Roma Keluarkan Kenyataan Mengutuk Sekeras-Kerasnya Tindakan Segelintir Penyokong Mereka

AS Roma telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir penyokong mereka sebelum bermulanya perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara semalam.

Kenyataan tersebut turut menyebut tindakan ganas beberapa penyokong Roma yang hadir ke Anfield telah mencemarkan nama baik kelab selepas berlakunya pergaduhan di luar stadium sebelum bermulanya perlawanan.

Suasana meriah di perkarangan stadium sebelum bermulanya perlawanan

Polis Merseyside telah berjaya menahan 2 individu berasal daripada Rome atas dakwaan cubaan untuk membunuh selepas seorang penyokong Liverpool berusia 53 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian kepalanya dipercayai dihentak dengan tukul.

Penyokong Liverpool terbabit terus dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Pergaduhan tersebut berlaku di luar Albert Pub – berdekatan dengan Anfield Kop Stand. Pihak UEFA turut meluahkan perasaan terkejut mereka dengan serangan ganas yang berlaku kepada penyokong Liverpool dalam insiden terbabit.

Pergaduhan yang meletus di antara segelintir peminat Liverpool dan AS Roma

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Roma berhubung kejadian tersebut.

“AS Roma mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperi kemanusiaan dari segelintir penyokong mereka yang bertandang ke Anfield. Tindakan mereka bergaduh dengan penyokong Liverpool telah memalukan pihak kelab dan juga majoriti besar peminat Roma di Anfield yang berkelakuan baik sepanjang berlangsungnya perlawanan.”

“Tiada tempat untuk tindakan ganas sebegini dalam bolasepak dan pihak kelab sedang bekerjasama dengan kelab bolasepak Liverpool, UEFA dan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan kes ini.”

Tukul digunakan sebagai senjata ketika pergaduhan

“Pihak kelab juga ingin merakamkan ucapan takziah dan semoga cepat sembuh kepada seorang peminat Liverpool berusia 53 tahun dan keluarganya yang kini menjalani rawatan di hospital.”

Kapten Liverpool, Jordan Henderson turut merakamkan ucapan takziah beliau atas apa yang berlaku semalam melalui satu posting di laman Instagram peribadinya.

“Semua pemain berharap dan berdoa untuk kesejahteraan seorang peminat Liverpool yang kini dalam keadaan kritikal di hospital selepas mengalami kecederaan serius sebelum bermulanya perlawanan Liverpool semalam.”

“Beliau datang untuk menonton perlawanan bolasepak dan menyokong pasukannya. Satu-satunya keputusan yang bermakna buat kami sekarang adalah untuk melihat beliau kembali pulih dan pulang ke rumah untuk bersama dengan orang tersayang.”

“You’ll Never Walk Alone.”

Ketua Polis Merseyside Dave Charnock berkata hampir kesemua peminat bolasepak yang hadir menghadiri perlawanan berkelakuan baik.

“Hampir kesemua majoriti 52,500 penyokong yang hadir ke stadium untuk menonton perlawanan berkelakuan baik dan pergi ke stadium untuk menonton perlawanan bolasepak.”

“Walaubagaimanapun, terdapat segelintir peminat daripada Liverpool dan AS Roma telah terlibat dalam insiden pergaduhan yang terpencil di tengah-tengah bandar dan berdekatan dengan stadium.”

BACA:  Totti: Mo Salah Adalah Antara Pemain Terbaik Dunia Dan Hanya Akan Bertambah Baik