Salah Tegaskan Yang Kelab Tahu Apa Beliau Mahu

Mohamed Salah sebelum ini telah menegaskan yang masa depan beliau di Anfield terletak di tangan Liverpool sendiri, terutama selepas beliau menjelaskan segala yang beliau mahu kepada kelab untuk tandatangani kontrak baru.

Kontrak Salah di Anfield akan tamat pada musim panas 2023, yang mana dalam tempoh lebih kurang satu tahun dari sekarang, Salah sudah boleh mula berunding dengan kelab lain, dan turut menandatangani pra kontrak bersama kelab di luar England.

Walaupun usia pemain penyerang itu bakal mencecah 30 tahun pada musim ini, pihak kelab sepertinya akan tetap mahu terus mendapatkan khidmat pemain yang dianggap sebagai terhebat dalam dunia bola sepak kini itu.

Walau tidak tercalon dalam kesebelasan terbaik FIFA dan turut berada di kedudukan tak sepatutnya dalam senarai pemenang anugerah Ballon D’or, namun Salah tetap diakui sebagai pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa beliau meminta kelab memberinya gaji £500,000 seminggu dan kini pemain kebangsaan Mesir itu tampil menyerahkan sepenuh kuasa kepada Liverpool untuk tentukan pilihan mereka.

Beliau menegaskan yang pihak kelab sudah cukup tahu apa yang beliau mahukan, dan kini beliau menyerahkan kepada pihak kelab untuk memutuskan keputusan yang dirasakan perlu.

“Saya mahu kekal, tapi itu semua bukan di tangan saya, ia di tangan mereka.”

Jelas Salah kepada GQ Magazine.

“Mereka tahu apa saya mahukan. Saya tak minta benda yang gila-gila.”

Tidak kira apa yang pemain berusia 29 tahun itu minta, satu hal yang pasti seandainya beliau turunkan tandatangan pada kontrak baru nanti, beliau bakal menjadi penerima gaji tertinggi dalam sejarah Liverpool.

Di usia beliau sekarang, sudah tentu Salah akan gembira untuk terus kekal di Anfield dan tamatkan kariernya bersama Liverpool.

Beliau sudah berjaya menjaringkan 148 gol dari 229 perlawanan sejak menyertai kelab, dan pada musim ini, beliau sudah berjaya menjaringkan 16 gol dari 20 penampilan untuk menduduki kedudukan pertama carta penjaring terbanyak.

Salah yang ketika ini sedang berada di Cameroon bersama skuad kebangsaan Egypt itu turut menegaskan yang beliau hanya mahu Liverpool membayarnya nilai yang setimpal dengan apa yang beliau berikan kepada kelab.

“Masalahnya sekarang, ketika kamu meminta sesuatu dan mereka menunjukkan kepada kamu yang mereka juga boleh berikan sesuatu, mereka patut laksanakan, kerana itu cara mereka hargai apa yang telah kamu berikan kepada kelab.”

“Saya berada di sini sudah lima tahun sekarang. Saya sangat kenal dengan kelab. Saya suka dengan penyokong. Penyokong suka dengan saya.”

“Tetapi untuk pimpinan kelab, mereka sudah tahu situasi ini, maka semuanya di tangan mereka sekarang.”

Ada dakwaan yang menyatakan antara hal yang diminta oleh Mo Salah untuk tandatangani kontrak baru adalah beliau mahu pihak kelab menandatangani pemain penyerang.

Sebaik berita itu tular Sky Sports Germany mengesahkan yang Liverpool berminat untuk menandatangani Erling Haaland dalam usaha mereka untuk memujuk Salah agar kekal di Anfield.

Namun begitu, sehingga ke hari ini, masih tidak jelas lagi apa sebenarnya yang Salah mahu dan kerana itu jugalah beliau menegaskan yang semuanya di tangan kelab.

Walaupun Salah tidak tersenarai dalam kesebelasan utama FIFpro, namun beliau sebenarnya tercalon sebagai calon penerima anugerah pemain terbaik tahunan FIFA.

The Egyptian King akan bersaing dengan Robert Lewandowski dan Lionel Messi untuk menentukan siapa bakal menerima anugerah pemain terhebat dunia nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Souness: Ini Pasukan Liverpool Terkuat Sejak 1990