Rivaldo: Messi Pemain Terbaik Dunia, Tetapi Ronaldo Berhak Menangi Ballon D’Or

Bekas pemain Barcelona, Rivaldo percaya Lionel Messi adalah pemain terbaik dunia tetapi Cristiano Ronaldo berhak memenangi Ballon D’Or  kerana kejayaan yang dicapainya bersama Real Madrid tahun ini.

Rivaldo sempat memberikan pendapat beliau mengenai dua pemain terbaik dunia ketika ini menjelang pertemuan paling ditunggu-tunggu dunia bolasepak iaitu El-Clasico hujung minggu ini. Real Madrid dan Barcelona bakal berentap sesama mereka Sabtu ini dalam perlawanan yang bakal diadakan di Santiago Bernabeau.

Dari segi rekod pertemuan di antara dua pasukan ini, Real Madrid mendahului Barcelona dengan memenangi 72 dari 174 perlawanan El-Clasico dalam saingan La Liga. Dari segi pungutan piala pula, Real Madrid masih mendahului pasukan dari Catalan ini, walaupun pada ketika ini Real Madrid jauh ditinggalkan Barcelona  dalam kedudukan liga.

Ronaldo tidak akan menang Ballon D’Or zaman aku dulu – Rivaldo

Perlawanan akan datang ini bakal menemukan sekali lagi dua pemain terbaik dunia dekad ini iaitu Messi dan Ronaldo. Pertembungan mereka berdua sering ditunggu-tunggu peminat bolasepak dunia yang sering bergaduh apabila bercakap mengenai pemain terbaik dunia.

Rivaldo ketika ditemuramah Betfair, telah ditanya pendapat peribadi beliau mengenai pemain mana yang beliau mahu bermain bersama jika diberi peluang.

“Saya lebih suka jika dapat bermain bersama Lionel Messi. Ia akan menjadi pengalaman yang menakjubkan. Beliau adalah pemain terbaik dunia dan pemain yang mampu mengubah perlawanan.”

“Ronaldo ? Beliau pemain paling berbahaya yang dimiliki Real Madrid. Sama seperti Messi, amat sukar untuk mengawal Ronaldo. Mereka berdua menjaringkan gol dengan banyak dan kamu tidak tahu apa yang bakal dilakukan mereka untuk menjaringkan gol.”

Rivaldo menjadi individu paling dibenci peminat selepas berlakon kesakitan ketika Piala Dunia 2002.

Awal bulan Disember ini menyaksikan Ronaldo mengutip Ballon D’Or beliau yang ke-5 dan menyamai rekod yang dipegang seteru utamanya, Lionel Messi. Walaupun Rivaldo mengakui kejayaan yang diraih Ronaldo, beliau percaya Ronaldo tidak akan berjaya memenangi anugerah tersebut jika Ronaldo bermain pada era beliau, iaitu sekitar 90-an dan awal 2000.

“Ronaldo memenangi anugerah tersebut kerana beliau sememangnya berhak. Zaman saya dahulu terdapat ramai pemain yang bersaing merebut anugerah pemain terbaik dunia , tidak seperti hari ini.”

“Saya ingat lagi Luis Figo, Del Piero, atau Francesco Totti. Hari ini kamu akan selalu mendengar nama yang sama sahaja bersaing merebut anugerah tersebut.”

Antara pemain terbaik dunia menurut Rivaldo

“Saya sangat yakin saya mampu mencabar Messi dan Ronaldo kerana bolasepak zaman saya adalah lebih sukar dari bolasepak hari ini.”

“Saya bukannya mahu mencetuskan kontroversi, apa yang ingin saya katakan adalah kedua-dua pemain ini adalah pemain yang sangat bagus. Akan tetapi, pada zaman saya dahulu, kamu boleh mencari ramai lagi pemain yang berkualiti dari hari ini. Masa kini apa yang kamu selalu dengar hanya Messi, Ronaldo dan Neymar.”

BACA:  Pekerja FIAT Rancang Adakan Mogok Berikutan Perpindahan Ronaldo Ke Juventus