Ronaldinho Percaya Guardiola Mampu Ulangi Kejayaan di Barcelona Bersama City

Legenda Barcelona, Ronaldinho percaya Pep Guardiola akan mengulangi kejayaan yang diraih ketika melatih Barcelona dahulu dengan pasukannya sekarang, Manchester City.

Dalam tempoh 4 tahun dari 2008 hingga 2012, Guardiola berjaya memimpin pasukan Barcelona memenangi 14 trofi, termasuk memenangi 2 trofi Liga Juara-Juara dan meraih kejuaraan La Liga selama 3 musim berturut-turut.

Walaupun masih belum memenangi sebarang trofi bersama The Citizens, Guardiola telah melalui permulaan musim yang cemerlang dalam musim keduanya di England, dengan memenangi hampir keseluruhan perlawanan dalam semua pertandingan.

City juga selesa mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 8 mata dihadapan pencabar terdekat mereka iaitu Manchester United. Pasukan ini telah memenangi 11 dari 12 perlawanan liga mereka, dan masih tidak mengalami kekalahan setakat ini..

Ronaldinho ketika ditemuramah Daily Mail berkata Guardiola mampu mengulangi kejayaan sama yang diraihnya di Nou Camp dengan Manchester City.

“Ya, saya percaya beliau mampu melakukannya. Sejak beliau masih lagi seorang pemain, Guardiola mempunyai corak berfikir yang teknikal dan bermain bolasepak dengan minda seorang jurulatih pada masa dahulu. Jadi beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bolasepak.”

“Kemana sahaja beliau pergi, beliau memahami bolasepak melebihi mana-mana jurulatih. Guardiola tahu perasaan bermain di atas padang.”

Ronaldinho merupakan salah seorang pemain yang ditunjukkan jalan keluar apabila Guardiola mengambil alih jawatan pengurus di Barcelona. Beliau telah dibenarkan berhijrah ke Itali untuk menyertai AC Milan ketika itu.

Walaupun tidak sempat beraksi di bawah bimbingan Guardiola, Ronaldinho tidak kesal dengan apa yang telah berlaku kerana beliau berpeluang bermain di bawah seorang lagi jurulatih hebat, Frank Rijkaard.

“Saya berpeluang bermain di bawah bimbingan jurulatih yang paling hebat dalam karier saya iaitu Frank Rijkaard. Tetapi cara Guardiola menyusun pasukan dan bolasepak cantik yang dimainkan pasukannya bermakna pemain yang bermain di bawah Guardiola mesti berasa bertuah.”

Jesus cukup tajam setakat ini.

Bekas pemain antarabangsa Brazil ini juga sempat memuji rakan senegaranya yang kini mengetuai jentera serangan Manchester City iaitu Gabriel Jesus. Jesus telah berjaya menjaringkan 10 gol dari 17 perlawanan setakat musim ini.

“Saya amat percaya Jesus akan memainkan peranan yang penting dalam memacu kejayaan Manchester City pada masa hadapan. Saya suka melihat corak permainan beliau. Saya juga percaya beliau mampu menjadi bintang untuk pasukan Manchester City.”

BACA:  Ronaldinho Menunjukkan Skill Beliau Di Penjara