Selepas Dibalon Menteri Sukan U-Turn Penyokong Kini Amat Penting Dan Berdamai Dengan Ultras

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah melakukan pusingan U atau U-Turn selepas dibalon dan dikecam hebat kerana telah menyalahkan penyokong sebagai punca kekalahan kepada Bahrain.

Pusingan 180 darjah itu telah disusuli dengan dengan permohonan maaf selepas pening akibat balonan dari setiap sudut di setiap media sosial.

Namun ada sedikit cubaan mempertahankan diri apabila menyatakan kenyataannya itu telah disalah erti dan kini sokongan penyokong menjadi amat penting dan amat dihargai.

“Sorakan dan sokongan para penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai. (Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap2 bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya.”

Itu kisah semalam dan dalam perkembangan terbaru, Wartawan Astro Arena, Bazly Azmi melalui laman Twitternya telah melaporkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah bertmu dengan capo Ultras Malaya.

Dalam gambar ketika minum petang itu Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan Capo Ultras Malaya berjabat tangan tanda berdamai dengan semua penyokong.

Isu ini boleh dianggap selesai dan selaku Menteri apatah lagi Menteri Belia dan Sukan Malaysia sepatutnya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

Malaysia akan bertemu Bangladesh dalam perlawanan terakhir kumpulan E dan hanya memerlukan kemenangan untuk layak ke Piala Asia 2023 selepas Palestin membelasah Filipina.

Sorakan Penyokong Punca Malaysia Tewas

Harimau Malaya tunduk kepada Bahrain dalam perlawanan penentuan juara kumpulan E disaingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi mencari slot secara automatik ke kejohanan yang bakal berlangsung di China tahun hadapan.

Malaysia bermain baik sepanjang perlawanan dengan aksi menyerang yang kali terakhir dapat dilihat aksi penuh meyakinkan ini pada tahun 2019 sebelum wabak melanda.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon memperoleh gol pendahuluan namun hanya bertahan buat seketika lantaran kealpaan Bahrain memperoleh gol penyamaan yang mudah.

Namun Malaysia tidak menyerah dan terus mengasak namun kemasukan Guilherme De Paula merencatkan pasukan dan diburukkan lagi dengan kebangkitan Bahrain.

Gol kemenangan Bahrain hadir melalui kesilapan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias yang tersalah membuat keputusan sehingga menghadirkan sepakan penalti buat Bahrain.

Kesilapan terjadi dan sudah pasti akan ada yang meletakkan punca kekalahan itu kepada Farizal Marlias dan ada yang menganggap itu adat resam permainan bola sepak.

Namun bagi Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah memilih untuk memberikan pendapat yang tidak popular apabila mengutarakan pandangan bahawa penyokong antara faktor kekalahan yang menyebabkan pemain hilang fokus.

Memetik laporan daripada Utusan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah berkata:

“Selepas kita menjaringkan gol pertama, di luar padang ada kelibat beberapa pemain yang akan dimasukkan, antara Guilherme De Paula yang memanaskan badan untuk dimasukkan dalam permainan.”

“Pada ketika itu seluruh stadium bersorak, sejurus selepas sorakan itu, pemain telah hilang fokus menyebabkan kita terlepas gol.”

Bagi Menteri Belia dan Sukan itu pemain tidak salah seratus peratus kerana penyokong juga menyumbang kepada kekalahan.

“Jadi, kalau nak kata kita kalah disebabkan pemain seratus peratus pun saya rasa tidak juga. Sebagai orang yang berada di stadium, penyokong juga ada menyumbang kepada larinya fokus pemain pada ketika itu.”

“Kalau saya pun di atas padang, pasti akan tertanya-tanya mengapa orang menjerit kepada saya, hilang fokus sikit.”

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu juga menganggap Farizal Marlias tidak salah dan bukan punca kepada kekalahan ini kerana jasa Farizal yang telah ditaburkan selama ini.

Bagi beliau semua ini adat permainan ada menang dan kalah serta dalam permainan berpasukan sudah pasti akan ada yang melakukan kesilapan.

“Dalam apa juga perlawanan atau sukan, tentu ada yang menang, ada yang kalah. Dalam permainan berpasukan, ada satu atau dua (pemain) melakukan kesilapan, ini semua adat permainan.”

“Pada saya, Farizal banyak jasa kepada kita. Dia mendedikasikan hidupnya kepada sukan dan pada perlawanan tempoh hari. Tentunya dia tidak mahu gagal namun ia telah berlaku.”

“Kita harap setiap kesilapan yang berlaku, kita belajar dan bukannya kita tuding jari sehingga merosakkan beliau sebagai atlet, kenang jasa beliau sebagai seorang pemain.”

Untuk rekod Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa seramai 63,925 orang penyokong hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Bahrain.

Jika penyokong boleh menjadi punca kekalahan kenapa FAM rancak mempromosikan jualan tiket sehingga membuat pakej kombo bernilai RM100 untuk 6 perlawanan?

Kenapa FAM serta Kim Pan Gon berterima kasih kepada puluhan ribu penyokong yang hadir jika mereka boleh menyumbang kepada kekalahan?

Adakah nyanyian penuh bertenaga dan tanpa henti Ultras Malaya sebelum dan sehingga tamat perlawanan hanya mengganggu fokus pemain bukan menaikkan semangat?

BACA:  Ini Yang Terjadi Di Bilik Persalinan Harimau Malaya Sebelum vs Bangladesh