Cristiano Ronaldo Namakan Dua Idola Beliau Dalam Dunia Bola Sepak

Cristiano Ronaldo telah menamakan legenda Brazil, Ronaldinho dan Ronaldo Nazario sebagai dua idola beliau dalam dunia bola sepak.

Beliau menamakan kedua-dua legenda itu sebagai sumber inspirasinya dan turut sempat bergurau dengan menyatakan yang beliau memiliki lebih banyak anugerah individu berbanding dua idolanya itu.

Bintang handalan Manchester United itu terlibat dalam satu temu bual bersama ESPN Brasil dan ketika itulah beliau memilih dua legenda Samba itu sebagai idola beliau sejak zaman kanak-kanak.

Ronaldinho dan Ronaldo asli merupakan dua pemain yang membantu skuad kebangsaan Brazil menjuarai saingan Piala Dunia 2002 dan mereka turut dikenang sebagai legenda terhebat sepanjang zaman dalam dunia bola sepak.

“Saya tak suka perbandingan.”

Jelas bintang berusia 36 tahun itu memulakan perbicaraan beliau.

“Saya lebih memilih untuk kata yang kedua-dua mereka (Ronaldo Nazario dan Ronaldinho) meninggalkan legasi mereka, sejarah mereka.”

“Saya boleh kata, berdasarkan fakta, yang saya menang lebih banyak anugerah individu berbanding mereka, tapi kedua-dua mereka menang Piala Dunia.”

“Saya sangat bersimpati dengan mereka. Saya membesar dengan menonton mereka bermain. Untuk katakan siapa lebih hebat, siapa kedua terhebat bukanlah perkara paling penting.”

“Saya pilih untuk kata yang mereka berdua merupakan idola saya dan mereka ada meninggalkan sejarah yang sungguh menakjubkan dalam dunia bola sepak.”

Ronaldo sepanjang kariernya masih belum pernah memenangi gelaran Piala Dunia bersama Portugal, dan aksi Piala Dunia Qatar berkemungkinan akan menjadi medan terakhir untuk beliau mencuba nasib.

Walau bagaimanapun, Portugal masih belum melayakan diri ke aksi saingan Piala Dunia, dan mereka perlu melalui aksi play-off terlebih dahulu.

Pencapaian terbaik beliau bersama skuad kebangsaan Portugal adalah ketika kejayaan beliau membantu negaranya untuk muncul Juara saingan Euro 2016.

Beliau juga turut cemerlang membantu skuad kebangsaan Portugal muncul sebagai Juara saingan UEFA Nations League pada tahun 2019 yang lalu.

Ronaldo juga merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas bola sepak antarabangsa.

Di peringkat kelab pula, Cristiano Ronaldo berjaya memenangi lima gelaran Champions League, tiga gelaran Premier League, dua gelaran La Liga dan dua gelaran Serie A.

Beliau juga turut cemerlang memenangi beberapa gelaran domestik lain di kesemua tiga negara England, Sepanyol dan Itali ketika kariernya di sana.

Pada musim panas ini, Cristiano Ronaldo memutuskan untuk kembali ke Old Trafford dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau mengharungi musim ini dengan sangat menakjubkan (individu).

Beliau berjaya menjaringkan 14 gol dari 22 penampilan setakat ini dan turut menjadi nadi penting dalam sistem serangan Man Utd yang sedang tidak berprestasi.

Di usia 36 tahun beliau masih lagi menjadi penjaring gol utama kelab dan ternyata beliau masih tajam di hadapan gol.

Ole Gunnar Solskjaer pada awalnya sangat gembira menyambut kepulangan semula Cristiano Ronaldo dan akan sangat berharap bintang Portugal itu akan membantu beliau memenangi Piala pertamanya di Old Trafford.

Malang untuk Solskjaer, bukan hanya gagal memenangi sebarang Piala, beliau bahkan turut dipecat oleh kelab kerana gagal memimpin skuad setan merah dengan baik.

Man Utd kini sedang berada di bawah kendalian pengurus interim kelab, Ralf Rangnick dan mereka kini sedang berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan Premier League.

Mereka ketika ini enam mata dipisahkan dari West Ham United yang sedang berada di kedudukan keempat dalam carta saingan liga.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick sepertinya berjaya mengubah keadaan United dari segi keputusan perlawanan, namun dari segi aksi dan persembahan, sepertinya setan merah masih di tahap sama.

Ketika ditanya tentang impak Ralf Rangnick, Ronaldo mendedahkan kepada Sky Sports bahawa:

“Dia tiba di sini lima minggu lalu.”

“Dia ubah macam-macam hal tapi dia perlukan masa untuk menerapkan budaya dan philosophy dia kepada pemain di atas padang.”

“Ia memang akan memakan masa, tapi saya sangat percaya yang dia akan mampu melaksanakan tugas dengan sangat sempurna.”

“Kita tahu yang kami masih belum bermain corak permainan terbaik kami, kami sedang berusaha dan masih banyak perlawanan yang boleh digunakan untuk terus perbaiki.”

“Sejak dia tiba, saya fikir ada ada kala saya anggap kami lebih bagus, tapi dia perlukan masa.”

Manchester United sebelum ini berjaya menewaskan Aston Villa 1-0 untuk melayakkan diri ke pusingan keempat saingan FA Cup.

Minggu ini, mereka akan sekali lagi bertemu Aston Villa dan kali ini dalam saingan Premier League dan perlawanan tersebut akan dilangsungkan di Villa Park.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Cristiano Ronaldo Cipta Rekod Baru Yang Hampir Mustahil Untuk Dipecahkan