Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte telah dihubungi wakil daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez untuk bertanyakan sama ada beliau bermina untuk menggantikan tempat Julen Lopetegui di Santiago Bernabeu.
Perez meletakkan Conte sebagai pilihan utamanya untuk menggantikan Lopetegui sekiranya Real Madrid mengambil keputusan untuk memecatnya dalam masa terdekat ini.
Lopetegui dibawa masuk untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Zinedine Zidane yang meletakkan jawatan secara mengejut selepas membimbing Los Blancos memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut hujung musim lalu.
Lopetegui baru sahaja memegang jawatan tersebut sejak May lalu tetapi telah menerima tekanan hebat dari pelbagai pihak berikutan prestasi mengecewakan Real Madrid di peringkat domestik musim ini.
Real Madrid kini berada di kedudukan ke-7 La Liga dan hanya mampu memenangi 6 dari 13 perlawanan liga setakat ini. 3 daripadanya berakhir dengan kekalahan dimana mereka tewas mengejut di tangan Levante ketika bermain di hadapan penyokong sendiri hujung minggu lalu.
Conte yang dipecat Chelsea pada Julai lalu masih lagi ‘berehat’ dan masih belum menerima mana-mana tawaran untuk menjadi pengurus pasukan. Pemiliki Chelsea, Roman Abramovic membawa masuk rakan senegaranya, Maurizio Sarri untuk menggantikan tempat beliau di Stamford Bridge berikutan prestasi The Blues yang tidak memberangsangkan musim lalu.
Menurut sumber Sky Sports, Conte menolak peluang untuk menyertai Real Madrid pada awal musim ini kerana mahu berehat buat seketika dari bola sepak.
Walau bagaimanapun, menurut laporan itu juga, Conte sudah bersedia untuk kembali ke lapangan pengurusan dan bersedia untuk mencuba nasib bersama kelab terbesar di dunia.
Sebelum ini Direktor Real Madrid, Emiliano Butragueno mengesahkan Lopetegui akan terus memegang jawatan pengurus pasukan sekurang-kurangnya sehingga El-Clasico yang akan berlangsung hujung minggu ini. Real Madrid akan berkunjung ke Nou Camp Sabtu ini dalam aksi El-Clasico pertama musim ini tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus.
Sedikit kelegaan buat Real Madrid kerana Barcelona juga akan turun tanpa khidmat pemain berpengaruh yang juga pemenang Ballon d’Or sebanyak 5 kali, Lionel Messi yang mengalami kecederaan ketika perlawanan La Liga minggu lalu menentang Sevilla.
Sekiranya Real Madrid tumpas di tangan Barcelona Sabtu ini, mereka akan ketinggalan 7 mata di belakang Barcelona walaupun baru mengharungi 10 perlawanan liga.