Rangnick Dijanjikan Bonus £8 Juta Andai Bantu Kelab Dapatkan Pemain Ini

Ralf Rangnick telah dijanjikan bonus bernilai £8 juta seandainya beliau berjaya membantu Manchester United untuk menandatangani pemain sasaran utama kelab, Erling Haaland.

Menurut laporan mengejutkan dari UK, Manchester United sedang dalam usaha untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund itu dan mereka mahu menggunakan pengaruh Rangnick untuk memujuknya.

Pada awal minggu lalu, Manchester United secara rasminya telah mengumumkan pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus interim kelab, sehingga akhir musim ini.

Selepas tugas beliau sebagai pengurus interim selesai, Rangnick akan memulakan tugasan baru beliau bersama Man United sebagai penasihat kelab selama dua tahun.

United sudah berjaya menyelesaikan urusan dokumentasi untuk Ralf Rangnick, namun pengurus sementara kelab, Michael Carrick akan turun mengendalikan setan merah untuk aksi bertemu Arsenal awal pagi nanti.

Menurut laporan Bild, Haaland berkemungkinan akan dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas akan datang, dengan pengurus berusia 63 tahun itu akan dapat bonus lumayan andai hal itu berlaku.

Borussia Dortmund sepertinya sukar untuk terus mempertahankan Haaland, dengan banyak kelab yang sudah mula masuk jarum untuk menandatangani bintang Norway itu.

Gergasi dari saingan Premier League dan La Liga sedang dalam usaha mereka untuk menandatangani Erling Haaland pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Pemain penyerang Norway yang kini berusia 21 tahun itu masih mempunyai kontrak bersama Borussia Dortmund sehingga 2024 nanti.

Namun Haaland dilaporkan mempunyai klausa perlepasan bernilai £68 juta dalam kontraknya yang boleh diaktifkan pada penghujung musim ini nanti.

Dortmund seboleh-bolehnya mahu memujuk Haaland agar beliau kekal di Jerman dengan pihak kelab sedang bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada bekas bintang Red Bull Salzburg itu.

Pihak kelab akan menggandakan gaji beliau yang kini £7.5 juta, kepada £15 juta dalam usaha mereka untuk memastikan bintang Norway itu tidak meninggalkan kelab.

Gergasi Bundesliga itu turut mahu menangguhkan tempoh pengaktifan klausa perlepasan Haaland dari musim panas 2022 kepada musim panas 2023.

Pimpinan setan merah percaya yang ketibaan Ralf Rangnick akan membantu mereka untuk mendapatkan Erling Haaland, seterusnya menewaskan pesaing terdekat mereka seperti Chelsea dan Real Madrid.

Pengurus interim kelab itu dilaporkan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Haaland, Borussia Dortmund dan ayah kepada Haaland sendiri, Alf-Inge.

Maka dengan itu, ramai yang percaya pengaruh Ralf Rangnick akan mampu digunakan untuk membawa Erling Haaland ke bumi Old Trafford.

Selain Haaland, Ralf Rangnick juga sangat diharapkan untuk membawa masuk Amadou Haidara sebagai penandatanganan terawal beliau, memandangkan beliau sendiri sudah menyatakan minatnya untuk membawa bintang Leipzig itu ke bumi Old Trafford.

Ralf Rangnick mahu bawa Amadou Haidara ke Old Trafford

Ralf Rangnick telah mengenal pasti pemain RB Leipzig, Amadou Haidara sebagai penandatanganan pertama yang akan beliau lakukan sebagai pengurus interim Manchester United.

Rangnick yang dikenali sebagai ‘The Godfather of gegenpressing itu akan membawa budaya dan philosophy beliau ke bumi Old Trafford.

Menurut laporan dari The Mirror, Rangnick telah meletakkan Haidara dalam senarai pemain yang mahu beliau tandatangani pada jendela perpindahan Januari ini.

United sangat terdesak untuk menandatangani pemain defensive midfielder yang baru, dengan pemain berusia 23 tahun itu menjadi pilihan utama Rangnick.

Ketika menjadi sporting director untuk kedua-dua Red Bull Salzburg dan RB Leipzig, Rangnick telah menandatangani Haidara dengan yuran perpindahan bernilai £17 juta untuk dibawa ke Jerman.

Musim lalu, Haidara melalui musim yang sangat luar biasa menakjubkan bersama RB Leipzig, dengan beliau membuat 43 penampilan dalam semua pertandingan dan turut menjaringkan enam gol.

Pemain kebangsaan Mali itu mempunyai klausa bernilai £33 juta dalam kontraknya, dengan beliau sendiri turut menyatakan minatnya untuk beraksi bersama Man United.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ralf Rangnick Dedah Alasan Tak Turunkan Ronaldo, Sancho, Maguire Dan Jones