Schmeichel: Walker Patut Terima Kad Merah Kerana Menyiku Pemain Tunisia

Bekas penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel mendakwa Kyle Walker sepatutnya menerima kad merah kerana kesalahan menyiku pemain Tunisia, Fakhreddine Ben Youssef di dalam kotak penalti.

Insiden tersebut menyebabkan pengadil tidak mempunyai pilihan selain memberikan sepakan penalti kepada Tunisia yang disempurnakan oleh Ferjani Sassi bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Sebelum itu, kapten England Harry Kane meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-11 menerusi bola muntah yang gagal ditampan dengan baik oleh penjaga gol Tunisia, Mouez Hassen.

Walker bernasib baik tidak menerima kad merah atas kesalahannya menyiku pemai Tunisia

England melakukan serangan bertali arus bagi mencari gol kedua tetapi mereka terpaksa menunggu ke saat terakhir perlawanan sebelum Kane sekali lagi menemui jaring untuk gol kemenangan England dalam minit kecederaan.

Schmeichel yang pernah memenangi Kejohanan Eropah bersama Denmark pada tahun 1992 percaya England bernasib baik Kyle Walker tidak diperintahkan meninggalkan padang selepas ulang tayang menunjukkan beliau menyiku pemain pihak lawan.

“Ia merupakan sepakan penalti, tiada keraguan mengenai perkara tersebut. Walker sebenarnya telah menyiku pemain Tunisia dan beliau sangat, sangat bernasib baik hanya menerima kad kuning daripada kesalahan tersebut. Jika mengikut peraturan, sekiranya anda memukul seseorang menggunakan siku, anda akan diperintahkan meninggalkan padang – ia kesalahan kad merah.”

Adakah lakonan semata-mata ? Anda nilaikan sendiri

“Mujurlah England berjaya mendapatkan 3 mata. Saya sangat gembira bagi pemain-pemain England kerana jika mereka gagal memungut 3 mata daripada perlawanan tersebut, beberapa hari selepas ini mereka akan menerima kecaman yang teruk. Pihak media England akan ‘menghentam’ mereka seteruk-teruknya.”

“Tetapi saya tidak rasa pemain England akan terlepas dari menerima kritikan kerana persembahan mereka pada separuh masa kedua sangat mengecewakan. Cara mereka bermain pada separuh masa kedua tidak begitu meyakinkan untuk menghadapi perlawanan-perlawanan selepas ini. Tetapi pada separuh masa pertama, mereka bermain baik dan mencipta banyak peluang.”

“Jesse Lingard mencipta 4 peluang jaringan dan sepatutnya England menjaringkan 4 gol. Harry Kane merupakan pemain yang perlu mereka berikan peluang menjaringkan gol kerana beliau akan menemui jaring.”

Walker pula mempunyai pandangan yang berbeza dengan Schmeichel mengenain insiden penalti tersebut. Beliau percaya dirinya tidak bersalah kerana pemain Tunisia berlari ke arahnya.

Peter Schmeichel pernah membantu Denmark menjuarai Euro 1992

“Di Liga Perdana Inggeris, ia mungkin bukan satu kesalahan tetapi di Piala Dunia, ia merupakan satu kesalahan. Saya menerima arahan daripada Kieran Trippier untuk meninggalkan bola tersebut jadi saya cuba membuatkan badan saya menjadi sebesar yang mungkin, dan selepas itu pemain Tunisia berlari ke arah saya.”

“Kami semua telah bekerja keras dan kesemua pemain berhak menerima 3 mata. Kami mempamerkan bola sepak yang menarik dan mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama.”

“Pasukan ini masih lagi belum bermain pada potensi sebenar. Ia merupakan kemenangan yang baik dan tahniah diucapkan kepada seluruh pemain.”

BACA:  Senarai Sumpahan Separuh Akhir Buat Pasukan England Sejak 1990