Rooney Melabel Segala Kritikan Diterima Sebagai Sampah

Kapten Manchester United, Wayne Rooney membidas kritikan yang dilontarkan terhadapnya dengan melabelkan kebanyakan komen tersebut adalah ‘sampah’.

United berdepan kritikan selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum melakar kemenangan 3-1 ke atas Northampton Town dalam saingan Piala EFL pada Rabu.

Rooney paling menerima kecaman susulan prestasi hambarnya dengan ramai bekas pemain dan pengkritik bola sepak mempersoalkan sama ada pemain itu layak beraksi dalam kesebelasan utama skuad kendalian Jose Mourinho.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya menyumbang satu gol selepas lima penampilan dalam Liga Perdana Inggeris.

Namun, penjaring terbanyak skuad antarabangsa England itu enggan memikirkan kritikan tersebut dan berkata kecaman yang dihadapinya bukan perkara baharu.

Bercakap di laman sesawang rasmi United, dia berkata:”Saya dikecam hampir dalam keseluruhan kerjaya saya — tetapi itulah bola sepak.

“Saya hanya perlu mendengar kata jurulatih dan rakan sepasukan, saya tidak perlu mendengar apa yang dikatan pihak lain kerana kebanyakan perkara yang mereka perkatakan adalah sampah.

“Saya hanya perlu fokus, bekerja keras sepertimana yang saya lakukan sebelum ini.”

Rooney berkata kritikan yang dilontarkan adalah perkara biasa selepas United mengalami tiga kekalahan berturut-turut, namun dia menegaskan tiada apa yang mereka mampu lakukan selain bekerja lebih keras untuk menghadirkan keputusan lebih positif.

“Tewas tiga perlawanan dan semua pihak akan berkata tentang situasi itu. Jadi, penting untuk kami bangkit dengan keputusan lebih baik.”

Sumber : Stadium Astro

BACA:  Andreas Pereira Makan Penampar Rooney Selepas Perlawanan