Ralf Rangnick Dedah Alasan Tak Turunkan Ronaldo, Sancho, Maguire Dan Jones

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick telah menjelaskan tentang mengapa Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho, Harry Maguire dan Phil Jones tidak diturunkan dalam aksi perlawanan bertemu Aston Villa awal pagi tadi.

Kesemua empat pemain itu tidak diturunkan ketika aksi kemenangan 1-0 Man Utd bertemu Villa dalam saingan FA Cup di Old Trafford itu.

Para peminat agak keliru memikirkan mengapa kesemua empat pemain itu tidak diturunkan dalam perlawanan ini, apa lagi selepas tularnya isu ramai pemain tidak gembira di Old Trafford pada ketika ini.

Sudah tentu para peminat bimbang melihat Ronaldo, Sancho, Jones dan Maguire tidak diturunkan kerana mereka antara yang dikatakan sedang tidak gembira itu.

Walau bagaimanapun, Ralf Rangnick telah mendedahkan sebab mengapa beliau tidak menurunkan kesemua pemain tersebut, dan ia tidak ada kaitan dengan isu yang sedang kecoh pada ketika ini.

“Mereka ada masalah. Saya tak mahu kata mereka sedang mengalami kecederaan, tapi mereka ada masalah otot.”

Jelas Ralf Rangnick kepada MUTV.

“Saya bercakap dengan Cristiano semalam sebelum sesi latihan, dia beritahu saya yang dia ada masalah sejak beberapa hari lalu. Masalah kecil sahaja, tapi pada akhirnya, kami memutuskan untuk tidak mahu mengambil risiko dalam perlawanan yang boleh berlanjutan sehingga 120 minit, jadi kami pilih untuk rehatkan dia, langsung tidak mahu mainkan dia.”

Rangnick kemudiannya menjawab lagi soalan tentang Ronaldo ketika BBC Sport bertanya di mana bintang Portugal itu pada hari perlawanan dengan beliau menjawab:

“Saya rasa dia akan berada di dalam stadium tapi dia ada masalah dengan kesakitan pinggul dia, dengan kesakitan di otot pinggul dia, kami putuskan yang lebih baik untuk tidak mainkan dia dalam perlawanan ini.”

Jelas pengurus interim kelab itu.

“Saya tak rasa ada yang serious. Dia beritahu saya yang dia ada masalah sejak beberapa hari lalu. Sekali lagi, dalam pertandingan seperti ini kamu mungkin perlu bermain hingga 120 minit, saya fikir adalah lebih baik untuk tidak mengambil sebarang risiko.”

Menjelaskan tentang ketiadaan ketua pasukan, Harry Maguire yang tidak diturunkan, Rangnick menjawab:

“Dia masih menderita masalah kecederaan otot dan saya sangat berharap saya boleh gunakan dia ketika aksi bertemu Villa (Premier League) pada hujung minggu ini, namun untuk hari ini dia masih belum boleh bermain.”

Bercakap tentang situasi Jones yang baru sahaja melakukan aksi pertamanya selepas sekian lama direhatkan, Rangnick menjelaskan bahawa:

“Dengan Phil Jones, dia ada sedikit masalah dengan otot betis. Sama juga, dalam pertandingan seperti hari ini, memang tak masuk akal untuk risikokan dia, tambahan pula ia melibatkan otot betis.”

Sementara itu, Rangnick turut mendedahkan yang Jadon Sancho sepatutnya diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan ini, namun pada saat akhir beliau terpaksa digugurkan dari skuad.

Hal ini kerana Sancho dilaporkan ada masalah hamstring dan Rangnick turut menggunakan alasan yang sama untuk hal ini dengan beliau tidak mahu mengambil sebarang risiko menurunkan bintang England itu.

Para pemain Manchester United bermain dengan sangat baik dan berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan ini.

Namun selepas tamat perlawanan, sepertinya para peminat benar-benar melepas geram ke atas Rashford kerana aksi sendu yang beliau persembahkan.

Rashford dihentam kerana pamer aksi sendu

Bintang Manchester United, Marcus Rashford teruk dihentam oleh para penyokong sendiri kerana beliau dianggap tak bersemangat ketika beraksi bertemu Aston Villa awal pagi tadi.

Beliau dikatakan terlalu lemau dan nampak langsung tak bersemangat ketika aksi kemenangan 1-0 Man Utd menewaskan Aston Villa di Old Trafford dalam saingan FA Cup itu.

United berjaya melayakan diri ke pusingan keempat saingan FA Cup selepas menewaskan Aston Villa, dengan Scott McTominay muncul sebagai penjaring gol kemenangan mereka dalam perlawanan ini.

Scott McTominay cemerlang menanduk masuk bola hantaran cantik dari Fred pada minit ke-8 dalam perlawanan ini, seterusnya ia menjadi gol kemenangan untuk mereka.

Villa boleh dikatakan lebih dominan dalam perlawanan ini dengan dua gol jaringan mereka dinafikan oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver.

Walau sudah berjaya mencatatkan kemenangan dan melayakan diri ke pusingan seterusnya, namun para penyokong tetap tidak gembira melihat persembahan skuad setan merah.

Persembahan Rashford antara yang paling mencuri tumpuan dengan beliau teruk dihentam oleh peminat-peminat di media sosial.

“Saya berani katakan ada sesuatu yang berlaku pada Marcus Rashford pada musim ini. Saya macam tak percaya lihat persembahan dia sekarang begitu teruk.”

“Saya tak rasa Rashford dalam keadaan baik-baik sahaja, saya jamin ini bukan hal dalam padang sahaja. Tentu ada masalah lain juga di luar padang. Dia tak nampak gembira langsung.”

“Dia macam tak ada sepenuhnya dalam padang, apa sebenarnya yang berlaku pada dia? Kalau dia terus macam ini karier bola sepak dia akan hancur.”

“Terlalu teruk persembahan dia, ada peluang keemasan pun dia macam malas nak bergerak, saya dah penat nak mengeluh tentang persembahan dia.”

“Kelab perlu lakukan sesuatu, Rashford merupakan pemain harapan kita, jangan biarkan dia terus hanyut.”

Penyampai BBC, Simon Stone yang turut menonton perlawanan tersebut di Old Trafford, telah menyatakan bahawa:

“Ada beberapa penyokong Manchester United yang rapat dengan saya, mereka langsung tak gembira dengan Marcus Rashford.”

“Pemain kebangsaan England itu bergelut dengan masalah prestasi dia sekarang dan tidak ada yang nampak memihak kepada dia pada ketika ini.”

Rashford sememangnya agak bergelut sepanjang perlawanan tersebut, dengan beliau turut mempersia-siakan kesempatan emas untuk menjaringkan gol pada aksi babak kedua permainan.

Beliau gagal mendapatkan bola muntah dalam kotak kerana beliau langsung tak berusaha untuk mendapatkan bola itu dan kerana itulah beliau teruk dihentam oleh para peminat.

“Jika Rashford menghulurkan kaki dia, saya rasa dia boleh jaringkan gol dengan tap-in sahaja. Tapi nampaknya dia tak mahu menjaringkan gol yang terlalu mudah.”

Jelas penyampai BBC, Dion Dublin.

“Jika dia kekalkan momentum larian dia, dia boleh gunakan side-foot. Dia nampak dah tawar hati, saya sendiri rasa saya dah lama tak nampak dia tersenyum.”

Rashford telah dikeluarkan pada hujung-hujung minit permainan dan ketika berjalan keluar, beliau mendapat sokongan dari para penyokong di Old Trafford.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dari 14 penampilan dalam saingan Premier League musim ini, dan kemerosotan prestasi beliau telah menjadi topik perbincangan hangat para peminat dan pundit sejak kebelakangan ini.

“Saya faham Marcus Rashford ada masalah kecederaan dan dia bergelut untuk dapatkan semula keyakinan dia.”

Jelas Alan Shearer kepada BBC.

“Dia sudah lakukan tugas yang sungguh menakjubkan di luar padang, tapi saya bimbang hal itu semua menyebabkan dia hilang minat dan tidak lagi menikmati karier bola sepak dia.”

Minggu lalu, Rashford didakwa merajuk dan beliau juga dianggap salah seorang dari 17 pemain yang tidak gembira di Old Trafford pada ketika ini.

Beliau walau bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan di laman twitter miliknya, untuk menafikan segala dakwaan tersebut.

“Saya ada baca sesuatu baru-baru ini yang menyatakan saya agak diam di sini, tapi apa lagi boleh saya katakan untuk buat keadaan lebih baik melainkan dengan cara membuktikannya di atas padang?”

“Kita semua turut merasakan kekecewaan dengan persembahan kami sejak kebelakangan ini dan kami lebih kecewa dengan berita-berita yang mempersoalkan komitmen kami bukan hanya kepada pengurus, jurulatih, tetapi kepada kelab.”

“Saya sangat menghormati semuanya dan saya melihat ke hadapan untuk memperbaiki permainan saya di bawah staff di Manchester United.”

“Saya tak merajuk, saya bukan tak gembira, saya kecewa dengan persembahan saya sendiri. Sudah tentu ia mengecewakan saya.”

“Saya adalah pengkritik terbesar diri saya sendiri. Ia jelas satu permulaan yang sangat sukar tapi saya berazam untuk membuktikan saya bernilai.”

“Dedikasi dan keinginan saya untuk berada d sini tidak sepatutnya dipersoalkan. Saya sangat sayangkan kelab ini.”

Sumber: Manchester United News

BACA:  Europa League 2020/21: Manchester United 1-1 AC Milan