Sadio Mane Minta Gaji Yang Sama Seperti Mo Salah

Pemain penyerang Liverpool, Sadio Mane meminta kenaikan gaji dari pihak kelab, dengan beliau kini mahu bayaran yang sama dengan apa yang rakan sepasukannya, Mohamed Salah terima.

Pemain kebangsaan Senegal itu menikmati musim yang sangat hebat pada musim ini, dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan tujuh gol dari 12 perlawanan dalam saingan Premier League.

Walaupun Mohamed Salah kini merupakan penjaring terbanyak Liverpool dan juga dianggap pemain terbaik kelab, ia sebenarnya tidak menghalang Sadio Mane untuk menuntut gaji yang sama dengan bintang Mesir itu.

Potensi untuk kehilangan salah seorang atau mungkin kedua-dua bintang utama kelab itu jelas sekali merupakan satu hal yang tidak diingini oleh Liverpool pada ketika ini.

Menjual mereka untuk menjimatkan kos bayaran gaji dan mendapatkan dana tambahan dari yuran perpindahan juga tidak ada dalam perancangan kelab pada ketika ini.

Ini bermaksud, permintaan Sadio Mane akan tetap dipenuhi oleh pihak kelab semampu mereka dan tidak melebihi dari apa yang mereka mampu lakukan.

Kontrak baru untuk Mo Salah sedang dalam sesi rundingan pada ketika ini, dengan Sadio Mane mungkin perlu menunggu sehingga rundingan itu selesai untuk memulakan perbincangan berkait kontraknya pula.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sepertinya tidak melihat untuk menandatangani mana-mana pemain baru pada ketika ini untuk pemain di posisi sayap.

Maka dengan itu, potensi untuk Liverpool bersetuju dengan permintaan kedua-dua bintang Afrika itu akan lebih tinggi dan mungkin akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Liverpool kemarin berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dengan menewaskan The Gunners 4-0 di Anfield dalam aksi saingan Premier League.

Dalam aksi kemenangan bergaya Liverpool itu, telah berlaku satu insiden panas yang memperlihatkan Jurgen Klopp bergaduh dengan Mikel Arteta.

Klopp hampir bertumbuk dengan Arteta demi pertahankan Mane

Jurgen Klopp telah mendedahkan alasan mengapa beliau hampir membuka gelanggang MMA di tepi padang ketika aksi kemenangan 4-0 Liverpool membelasah Arsenal awal pagi tadi.

Pengurus Liverpool itu hampir saja bertumbuk dengan Mikel Arteta di luar padang ketika aksi babak pertama dalam perlawanan yang dilangsungkan di Anfield itu sedang berlangsung.

Sebelum para pemain Liverpool meratah skuad Arsenal, pengurus mereka terlebih dahulu hampir untuk bertumbuk dengan Arteta di luar padang, hingga menyebabkan pengurus Arsenal itu dilihat mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

Jurgen Klopp mendedahkan kepada talkSPORT yang beliau nampak begitu bengang kerana merasakan Arteta dan barisan kejurulatihan Arsenal sedang cuba mempengaruhi pengadil untuk menghukum Mane, selepas bintang Senegal itu dilihat menyiku Takehiro Tomiyasu.

Sadio Mane telah dilayangkan dengan layangan kad kuning, namun Klopp menegaskan yang beliau tidak faham apa lagi yang Arteta mahu dengan pengurus Arsenal itu masih membantah keputusan pengadil.

“Dengan situasi itu, Sadio tidak menyentuh pemain dia.”

Jelas Jurgen Klopp berkait insiden tersebut.

“Kemudian mereka semua bangun dan mintak kad kuning. Ia berlaku terlalu kerap ke atas Sadio Mane. Ia berlaku ketika bertemu Real Madrid tahun lalu dan dia tak boleh buat apa-apa sebab pengadil dah beri amaran kalau dia buat apa-apa dia akan dapat kad merah.”

“Untuk pemain penyerang, dia bukan pemain yang keras atau pemain yang suka terjah orang.”

“Ketika bertemu Atletico di sini (Anfield), kita terpaksa keluarkan dia pada aksi separuh masa kerana mereka cuba untuk kurangkan bilangan pemain kami.”

“Saya cuma tanya, ‘Apa yang kamu mahu dalam situasi itu? Minta kad kuning untuk situasi yang tak ada sentuhan? Selain itu perlawanan ini memang menakjubkan.”

Arteta juga turut menegaskan yang insiden tersebut hanya masalah kecil dengan kedua-dua pengurus hanya mahu mempertahankan pemain masing-masing.

“Dia cuba pertahankan pemain dia dan saya cuba pertahankan pemain saya.”

Jelas Arteta lagi.

“Itu sekadar habis di atas padang, itu saja dan kami tetap bersalam ketika tamat perlawanan.”

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Mane: Liverpool Ada Kualiti Yang Cukup Untuk Tewaskan Manchester United