogba pernah lakukan selama ini.

The Gunners jelas sekali tidak mampu mengawal beliau sepanjang perlawanan itu, dan terpaksa berdepan dengan kekalahan 2-0 di tangan The Blues.

Lukaku juga berpotensi untuk meledak gol keduanya dalam perlawanan ini, namun mujur saja Bernd Leno berjaya menyelamatkan tandukan padu dari bekas penyerang Inter Milan itu.

Kemas dan tajam, dengan sentuhan pertama yang semakin bagus dan lebih banyak bergerak, jelas menunjukkan Lukaku mempunyai gaya yang cukup berbeza selepas bakatnya digilap oleh Antonio Conte.

Pemain berusia 28 tahun itu dilihat sudah sangat bersedia untuk menggegar saingan Premier League dan bakal menjadi masalah utama kepada barisan pertahanan lawan.

Tidak mengejutkan juga ketika Gary Neville menamakan Lukaku sebagai pemain terbaik pilihannya ketika beliau mengulas untuk Sky Sports.

“Seorang penyerang yang serba lengkap, aksi yang menakjubkan dari awal hingga akhir.”

Komen Neville tentang permainan Lukaku.

“Bukan hanya gol jaringannya, tapi gaya permainan dia sangat berbeza dari kedua-dua pasukan yang beraksi.”

Ketika temu bual selepas tamat perlawanan dengan Geoff Shreeves, Lukaku telah diminta untuk menggambarkan tentang persembahan beliau dalam perlawanan ini.

“Saya boleh katakan dominan.”

Jelas bekas pemain Everton dan Manchester United itu.

“Saya sentiasa berusaha untuk perbaiki kekurangan, perjalanan saya masih panjang, tapi hari ni sudah sangat bagus untuk menang dan ia permulaan yang bagus.”

“Kamu sememangnya perlu bekerja keras untuk pasukan, kamu perlu menang, kamu tentu mahu jaringkan gol kalau ada peluang.”

“Ia sesuatu yang saya belajar dan bekerja keras untuknya, dan saya akan terus berusaha untuk itu kerana pasukan ini sebenarnya sangat berbakat.”

“Mereka merupakan Juara Eropah, dan mereka terus berkembang, saya mahu terus menang. Kita perlu terus berjuang, bekerja keras dan terus mempamerkan aksi persembahan yang sungguh hebat seperti ini.”

Tugas berat menanti Lukaku selepas ini dengan beliau dan skuad Chelsea bakal berdepan dengan sang penakluk dunia, Liverpool yang sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka.

Kemampuan Lukaku juga akan diuji dalam perlawanan tersebut, yang mana beliau bakal berdepan dengan salah seorang pemain centre-back terhebat dunia, Virgil Van Dijk.

Ia tentunya bakal menjadi perlawanan yang sangat menarik dan bakal membuatkan para peminat tidak sabar untuk menyaksikannya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Meroyan Lagi, Minta Penyokong Manchester United Lebih Bersabar