Saksikan Dan Nikmati Kompilasi 8 Gol Yang Membawa Harimau Malaya Ke Piala Asia

Tiga perlawanan, Malaysia menang dua dan tewas satu perlawanan untuk mengutip enam mata di dalam saingan Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Walaupun gagal mencapai sasaran mencapai minima 7 mata seperti yang disasarkan sebelum bermulanya kempen kelayakan tempoh hari, ia sudah memadai untuk melayakkan Malaysia ke Piala Asia buat kali pertama di dalam tempoh 42 tahun secara merit.

Kempen Malaysia di pusingan kelayakan ketiga kali ini bermula dengan begitu positif apabila tampil membenam Turkmenistan dengan jaringan 3-1.

Ia adalah pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan, bermakna sukar untuk mengukur kemampuan masing-masing sebelum perlawanan.

Mengambil kira lawan berada di ranking FIFA yang lebih tinggi (rankking ke-134 dunia), kemenangan 3-1 hasil jaringan Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong itu dianggap kemenangan yang membanggakan.

Selepas mengumpul tiga mata pertama di dalam Kumpulan E, Malaysia berhadapan ranjau lebih berliku kerana terpaksa berhadapan Bahrain selepas itu.

Merupakan pasukan yang menduduki kedudukan ke-89 dunia, rekod pasukan negara menentang Bahrain sebelum ini menggusarkan ramai.

Namun demikian anak buah Kim Pan-gon memberikan tentangan sengit dan berjaya mendahului perlawanan melalui jaringan Mohamodou Sumareh.

Malang sekali, sedikit kealpaan pada babak kedua menyebabkan Malaysia menamatkan perlawanan tersebut dengan kekalahan 2-1.

Menang sekali dan tewas sekali, ini bermakna pasukan negara tidak mempunyai pilihan lain selain untuk mendapatkan keputusan positif pada perlawanan terakhir menentang Bangladesh.

Tidak menunggu lama, Safawi mencatatkan nama sebagai penjaring pertama perlawanan melalui sepakan penalti pada minit ke-16 selepas pemain pertahanan negara, Matthew Davies dikasari lawan.

Walaupun Bangladesh berjaya menyamakan kedudukan selepas itu, Dion Cools menjaringkan gol pertama peribadinya untuk negara sekaligus memberikan kelebihan kembali kepada Malaysia.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Harimau Malaya tidak lagi menoleh ke hadapan apabila Syafiq Ahmad dan Darren Lok melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Bangladesh sekaligus mengesahkan tempat pasukan negara ke Piala Asia 2023.

Saksikan kompilasi gol-gol yang dijaringkan oleh Malaysia dalam semua tiga perlawanan tersebut melalui pautan yang disediakan.

Senarai 24 Pasukan Yang Layak Ke Piala Asia 2023

Akhirnya senarai 24 pasukan yang telah layak ke Piala Asia 2023 telah lengkap selepas berakhirnya pusingan terakhir kelayakan yang menyediakan 11 lagi tempat untuk direbut.

11 tempat yang berbaki sudah mempunyai tuan empunya termasuklah pasukan Malaysia yang terdiri dari enam kumpulan dan berlangsung di Bishkek, Kolkata, Kuala Lumpur, Kuwait City, Namangan dan Ulaanbaatar.

Tajikistan mencipta sejarah bola sepaknya apabila telah mengesahkan kemunculan pertama di kejohanan tertinggi peringkat benua Asia ini.

13 pasukan sudah lama mengesahkan tempat mereka melalui kelayakan pusingan kedua yang dijalankan serentak dengan kelayakan Piala Dunia Qatar 2023.

Jordan muncul sebagai pemenang Kumpulan A dengan sembilan mata, dengan Palestin mengungguli Kumpulan B dengan rekod sempurna tiga kemenangan juga untuk layak ke Piala Asia biat kali ketiga berturut-turut.

Kumpulan C dijuarai oleh Uzbekistan lalu layak ke Piala Asia juga dengan rekod sempurna tiga kemenangan. India adalah satu lagi pasukan yang layak dengan rekod 100 peratus, mengalahkan Hong Kong 4-0 pada hari Selasa untuk gayat di Kumpulan D.

Bahrain yang berada dalam Kumpulan E bersama Malaysia turut mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dengan kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan mengesahkan mereka selaku juara kumpulan.

Manakala Tajikistan yang bakal membuat penampilan pertama di pentas Piala Asia menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan F, mendahului Republik Kyrgyzstan dengan perbezaan gol.

Turut mara sebagai lima naib juara terbaik ialah Indonesia (Kumpulan A), Thailand (Kumpulan C), Hong Kong (Kumpulan D), Malaysia (Kumpulan E) dan Republik Kyrgyzstan (Kumpulan F).

11 pasukan yang layak ini menyertai juara 2015 Australia, China PR, juara tiga kali Republik Islam Iran, juara 2007 Iraq, juara empat kali Jepun, juara dua kali Republik Korea, Lubnan, Oman, juara bertahan Qatar, juara tiga kali Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam di Pusingan Akhir sekaligus melengkapkan jumlah 24 pasukan.

Senarai pasukan Piala Asia 2023:

1. Australia
2. China PR
3. Iran
4. Jepun
5. Korea Selatan
6. Lubnan
7. Oman
8. Qatar
9. Arab Saudi
10. Emiriah Arab Bersatu
11. Vietnam
12. Jordan
13. Palestine
14. Uzbekistan
15. Bahrain
16. Tajikistan
17. India
18. Iraq
19. Syria
20. Indonesia
21. Thailand
22. Hong Kong
23. Malaysia
24. Kyrgyzstan

BACA:  Piala Asia 2023: Malaysia 0-4 Jordan