Ronaldo Label Tuduhan Rogol Sebagai Cubaan Untuk Menumpang Populariti

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo menafikan tuduhan rogol yang dilemparkan terhadapnya dari majalah hiburan yang berpengkalan di Jerman, Der Spiegel dan melabel dakwaan itu sebagai berita palsu semata-mata.

Bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu muncul menerangkan perkara sebenar menerusi ‘live’ di Instagram milik beliau semalam. Wanita yang mendakwa dirinya dirogol Ronaldo pada tahun 2009, Kathryn Mayorga membuat tuduhan tersebut menerusi majalah Der Spiegel yang terkenal dengan berita-berita sensasi berkenaan dunia hiburan.

Ronaldo didakwa merogol seorang gadis berusia 25 tahun pada tahun 2009 di sebuah bilik hotel di Las Vegas.

Mayorga yang kini berusia 34 tahun menuduh Ronaldo merogol beliau dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas pada Jun 2009. Majalah itu juga menulis Ronaldo dan Mayorga mencapai persetujuan lisan di luar mahkamah supaya perkara itu tidak disebarkan kepada umum yang mana Ronaldo terpaksa membayar $375,000 (£275,000) kepada Mayorga.

Namun begitu, Ronaldo menafikan laporan tersebut dan menyifatkan perkara tersebut sebagai satu lagi usaha pihak bertanggungjawab untuk menumpang popularitinya. Dalam sesi ‘Live’ di Instagram beliau semalam, Ronaldo telah ditanya mengenai tuduhan tersebut oleh seorang peminat.

“Tidak, tidak, tidak, tidak – apa yang pihak media laporkan hari ini adalah berita palsu.”

“Mereka ini hanya mampu mempromosi diri mereka dengan menggunakan nama saya. Ia perkara biasa.”

Kathryn Mayorga, wanita yang mendakwa dirinya dirogol Ronaldo

“Mereka mahu menjadi terkenal dengan menggunakan nama saya. Tetapi ini sebahagian dari kerja saya. Saya masih lagi gembira di sini dan segalanya baik-baik sahaja.”

Der Spiegel juga melaporkan peguam yang mewakili Mayorga, Leslie Mark Stovall telah membuat aduan sivil kepada pihak mahkamah supaya membatalkan perjanjian ‘non-disclosure’ yang ditandatangani antara kedua-dua pihak sebelum ini. ‘Non-disclosure agreement’ adalah perjanjian yang memastikan sesuatu perkara dirahsiakan dari didedahkan kepada umum.

“Tindakan undang-undang ini dilakukan bagi memastikan Cristiano Ronaldo bertanggungjawab dan dibicarakan di mahkamah sivil atas kecederaan yang telah beliau lakukan terhadap Kathryn Mayorga dan kesan dari perbuatannya.” Ujar Ms Leslie.

Ronaldo dan Mayorga dirakam dalam keadaan mesra di sebuah pusat hiburan pada tahun 2009

Pemain berusia 33 tahun itu menyertai Juventus dari Real Madrid musim panas lalu dalam perjanjian bernilai €100 juta (£89 juta). Kelab Itali itu masih lagi belum memberikan sebarang reaksi atas dakwaan majalah tersebut tetapi peguam Ronaldo, Christian Schertz dilaporkan akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Der Spiegel atas pengeluaran berita yang secara terang-terangan tidak dibenarkan.

“Berita ini jelas melanggar hak peribadi anak guam kami iaitu Cristiano Ronaldo dalam cara yang sangat serius. Dari segi undang-undang berita ini tidak boleh dikeluarkan.”

BACA:  Juventus Alami Musim Terburuk Dalam Tempoh 10 Tahun Dan Apa Puncanya?