Ronaldo Buat Perangai, Keluar Stadium Ketika Perlawanan Belum Tamat

Cristiano Ronaldo akhirnya tampil buat kali pertama dalam perlawanan di bawah kendalian Erik Ten Hag apabila diturunkan dalam perlawanan persahabatan terakhir pasukan sebelum bermulanya musim baru, menentang Rayo Vallecano.

Selepas beraksi 45 minit, Ronaldo dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan oleh Amad Dialo.

Ketika perlawanan masih lagi berlangsung, Ronaldo telah mencipta geruh bersama penyokong Man United di mana dia dilihat keluar stadium awal ditambah pula dengan segala kisahnya yang ingin berpindah daripada kelab Syaitan Merah tersebut.

Menerusi gambar yang tersebar di laman media sosial, Ronaldo dilihat berada di perkarangan stadium sambil memakai baju sejuk dan menggalas beg sambil berjalan menuju ke ruang parkir, menandakan bahawa dia mahu pulang. Turut ada bersamanya ketika itu adalah rakan senegara, Diogo Dalot yang tidak berada dalam senarai pemain pada hari perlawanan.

United enggan mengulas sama ada hajat pemain diva ini untuk berpindah kelab sudah direstu, namun itu tidak menutup kepada pintu-pintu fitnah ke atas pemenang Ballon d’Or lima kali ini.

Walaubagaimanapun, di sebalik cerita dia keluar stadium awal, Ronaldo telah memuatnaik gambarnya beraksi di atas padang disertakan dengan kapsyen – gembira dapat kembali, kira-kira dua jam selepas perlawanan tamat.

Tindakan ini pasti akan menambah lagi teka teki di hati para ultras Ronaldo tentang masa depan pemain ini.

Man United vs Rayo Vallecano

Tom Heaton diberikan tugas selaku penjaga gol, sambil dibantu oleh Raphael Varane dan pemain baru, Lisandro Martinez selaku pertahanan tengah.

Ethan Laird memegang tugas selaku bek kanan manakala Alex Telles pula kembali beraksi sebagai bek kiri selepas berulang kail dimainkan di posisi lain pada perlawanan pra-musim.

Pemain yang dipinjamkan ke Nottingham Forest pada musim lalu, James Garner, diturunkan di kesebalasan utama selaku pemain holding midfielder, sambil dibantu Donny Van De Beek dan Christian Eriksen. Alejandro Garnacho, Tahith Chong dan Cristiano Ronaldo melengkapkan trio serangan Syaitan Merah.

Heaton dipaksa melakukan satu aksi penyelamatan seawal minit pertama apabila pemain Vallecano melakukan cubaan dari dalam kotak penalti.

Sepanjang separuh masa pertama, tidak banyak aksi yang membolehkan para penyokong tuan rumah bersorak bila mana serangan yang dilakukan sering mati di tengah jalan.

Ronaldo juga dilihat tidak bermaya dan tidak mempunyai kecergasan perlawanan yang diperlukan. Menariknya, aksi dua pemain baru – Eriksen dan Martinez – sangat disukai oleh para penyokong di mana mereka berdua dilihat tidak mempunyai masalah untuk berganding dengan rakan sepasukan yang baru.

Pada separuh masa kedua, Ronaldo dikeluarkan dan digantikan oleh pemain muda, Amad Dialo.

Tidak menunggu lama, Amad telah menjaringkan gol pendahuluan – sesuatu yang gagal diterjemahkan oleh Ronaldo sepanjang separuh masa pertama.

Gerakan bermula daripada Telles, yang menghantar bola leret kepada Eriksen di luar kotak penalti Vallecano. Bijak memancing pertahanan lawan, Eriksen memulangkan semula bola kepada Telles yang tidak dikawal lalu melepaskan satu rembatan padu dan tepat ke arah gol Vallecano.

Penjaga gol pada mulanya dapat menahan bola tersebut namun disebabkan bola terlampau padu, maka bola pun muntah ke arah Amad yang melakukan larian terkaman yang pantas, lalu menolak bola ke dalam gol.

Vallecano cuba mengejar dan bekas penyerang United, Radamel Falcao, telah melepaskan satu sepakan lencong yang telah menewaskan Heaton, namun bola hanya mampu singgah di palang.

Pada minit ke-57, Alvaro Garcia Rivera telah menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat.

Gol berpunca daripada Isi Palazon yang tanpa ditekan melakukan cubaan tepat ke arah gol United. Heaton dapat menampan bola tersebut namun muntah ke kaki Rivera yang terus merembat masuk bola ke dalam gol.

Ten Hag kemudiannya melakukan pertukaran dan memasukkan pemain tengah yang menjadi sebutan ramai, Zidane Iqbal. Pemain kacukan Iraq dan Pakistan ini dilihat mempunyai kawalan bola yang tenang persis Zinedine Zidane, dan mampu merencana tempo perlawanan dengan baik.

Sehingga wisel penamat ditiup, tiada tambahan gol berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

United bakal memulakan cabaran mereka dalam musim baru Liga Perdana Inggeris menentang Brighton Hove & Albion di tempat sendiri, sebelum berkunjung ke Brentford seminggu kemudian.

Perlawanan ketiga mereka pasti menjadi tumpuan kerana pasukan seteru utama mereka, Liverpool, bakal berkunjung ke Old Trafford. Liverpool pasti mempunyai misi ingin mengulangi keputusan musim lalu di mana mereka berjaya membelasah United lima gol tanpa belas kasihan.

BACA:  Cristiano Ronaldo Hanya Mampu Ketawa Melihat Brighton 'Tibai' Man Utd