Reaksi Solskjaer Minta Penyokong Sambung Maki Beliau Lepas Tamat Temu Bual Mencuri Perhatian Peminat

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berjaya menutup mulut penyokong yang cuba mengganggu temu bual beliau dengan cara yang sungguh menakjubkan.

Selepas tamat aksi kemenangan 3-0 Manchester United menewaskan Tottenham Hotspur, Solskjaer telah ditemu bual oleh MUTV dan ketika itulah ada peminat yang cuba membuat onar.

Pengurus dari Norway itu mengukir senyum lebar sebaik tamat perlawanan tersebut selepas anak-anak buahnya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Gol jaringan dari Cristiano Ronaldo, Edinson Cavani dan Marcus Rashford berjaya mengesahkan kemenangan 3-0 United menewaskan Spurs, secara tidak langsung membantu mereka mengutip tiga mata berharga di Tottenham Hotspur Stadium.

Manchester United melalui beberapa minggu yang suram dalam aksi saingan Premier League, selepas mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan dari empat perlawanan terakhir.

Bermula dengan kekalahan 1-0 bertemu Aston Villa, setan merah kemudiannya mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Everton di Old Trafford.

Mereka kemudiannya dibelasah 4-2 oleh Leicester City sebelum diaibkan dengan kekalahan 5-0 bertemu seteru utama, Liverpool di Old Trafford pada hujung minggu lalu.

Ekoran dari kesemua aksi buruk itu, Ole Gunnar Solskjaer berdepan dengan kesukaran yang teramat sangat, dengan masa depan beliau sebagai pengurus United juga turut terancam.

Bertemu Tottenham Hotspur yang juga sedang bergelut dengan masalah prestasi, menjadi satu kelebihan untuk Solskjaer dan beliau perlu memanfaatkan sepenuhnya kesempatan tersebut untuk mencuri tiga mata bertemu anak-anak buah Nuno Espirito Santo itu.

Solskjaer akhirnya berjaya membangkitkan semangat anak-anak buahnya, dengan mereka cemerlang membelasah Tottenham Hotspur 3-0 malam kemarin.

Persembahan para pemain Manchester United juga sangat berbeza dalam perlawanan ini, dengan mereka dilihat lebih berfungsi dan corak permainan mereka juga lebih teratur.

Menggunakan sistem baru, para pemain dilihat lebih selesa untuk beraksi dan mampu untuk mempamerkan aksi persembahan berbeza berbanding sebelum ini.

Solskjaer antara manusia paling gembira dengan keputusan ini, bahkan beliau turut menunjukkan reaksi bahagia ketika melayan peminat yang memaki hamun beliau selepas tamat perlawanan tersebut.

Selepas tamat perlawanan tersebut, masih ada penyokong yang tidak keluar dari stadium, dan telah membuat onar dengan mengganggu Solskjaer untuk ditemu bual.

Ketika Solskjaer mahu menjawab soalan dari wartawan, ada penyokong yang tidak henti-henti memaki beliau, dengan pengurus dari Norway itu kemudiannya menyatakan:

“Boleh tak saya lakukan temu bual ini dan kamu sambung maki saya selepas tu, eh?”

Jelas pengurus Manchester United itu sambil ketawa riang tanpa sikit pun menunjukkan rasa kesal dimaki oleh peminat.

“Kamu boleh katakan semula benda itu!”

Reaksi Solskjaer ketika melayan peminat yang membuat onar itu dirakam oleh MUTV yang ketika itu sedang mahu menemubualnya.

Pengurus berusia 48 tahun itu sangat berbangga dengan keputusan yang mereka catatkan bertemu skuad kendalian Nuno Espirito Santo malam kemarin.

Beliau merasakan yang segala latihan dan kerja kerasnya bersama para pemain dalam tempoh seminggu lalu membawa hasil yang memberangsangkan.

Solskjaer berbangga melihat persembahan anak-anak buahnya terutama Cavani yang menunjukkan peningkatan mendadak pada aksinya dalam perlawanan tersebut.

“Setiap perlawanan, ketika kamu menang kamu akan tentu sangat gembira.”

Jelas Solskjaer.

“Kami masuk pada pagi Selasa dan bekerja dengan sangat keras sepanjang minggu ini tentang taktikal dan mentaliti serta berusaha memastikan semua orang bersedia untuk berdepan perlawanan sukar selepas ini.”

“Kamu berusaha untuk lakukan perubahan dan saya sangat gembira bekerjasama dengan para pemain.”

“Kamu perlu untuk ada dalam bilik persalinan untuk mengetahui perbezaan antara menang dan kalah.”

“Saya jauhkan diri dari semua bunyi bising. Kamu tahu apa berlaku di luar sana. Kamu tahu kamu perlu pastikan persembahan bagus. Setiap kali kamu kalah dalam sesebuah perlawanan, ia merupakan perasaan yang sangat teruk. Kamu hanya mahu perlawanan seterusnya.”

“Kami ambil masa seminggu untuk mendapatkan tahap persembahan seperti ini. Ia sangat penting untuk berusaha dari segi fitness, mental dan kami ubah taktikal. Ia sangat lega saya ada empat hari untuk lakukan semua itu.”

Solskjaer yang terus menerus dikaitkan dengan bakal dipecat oleh Manchester United turut menegaskan yang segala kritikan tersebut langsung tidak menjejaskan beliau.

“Kelab ini tersangat besar dan kritikan itu sentiasa ada.”

“Bagi saya, ia langsung tidak menjejaskan saya kerana saya sudah beraksi selama 18 tahun dalam dunia bola sepak, jadi saya tahu ada hari ia sempurna dan ada hari kita berduka. Saya tahu semua itu dan kita memang perlu berdepan dengannya.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ole Cetuskan Kegemparan Awam Apabila Bertanya 'Apa Yang Kami Perlukan?'