“Saya Sayang Dia”- Carragher Hamburkan Pujian Menggunung Kepada Bintang Liverpool

Jamie Carragher tampil memberikan pujian yang menggunung kepada pemain penyerang Liverpool, Sadio Mane selepas bintang Senegal itu mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan bertemu Man City.

Sadio Mane telah dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika aksi kemenangan 3-2 menewaskan Man City di peringkat separuh akhir saingan FA Cup malam semalam.

Pemain kebangsaan Senegal itu menjaringkan dua gol termasuk gol volley yang sungguh menakjubkan untuk membantu Liverpool layak ke perlawanan akhir.

Ketika perlawanan sedang berlangsung, bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher telah memuat naik status dengan menyatakan:

“Saya sayang Sadio Mane”.

Tulisnya di laman twitter bersama emoji hati.

Beliau kemudiannya memuat naik satu lagi status yang menyatakan bahawa:

“Betapa hebatnya kamu pernah jadi dan masih lagi hebat untuk Liverpool.”

Bercakap selepas tamat perlawanan tersebut, Mane memberitahu BBC bahawa:

“Hari ini sangat istimewa, kami bermain bertemu antara pasukan terhebat dunia.”

“Untuk memenangi perlawanan seperti ini, terutama di pentas separuh akhir, ia merupakan kemenangan yang sangat, sangat, sangat besar. Kami sangat berharap untuk menang dan layak ke perlawanan akhir.”

“Kami bermula dengan baik, semua orang mula dengan menyerang. Gol pertama saya penjaga gol buat silap tapi saya fikir kami yang mendesak dia membuat silap.”

“Itulah gaya kami dan saya fikir itulah yang membawa perbezaan.”

Penyokong Liverpool di media sosial turut memberikan pujian menggunung kepada Sadio Mane dengan bintang Senegal itu pada musim ini telah menjaringkan 16 gol dari semua pertandingan.

Liverpool 3-2 Man City

Liverpool berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dengan mereka cemerlang mendahului Man City 3-0 pada 45 minit pertama permainan.

Ibrahima Konate berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-9 permainan selepas beliau cemerlang menanduk padu bola hantaran dari Andy Robertson.

Pada minit ke-17 permainan Sadio Mane berjaya menggandakan kedudukan selepas beliau bijak memanfaatkan kedunguan Zack Steffen untuk Liverpool mendahului permainan 2-0.

Pada minit ke-45 permainan, Sadio Mane berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini untuk membantu Liverpool mendahului perlawanan dengan keputusan 3-0.

Thiago Alcantara menghantar bola cantik mencari Sadio Mane yang tidak di kawal, dengan pemain kebangsaan Senegal itu kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Zack Steffen.

Mendahului permainan dengan keputusan 3-0, ramai yang percaya Liverpool bakal mudah untuk layak ke perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun, Man City berjaya menstabilkan perlawanan pada aksi babak kedua, dan hasilnya mereka berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-47 permainan menerusi Jack Grealish.

Man City kemudiannya terus menerus mengasak kubu Liverpool dengan anak-anak buah Jurgen Klopp itu juga turut sama melancarkan beberapa siri serangan ke kubu The Citizens.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, Riyad Mahrez berjaya mencipta gerakan merbahaya dan hasil dari gerakan beliau itu, Bernardo Silva cemerlang menjaringkan gol kedua untuk City.

Man City dilihat sudah hampir untuk melakukan comeback yang sungguh menakjubkan namun malangnya usaha mereka berakhir dengan kegagalan.

Kemenangan ini berjaya membawa Liverpool ke aksi perlawanan akhir dan ia juga secara tak langsung membantu The Reds untuk terus memburu gelaran quadruple pada musim ini.

Selepas berjaya menjuarai saingan Carabao Cup sebelum ini, Liverpool kini semakin hampir untuk menjulang gelaran FA Cup selepas kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir.

The Reds selepas ini akan turun beraksi bertemu Villarreal di peringkat separuh akhir saingan Champions League dan mereka turut dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul sebagai Juara pada musim ini.

Selain itu, Liverpool juga kini hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata sahaja dibelakang Man City dalam perebutan merebut gelaran Premier League.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu hanya perlu memastikan mereka mampu mencatatkan kemenangan dalam kesemua baki perlawanan liga, dan berharap agar Man City akan keciciran mata untuk memastikan mereka mampu memintas skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Tindakan Carragher Menganalisis Keraian Micah Richards Mencuit Hati Peminat